Oleh Norimanah Seman
18 Mei 2022, 16:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ayam atau telur, yang manakah wujud dahulu? Soalan klasik ini sering dijadikan sebagai bahan senda gurau di seluruh dunia. Jika anda menjawab bahawa ayam yang wujud dahulu, kemudian baru adanya telur, maka jawapan tersebut adalah betul. Sekiranya anda menjawab telur yang wujud dahulu sebelum ayam, jawapan tersebut bukanlah salah dan semuanya bergantung perspektif anda terhadap telur. Namun demikian, timbul pula persoalan lain seperti adakah telur itu ialah telur ayam atau telur binatang lain yang dierami ayam atau telur yang tidak ada kaitan langsung dengan ayam?

Berdasarkan bukti arkeologi, ayam domestik pertama yang berjaya dikesan di Asia Tenggara adalah daripada spesies ayam hutan atau red junglefowl kira-kira 10 ribu tahun lalu. Namun demikian, analisis asid deoksibonukleik (DNA) dan penyelesaian matematik mendapati bahawa spesies tersebut telah wujud di muka bumi sejak 58 ribu tahun lalu.  Hal ini bermakna bahawa telur lebih dahulu wujud di dunia kerana telur telah wujud sejak 340 juta tahun lalu.

Walau bagaimanapun, Dr. Colin Freeman dari Universiti Sheffield, England membuktikan bahawa ayam wujud terlebih dahulu sebelum telur berdasarkan penyelidikannya terhadap kulit telur. Beliau mendapati bahawa 95 peratus bahan utama yang membentuk kulit telur ialah kalsium karbonat (CaCO₃).

Menurutnya, ayam menghasilkan kulit telur daripada sumber makanan yang tinggi kalsium. Seterusnya, kalsium dari sumber makanan tersebut disimpan dalam bentuk kristal CaCO₃ dan proses itu berlaku dengan bantuan protein ovocleidin-17 yang hanya terdapat dalam ovari ayam. Hal ini menjelaskan bahawa ayam wujud dahulu sebelum adanya telur. Protein tersebut berperanan mempercepatkan pembentukan kulit telur dan membolehkan ayam menghasilkan telur dalam tempoh 24 jam. Tanpa ovocleidin-17 yang terdapat dalam ovari ayam, tidak mungkin telur akan terhasil. 

Tidak kiralah ayam atau telur yang wujud terlebih dahulu, yang lebih utama ialah telur merupakan sumber protein yang murah dan mudah diperoleh. Malangnya, harga telur semakin mencanak naik kebelakangan ini, malah pada suatu ketika dahulu, bekalannya juga sukar diperolehi. Kini, telur bukan lagi barang yang murah berbanding dengan sebelum berlakunya pandemik COVID-19. Alang-alang harga telur yang semakin mahal, sebaik-baiknya kita memanfaatkan telur ayam sepenuhnya, termasuklah pada bahagian kulitnya.

Namun begitu, hal ini bukan bermaksud bahawa telur ayam itu harus dimakan bersama-sama dengan kulitnya. Cukuplah sekadar isinya diambil sebagai sumber protein, manakala kulitnya dimanfaatkan untuk menjaga alam sekitar. Berdasarkan rekod, pengambilan telur oleh 32 juta rakyat Malaysia memerlukan sebanyak 11.5 bilion telur ayam setahun. Setiap individu dianggarkan memerlukan 20 kilogram atau 361 biji telur dalam tempoh setahun dengan pengambilan minimum sebiji sehari.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, rakyat Malaysia menggunakan sebanyak 30 juta telur ayam sehari atau kira-kira 930 juta telur ayam sebulan. Di peringkat global, penggunaan telur ayam turut meningkat dari 7951 juta dozen pada tahun 2019 kepada lebih 8000 dozen pada tahun 2020. United States Department of Agriculture menjangkakan angka ini akan terus meningkat menjelang tahun 2028 kepada 8917 juta dozen.

Secara puratanya, sebanyak 78 juta metrik tan telur dihasilkan pada setiap tahun yang menyumbang kepada kira-kira 8.58 juta metrik tan kulit telur yang dibuang sebagai sisa makanan. Komoditi yang kaya kalsium dan penapis ultralembayung (UV) semula jadi itu berakhir di tapak pelupusan sampah yang membawa kepada pelbagai isu alam sekitar dan seharusnya diuruskan secara mampan.

Kulit telur merupakan sisa buangan terbaik yang memberikan manfaat besar kepada manusia, haiwan dan alam sekitar. Hal ini dikatakan demikian kerana kulit telur telah melalui pelbagai uji kaji di makmal dan digunakan secara meluas dalam teknologi biomedikal, kejuruteraan, kimia dan alam sekitar.

Kesan pembangunan, perindustrian serta pembandaran yang pesat dan tidak terancang mengundang kepada pelbagai bentuk pencemaran. Pada masa ini, pencemaran air menjadi isu utama alam sekitar kerana air merupakan sumber kehidupan. Apabila air sudah diracun dengan pelbagai logam berat, bahan kimia, petrokimia, antibiotik dan sisa toksik, bagaimanakah kehidupan boleh diteruskan?

Negara China dilihat jauh lebih maju dalam memanipulasi daya penyerapan tinggi yang dimiliki oleh kulit telur ayam. Negara tersebut juga telah melancarkan produk atau peranti penapis berasaskan kulit ayam yang boleh menyingkirkan sisa racun perosak, patogen dan lilin pada permukaan buah-buahan serta sayur-sayuran.

Kulit telur digunakan kerana bahan ini mempunyai daya penyerapan yang tinggi dan digunakan sebagai agen biopenyerapan mesra alam bagi logam berat, pewarna, komponen organik, sulfonate dan fluorida disebabkan oleh mudah diperolehi, kos yang rendah dan senang diproses. Proses rawatan air sisa kumbahan menggunakan kulit telur mampu menyingkirkan sebanyak 90 peratus zink, arsenik, kromium, nikel, kadmium, plumbum dan sianida.

Dalam satu kajian yang dilakukan di China pada tahun 2018, kulit telur digunakan untuk merawat dan mengawal pencemaran tanah serta menyuburkan tanaman pertanian. Serbuk kulit telur ditaburkan di atas tanah tercemar dengan logam berat bertindak sebagai agen pelembut. Kulit telur menyerap semua logam berat tersebut dan menaikkan pH tanah. Hal ini adalah sebagai satu daripada cara menghalang tanaman menyerap logam berat dan meningkatkan kualiti hasil tanaman.

Selain itu, keberkesanan kulit telur bukan sekadar mampu menyerap logam berat tetapi juga telah diuji keupayaannya menyingkirkan bahan radioaktif seperti uranium. Sisa air kumbahan yang tercemar dengan uranium amat berbahaya kepada kesihatan manusia dan haiwan. Penggunaan serbuk kulit telur sebagai agen penyerap mampu menyingkirkan sebanyak 88 peratus uranium daripada sisa air kumbahan.

Melalui teknologi hibrid, iaitu gabungan antara serbuk kulit telur dengan mikroalga, kadar penyingkiran logam berat seperti besi, tembaga, zink, mangan dan kadmium adalah lebih tinggi, iaitu mencapai 95 peratus. Pada masa yang sama, mikroalga tersebut juga boleh digunakan sebagai sumber biologi biojisim baharu untuk penghasilan biodiesel. Kulit telur pula menjadi sumber nutrien untuk pertumbuhan mikroalga biojisim.

Melalui teknologi biomedikal, kulit telur digunakan sebagai sumber tonik kalsium dan bahan tambahan makanan termasuk kalsium laktat, kalsium propionat, kalsium glukonat, kalsium sitrat dan kalsium asetat. Misalnya, kalsium laktat digunakan secara meluas dalam industri makanan sebagai pengawet, perasa, agen penaik, penstabil dan bahan tambahan antimikrobia. Kaedah terbaharu menghasilkan kalsium laktat daripada kulit telur menambah kecekapan bahan tersebut untuk dilarutkan dan menyerap.

Pada bulan Julai 2019, Prof. Gulden Camci-Unal dan kumpulan penyelidik dari University of Massachusetts Lowell telah membangunkan teknologi hidrogel yang boleh diaplikasikan untuk mempercepat proses penyembuhan kecederaan tulang yang disebabkan oleh kemalangan, faktor penuaan, kanser serta penyakit tulang yang lain atau untuk kegunaan ketenteraan. Partikel kulit telur yang tinggi kandungan kalsium karbonat dimasukkan ke dalam campuran hidrogel dapat mempercepat pertumbuhan tulang dan menjadikan tulang keras serta meningkatkan proses penyembuhan.

Sementara itu, dalam teknologi kimia, kulit telur digunakan sebagai penyubur tanaman, sumber kalsium organik dalam industri pembuatan serta pemprosesan makanan, sumber kalsium aktif dan protein larut serta karbon. Selain, kulit telur juga digunakan dalam penghasilan biodiesel dan pembuatan plastik terbiodegradasi untuk menjadikannya sebagai produk yang selamat serta mesra alam, lebih fleksibiliti dan tahan tekanan.

Teknologi kejuruteraan juga tidak melepaskan peluang untuk memanfaatkan kulit telur dalam mengekalkan kualiti dan kecekapan semula jadi bahan binaan. Dalam industri pembinaan misalnya, kegunaan kulit telur sebagai penghalang sinar UV semakin mendapat perhatian dan memberikan alternatif yang lebih mesra alam kepada titanium oksida yang sekarang ini digunakan sebagai fotoprotector.

Pada tahun 2020, syarikat Nature Squared di Filipina memperkenalkan jubin lantai pelbagai bentuk dan warna berasaskan kulit telur yang mempunyai ketahanan tinggi. Sebelum itu, pada tahun 2017, buat pertama kalinya pasukan saintis dari Institut Teknologi Guizhou, China berjaya mencipta peranti penyimpan data mesra alam menggunakan kulit telur ayam. Walaupun peranti tersebut menggunakan kulit telur, namun keupayaannya tidak diragui dan setanding dengan peranti sedia ada. Penemuan itu memungkinkan suatu permulaan baharu peranti mesra alam dengan kos yang rendah dan penggunaan bahan mampan dalam penghasilan peranti penyimpanan data untuk generasi akan datang.

Selepas ini, kulit telur seharusnya tidak hanya menjadi sisa buangan tetapi sebagai produk yang lebih bernilai daripada telur itu sendiri. Isi telur hanya berperanan sebagai sumber protein dan mengisi perut, namun kulitnya jauh lebih bermanfaat dalam mengekalkan kelestarian alam sekitar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.