2 Jun 2022, 10:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sandakan – “Pantai Timur Sabah berpotensi untuk dibangunkan menjadi lokasi pelancongan astronomi,” kata Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Dato’ Sri Dr. Adham Baba dalam Majlis Perasmian Program Jelajah Astronomi Pantai Timur Sabah 2022 baru-baru ini.

Menurut beliau, program jelajah ini merupakan langkah pertama ke arah menyemarakkan kefahaman astronomi dan menjadi pencetus kepada agenda sains angkasa kerana negeri Sabah masih kekal sebagai lokasi langit gelap penuh berbintang yang tiada atau sangat kurang pencemaran cahaya.

Tambah beliau lagi, negeri ini mempunyai keunikannya yang tersendiri berbanding dengan lokasi lain di Malaysia kerana langit malam negeri ini masih bebas cahaya yang merupakan antara aset menarik para pelancong untuk melihat pemandangan langit khatulistiwa menerusi pelancongan astronomi.

Program Jelajah Astronomi Pantai Timur Sabah yang berlangsung dari 31 Mei 2022 hingga 8 Jun 2022 bermula di Sandakan, seterusnya ke Lahad Datu dan berakhir di Tawau. Tujuannya adalah untuk menarik minat dan meningkatkan kefahaman masyarakat yang terdiri daripada pelbagai golongan etnik bagi mendalami bidang sains angkasa. Program ini dianjurkan oleh MOSTI melalui agensi di bawahnya, Planetarium Negara bersama-sama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah.

Yang Berhormat Dato’ Sri Dr. Adham Baba turut melancarkan program “Space Insight Planetarium Golden Heart” khusus untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) seperti cacat penglihatan, kerdil dan berkerusi roda pada majlis tersebut.  Program ini bertujuan untuk memastikan golongan OKU di Malaysia mempunyai akses dan peluang yang sama bagi penyertaan penuh dalam masyarakat terhadap program pendidikan astronomi dan sains angkasa yang dilaksanakan.

Sementara itu, Planetarium Negara dan pelbagai agensi lain yang terlibat telah menyediakan pelbagai aktiviti sepanjang program jelajah ini. Antaranya ialah tayangan filem angkasa melalui mini planetarium, pencerapan matahari dan bintang, demonstrasi replika Mars Rover, penerokaan angkasa lepas melalui realiti maya, bengkel AstroRover oleh U-Science Universiti Malaysia Sabah, demonstrasi sains seperti pertunjukan cahaya oleh Petrosains, demonstrasi sains kimia oleh Jabatan Kimia Malaysia, dan aktiviti pencerapan objek angkasa oleh Dark Sky Malaysia.

Selain itu, program ini juga menyediakan aktiviti interaksi guna tangan untuk kanak-kanak seperti PlanetKids, Sembang Astronomi dan Siri Kuiz Astronomi.

Untuk maklumat lanjut mengenai program Jelajah Astronomi Pantai Timur Sabah boleh didapati melalui Facebook rasmi Planetarium Negara atau melalui e-mel [email protected].

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.