3 Jun 2022, 23:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam meniti arus pemodenan, umumnya masyarakat di seluruh dunia telah mula melabur secara besar-besaran dalam sistem pengangkutan bermotor, terutamanya kenderaan persendirian. Hal ini dapat diperhatikan melalui jalan raya di kebanyakan bandar hampir dipenuhi dengan kenderaan persendirian. Walaupun industri automobil ini banyak memberikan kelebihan kepada kehidupan manusia, namun tidak dapat dinafikan terdapat juga impaknya yang negatif seperti jumlah korban jiwa yang tinggi akibat kemalangan jalan raya.

Ketika negara mulai membangun kembali dengan lebih baik daripada kesan pandemik COVID-19, kini sudah tiba masanya untuk “mengembalikan” jalan di bandar kepada penduduknya. Sehubungan dengan itu, adalah penting untuk mengehadkan kelajuan kenderaan bermotor pada kelajuan yang selamat, terutamanya di jalan yang terdiri daripada pengguna seperti pejalan kaki dan penunggang basikal yang bercampur-campur dalam aliran trafik biasa.

Pada 17 Mei hingga 23 Mei 2021 yang lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bersama-sama Yayasan Persekutuan Automobil Antarabangsa telah melancarkan kempen keselamatan jalan raya, iaitu “Jalan untuk Kehidupan” yang menggunakan slogan iklan #StreetforLife dan #Love30. Kempen ini mencadangkan agar kelajuan di kota raya, bandar dan kampung di seluruh dunia dihadkan kepada 30 kilometer per jam (km/jam) dengan menekankan keperluan untuk mencapai sasaran Sedekad Tindakan untuk Keselamatan Jalan Raya 2021 — 2030. Hal ini sejajar dengan Deklarasi Stockholm pada bulan Februari 2020 yang menggariskan bahawa usaha untuk mengurangkan kelajuan memberikan kesan yang baik terhadap kualiti udara dan perubahan iklim. Selain itu, kematian dan kecederaan lalu lintas jalan raya juga dapat dikurangkan.

Seperti yang telah dinyatakan dalam dokumen Pengurusan Kelajuan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lima tindakan untuk menjadikan “Jalan untuk Kehidupan” adalah seperti yang berikut:

  1. Membina atau mengubah suai jalan raya dengan memasukkan elemen penenang trafik.
  2. Menetapkan had laju yang bersesuaian dengan fungsi setiap jalan
  3. Penguatkuasaan had laju
  4. Penggunaan teknologi dalam kenderaan
  5. Meningkatkan kesedaran tentang bahaya memandu melebihi had laju.

Namun demikian, satu persoalan yang pasti timbul, apakah kebaikan dalam menetapkan had kelajuan kepada 30 km/jam?

Secara umumnya, jalan berkelajuan rendah adalah satu landasan untuk membina kawasan yang selamat dan sihat, hijau dan selesa untuk didiami. Secara teorinya pula, had kelajuan 30 km/jam ini mampu untuk melindungi semua yang menggunakan jalan raya, terutamanya para pengguna jalan raya yang paling rentan seperti pejalan kaki, penunggang basikal, kanak-kanak dan orang tua serta orang kurang upaya. Hal ini secara tidak langsung boleh mengurangkan kadar kematian lalu lintas walaupun terdapat pencampuran di antara pengguna berkenderaan dan tanpa kenderaan. Di samping itu, aktiviti fizikal seperti berjalan kaki dan berbasikal dapat dipromosikan dengan lebih giat kerana jalan berada dalam keadaan selamat.

Saban tahun, dianggarkan masing-masing seramai 1.35 juta dan 50 juta orang terbunuh dan cedera di seluruh dunia akibat kemalangan jalan raya. Daripada jumlah tersebut, kira-kira 3000 kanak-kanak dan remaja terbunuh atau cedera parah di jalan raya dunia setiap hari. Malaysia pula mencatatkan sebanyak 6167 kemalangan maut dengan 17 kematian setiap hari pada tahun 2019. Secara teknikalnya, seorang kanak-kanak yang dilanggar oleh sebuah kereta dengan kelajuan 30 km/jam masih dapat diselamatkan. Dalam satu kajian yang dilakukan, didapati bahawa pada kelajuan ini, sebanyak sembilan orang daripada sepuluh orang yang terlibat dalam kemalangan terselamat berbanding dengan hanya seorang daripada sepuluh orang yang terlibat dalam kemalangan yang terselamat pada had kelajuan 60 km/jam.

Had kelajuan 30 km/jam ini juga sangat penting sebagai usaha dunia untuk beralih ke mobiliti sifar karbon. Jalan yang mempromosikan aktiviti berjalan kaki dan berbasikal yang selamat dapat mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian dan pelepasan bahan berbahaya daripada kenderaan yang menyumbang kepada kesan rumah hijau. Untuk melindungi alam sekitar, pengguna memerlukan jalan raya yang selamat serta berkelajuan rendah. Hal ini seterusnya mampu mendorong pengguna untuk memilih pengangkutan  yang lebih mampan.

Menangani risiko kematian di jalan raya adalah perkara asas untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam hal yang menjejaskan keselamatan kesihatan, bandar mampan, kemiskinan dan mengurangkan ketidaksamaan dalam kalangan pelbagai negara. Polisi yang menangani kesan trafik, dan mewujudkan persekitaran untuk pilihan pengangkutan yang selamat, mampan dan inklusif juga membuka kunci tindakan untuk melindungi iklim dan kesaksamaan jantina.

Anjakan paradigma dalam reka bentuk jalan raya perlu bermula dengan kelajuan kenderaan yang rendah dan menjadikan jalan raya selamat, mudah diakses, menyeronokkan dan saksama untuk semua pengguna. Hal ini sekaligus mampu memberikan pelbagai manfaat kepada semua sambil mempercepatkan tindakan merentas SDG yang saling berkait rapat di antara satu sama lain.

Kajian telah menunjukkan bahawa bandar besar telah berjaya mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya dengan pelaksanaan had dan zon kelajuan yang baharu ini. Di Toronto, Kanada misalnya, dikatakan bahawa kadar kemalangan jalan raya menurun sebanyak 28 peratus apabila had laju dikurangkan daripada 40 km/jam kepada 30 km/jam di samping berlakunya pengurangan sebanyak dua per tiga terhadap kecederaan serius dan maut akibat kemalangan jalan raya. Di Colombia, Bogota pula, negara tersebut telah melaksanakan had kelajuan 30 km/jam  dan berjaya mengurangkan kematian lalu lintas sebanyak 32 peratus.

Sementara itu, kajian di United Kingdom telah mendapati bahawa had kelajuan 30 km/jam dapat dikaitkan dengan pengurangan sebanyak 42 peratus dalam kemalangan jalan raya di London dan 63 peratus di Bristol antara tahun 2008 hingga 2016. Kajian lain pula menunjukkan bahawa terdapat pengurangan korban jalan raya hingga enam peratus bagi setiap pengurangan kelajuan 1.6 km/jam untuk jalan bandar. Walau bagaimanapun, menurut WHO, peningkatan purata kelajuan satu km/jam mengakibatkan risiko kemalangan sebanyak tiga peratus lebih tinggi dan peningkatan kadar kematian di antara empat peratus sehingga lima peratus.

Dokumen Pertubuhan Kesihatan Dunia mengenai pengurusan kelajuan turut mencadangkan beberapa perkara lain seperti penggunaan penenang lalu lintas, penetapan had laju yang sesuai dengan fungsi setiap jalan dan pemasangan teknologi dalam kenderaan juga perlu disediakan. Menurut Persekutuan Automobil Antarabangsa, pada masa sekarang ialah masa yang paling sesuai untuk mengurangkan kelajuan, sambil merancang pembinaan jalan yang memenuhi keperluan semua pengguna jalan raya dan menetapkan kelajuan lalu lintas yang selamat untuk semua orang.

Baru-baru ini telah dilaporkan bahawa Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bakal mengemukakan cadangan konsep pelaksanaan had laju 30 km/jam di zon terpilih sekitar ibu negara dan 50 km/jam di zon lain kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Pihak MIROS mencadangkan had laju 30 km/jam di kawasan perumahan, bandar dan kampung sebagai sebahagian daripada perancangan keselamatan jalan raya kebangsaan untuk tahun 2021 hingga tahun 2030. Cadangan ini juga mendapat maklum balas yang positif daripada pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT). Walaupun masih berada dalam peringkat cadangan, namun usaha ini perlu dllihat sebagai suatu langkah terpuji dalam meningkatkan tahap keselamatan di jalan raya di negara ini.

Pengalaman telah menunjukkan bahawa kelajuan 30 km/jam bukan sahaja mampu menyelamatkan nyawa, bahkan juga mendorong komuniti setempat untuk berjalan kaki, berbasikal dan seterusnya menuju ke arah pergerakan sifar-karbon. Tambahan pula, hak orang kurang upaya dan warga tua dapat dikembalikan kerana jalan raya yang selamat dapat mewujudkan ruang awam yang lebih terangkum untuk semua golongan. Tindakan yang dilaksanakan pada hari ini akan mempengaruhi persekitaran terbina dan kualiti hidup selama beberapa dekad akan datang.

 

Profesor Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff  ialah pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor.

Dr. Ahmad Yusri Mohamad ialah pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.