1 Jun 2022, 05:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Hari Tanpa Tembakau Sedunia disambut pada 31 Mei setiap tahun untuk memberikan kesedaran tentang implikasi penggunaan tembakau terhadap kesihatan sekali gus bagi mengurangkan penyakit dan kematian. Majlis Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2022 yang diadakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Choong Wen  semalam telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan 1, Yang Berhormat, Dato’ Dr. Mah Hang Soon dan Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia 1, Yang Berhormat Dato’ Dr. Haji Noor Azmi Ghazali.

Ketibaan Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia 1, Yang Berhormat Dato’ Dr. Haji Noor Azmi Ghazali dalam majlis Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2022.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Presiden Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Profesor Datuk Dr. Lekhraj Rampal. MCTC merupakan pertubuhan daripada gabungan 38 badan bukan kerajaan dan institusi pengajian tinggi. MCTC ini ditubuhkan atas sokongan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mempromosikan dasar kawalan tembakau obligasi negara kepada rangka kerja Konvensyen Kawalan Tembakau (WHO FCTC) bagi melindungi kesihatan penduduk daripada ancaman asap tembakau dengan sasaran penamat tembakau pada tahun 2040.

Menurut beliau, Pelan Strategik Kebangsaan bagi Kawalan Tembakau 2021-2030 telah menyasarkan untuk menurunkan prevalen merokok kepada 15 peratus menjelang tahun 2025 dan kurang daripada lima peratus prevalen merokok menjelang tahun 2040 sebagai penamat tembakau negara.

Tambah beliau lagi, antara cadangan yang disyorkan oleh MCTC untuk menjadi keutamaan pihak kerajaan dalam bidang kuasa KKM adalah seperti meluluskan Rang Undang-undang Kawalan Tembakau yang dibentang dalam sidang parlimen akan datang, mempercepat pelaksanaan pelesenan produk tembakau dan tembakau yang telah tertangguh sejak tahun 2011, mengharamkan serta-merta produk vap dan rokok elektronik yang menjadi ikutan remaja, menaikkan cukai terhadap tembakau dan hasil tembakau kepada 70 peratus daripada harga runcit sepertimana yang disyorkan oleh Bank Dunia, menaikkan denda sebagai satu daripada pencegahan kegiatan perdagangan haram tembakau dan hasil tembakau serta membentuk skim pembiayaan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO/CSO) untuk melaksanakan program pendidikan kesihatan.

Majlis Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2022 sedang berlangsung.

Selain itu, Yang Berhormat Dato’ Dr. Haji Noor Azmi Ghazali mengatakan bahawa program seperti ini dapat menaikkan semangat masyarakat untuk menyelamatkan negara daripada penyakit bawaan berhubung dengan rokok seperti penyakit kardiovaskular, kanser paru-paru, pernafasan kronik, dan sebagainya.

Dalam ucapannya juga, beliau turut menekankan bahawa merokok merupakan punca utama kematian pramatang. Sebanyak 27 000 rakyat Malaysia telah meninggal dunia setiap tahun disebabkan oleh rokok. Beliau juga mengatakan bahawa kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 telah mencatatkan sebanyak 4.8 juta rakyat Malaysia telah merokok selama lebih 15 tahun.

Oleh yang demikian, KKM telah bercadang untuk melaksanakan peruntukan Generasi Penamat atau Generational End Game (GEG), iaitu satu daripada langkah strategik bagi melarang aktiviti tertentu berkaitan dengan merokok terhadap generasi yang lahir pada 1 Januari 2005 dan seterusnya. Generasi yang lahir pada 1 Januari 2005 dan ke atas inilah yang dinamakan sebagai GEG.

Mengulas lanjut, beliau mengatakan bahawa larangan aktiviti tertentu berkaitan dengan merokok, termasuklah menjual sebarang produk merokok kepada GEG, larangan penggunaannya sama ada mengunyah atau menghisap rokok serta pembelian dan pemilikan sebarang produk merokok oleh golongan GEG. Hal ini adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas daripada amalan merokok menjelang tahun 2040.

“Merokok merupakan tabiat yang bukan sahaja akan memudaratkan kesihatan diri dan orang di sekeliling, menjejaskan imej dan menyebabkan pembaziran wang, malah mencemarkan alam sekitar. Hasil daripada kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan serta kajian Tobacco and E-Cigarette Survey Among Malaysian telah menunjukkan peningkatan penggunaan rokok dan vap dalam kalangan remaja,” demikian ucapan Yang Berhormat Dato’ Dr. Mah Hang Soon ketika majlis Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2022 berlangsung.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama KKM telah melancarkan program Generasi Penamat Antirokok 18 (GEGAR-18) pada 25 April 2022 lalu yang bertujuan untuk mewujudkan generasi yang bebas daripada tabiat merokok.

Mengakhiri ucapan perasmian, beliau turut menyatakan bahawa pelan perancangan selama lima tahun telah dirangka dengan menggariskan semua aktiviti promosi, pencegahan dan intervensi berhenti merokok kepada golongan generasi baharu bermula daripada alam persekolahan hingga memasuki institusi pengajian tinggi atau alam pekerjaan.

Untuk makluman, majlis pada hari ini telah dianjurkan oleh Persatuan Perubatan Malaysia dengan kerjasama Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Persatuan Kanser Kebangsaan, dan Persatuan Lung Cancer Network Malaysia. Pihak penganjur juga telah mengadakan pertandingan melukis poster peringkat kebangsaan yang bertemakan “Ke Arah Generasi Tanpa Merokok” dan sebanyak 9597 penyertaan telah diterima. Kebanyakan peserta yang menyertai pertandingan tersebut terdiri daripada murid sekolah rendah dan sekolah menengah. Majlis diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan melukis poster dan sesi bergambar bersama-sama tetamu kehormat.

Para pemenang pertandingan melukis poster peringkat kebangsaan bergambar bersama-sama tetamu kehormat.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.