29 Mei 2022, 12:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Kempen Berhenti Merokok bersempena dengan program Hijrah Minda MAIPs Siri ke-13 bagi tahun 2022 yang diadakan di Masjid Al Saadah, Baroh turut dihadiri oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

DYTM Raja Muda Perlis dalam Kempen Berhenti Merokok di Masjid Al Saadah, Baroh.

Program yang dilaksanakan ini adalah sebahagian daripada usaha pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersama-sama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) bagi menjadikan “Rakyat Perlis Bermentaliti Kelas Pertama dalam Segala Tindakan”.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Sirajuddin Hashim turut menyarankan agar semua perokok yang berhasrat ingin berhenti merokok mendapatkan perkhidmatan berhenti merokok di mana-mana klinik kesihatan terdekat di negeri ini. Pada masa yang sama, perokok juga boleh mengamalkan kaedah 12 “M” seperti yang berikut:

  1. Melengah-lengahkan tindak balas terhadap keinginan merokok seperti melambatkan masa mencari rokok atau menyalakan rokok.
  2. Menarik nafas panjang sebanyak tiga kali secara perlahan-lahan sekiranya datang keinginan untuk merokok.
  3. Minum air kosong dengan banyak dan jangan sesekali minum air seperti kopi atau teh kerana minuman ini boleh meningkatkan keinginan untuk merokok.
  4. Melakukan sesuatu seperti aktiviti lain yang boleh mengalih perhatian seseorang itu daripada berfikir hendak merokok.
  5. Mengunyah sesuatu seperti lobak merah, buah-buahan dan sebagainya. Elakkan makan makanan yang manis seperti gula-gula.
  6. Mandi sekerap mungkin apabila datang keinginan merokok.
  7. Membasuh tangan dengan kerap apabila datang keinginan merokok.
  8. Melakukan senaman regangan sekiranya mengantuk kerana tidak merokok.
  9. Memohon doa untuk menguatkan azam dan usaha agar berjaya berhenti merokok.
  10. Menjauhkan diri daripada perokok atau rakan yang kerap merokok.
  11. Mengelakkan diri daripada berasa bosan atau situasi yang mendorong kepada merokok. Sebagai contohnya, bersukan atau beriadah.
  12. Perokok disarankan menginsafi dan meyakinkan diri tentang manfaat jika berhenti merokok. Sebagai contohnya, dapat menjimatkan wang dan memperoleh kesihatan yang baik.

Dalam program ini juga, DYTM Raja Muda Perlis berkenan menyerahkan sumbangan zakat MAIPs bernilai RM11 600 untuk diagihkan oleh amilnya, Encik Rozali Hashim kepada 29 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah berkenaan.

DYTM Raja Muda Perlis berkenan menyerahkan sumbangan zakat MAIPs kepada asnaf terpilih.

Turut hadir dalam program tersebut dan mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!