4 Jun 2022, 23:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Bersempena dengan sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2022, sebuah webinar khas telah dianjurkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) pada pagi ini bagi menyemarakkan semangat rasa kecintaan kepada alam sekitar.

Webinar yang berlangsung secara dalam talian melalui aplikasi Zoom dan siaran langsung Facebook KASA ini menampilkan Profesor dan Pengarah Eksekutif Sunway Centre for Planetary Health, Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood dan ahli perniagaan merangkap selebriti terkenal negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, manakala Ketua Setiausaha KASA, Yang Berbahagia Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang bertindak selaku moderator webinar tersebut.

Antara ahli panel dalam webinar khas bersempena dengan sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia yang berlangsung secara dalam talian.

Menurut Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood, setelah 50 tahun sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia diadakan, usaha untuk memelihara alam sekitar ada pasang surutnya. Kemusnahan dan kebinasaan alam sekitar di Malaysia kebanyakannya bukan berlaku secara semula jadi, walaupun tidak dinafikan faktor tersebut turut menyumbang kepada faktor tersebut.

Tambah beliau lagi, Malaysia juga antara negara yang tidak terkecuali mengalami fenomena pemanasan global hingga terdapat beberapa kawasan yang mengalami kemarau sehingga menjejaskan pengeluaran makanan negara.

Terdapat sembilan indikator batasan planet yang boleh diukur untuk menunjukkan tahap kesihatan planet. Lima daripada indikator tersebut sudah melepasi sempadan amaran, iaitu aliran biogeokimia, integriti biosfera, perubahan sistem tanih, perubahan iklim, dan yang terkini ialah pencemaran entiti baharu. Empat lagi batasan planet, iaitu penggunaan air tawar, pengasidan lautan, peratusan aerosol dalam udara, dan penipisan lapisan ozon masih berada pada bawah paras yang membimbangkan buat masa ini.

Beliau juga mengatakan bahawa dalam membangunkan sesebuah negara, kita tidak boleh melebihi batas keselamatan alam sekitar. Ekonomi donut mampu bertindak sebagai kerangka kesejahteraan pembangunan ekonomi, alam sekitar dan sosial yang boleh digunakan dalam menyeimbangkan segala faktor dalam kehidupan manusia.

Jelas beliau lagi, ekonomi donut ini juga sangat berkaitan dengan Maqasid al-Syariah. Bahkan, penerapan kerangka Maqasid al-Syariah adalah sangat selari dengan idea Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Tambahan pula, masyarakat juga sebenarnya boleh belajar daripada kehidupan nenek moyang dan orang asal di negara ini dalam aspek memelihara alam sekitar.

Setiap pembangunan dan projek yang dijalankan perlu mengambil kira perubahan iklim dalam jangka masa yang lebih panjang. Pembangunan berdaya tahan iklim ini merupakan kriteria yang diambil daripada konsep kesihatan planet. Masalah bagi kebanyakan negara di dunia ialah pelantikan ahli politik hanya dalam jangka masa yang singkat sehingga menyukarkan perancangan pembangunan jangka masa panjang yang mampan bagi sesebuah negara.

Selain itu, beliau juga mengatakan bahawa setiap pembangunan yang dijalankan memerlukan penilaian alam sekitar, jangkaan yang bakal berlaku, pelibatan masyarakat, dan demystify science melalui pelbagai simulasi, ilustrasi dan sebagainya bagi menambahkan lagi kefahaman masyarakat.

Dapatan terbaharu juga menunjukkan bahawa darah manusia kini sudah mempunyai mikroplastik dan boleh menyebabkan berlakunya kanser.

Mengulas dengan lebih lanjut, beliau mengatakan bahawa penguatkuasaan undang-undang di negara ini masih lemah walaupun telah banyak polisi yang dikeluarkan berkaitan dengan alam sekitar. Oleh itu, masyarakat perlu menjaga alam sekitar, yakni bermula dengan diri sendiri kerana kita hanya mempunyai satu bumi.

Sementara itu, sebagai seorang selebriti, Dato’ Sri Siti Nurhaliza menyatakan bahawa beliau juga mempunyai tanggungjawab dalam menyedarkan masyarakat tentang penjagaan alam sekitar. Sebagai contohnya, antara usaha yang boleh dilakukan ialah dalam menghasilkan lagu yang berkaitan dengan alam sekitar. Beliau turut berkongsi lagunya yang bertajuk Sanggar Bayu yang berkisarkan alam sekitar.

Menurut beliau, aktiviti berbasikal juga mampu mendekatkan diri dengan alam sekitar kerana kita dapat melihat kawasan alam semula jadi secara lebih dekat, sama ada kawasan tersebut bersih ataupun sebaliknya.

Dalam usaha menyelamatkan bumi, keprihatinan setiap pihak adalah perlu. Selebriti boleh memainkan peranan dengan menyeru dan mengajak para peminat serta pengikut mereka untuk memelihara alam sekitar seperti dengan melakukan aktiviti bercucuk tanam di rumah dan sebagainya.

Seterusnya, Yang Berbahagia Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang mengakhiri webinar tersebut dengan mengajak masyarakat melakukan aktiviti mengutip sampah sambil beriadah sebanyak empat kali sebulan di kawasan tempat tinggal masing-masing, tidak menggunakan plastik sekali guna dan berbasikal sejauh 100 kilometer sebulan untuk pergi ke kawasan yang berdekatan.

Hari Alam Sekitar Sedunia disambut pada 5 Jun setiap tahun bagi meningkatkan tahap kesedaran masyarakat dunia terhadap isu alam sekitar serta mempertingkatkan tindakan dan penglibatan terhadap perubahan alam sekitar. Pada tahun ini, tema bagi Hari Alam Sekitar Sedunia ialah “Hanya Satu Bumi”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.