14 Mei 2022, 16:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ulu Pauh – “Jutaan terima kasih diucapkan kepada para jururawat atas segala jasa yang ditaburkan. Teruskan usaha untuk kekal berkhidmat dengan penuh komited dan berdedikasi walau dalam apa-apa jua rintangan yang mendatang. Mereka merupakan wira yang tidak didendang. Tanpa jururawat, sistem penyampaian kesihatan akan lumpuh dan terjejas,” titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM11 200 kepada 28 orang asnaf terpilih dalam program Hijrah Minda MAIPs, semalam.

DYTM Raja Muda Perlis menyerahkan sumbangan dalam program Hijrah Minda MAIPs.

Sambutan Hari Jururawat Sedunia pada tahun ini yang bertemakan “Nurses: A Voice to Lead – Invest in Nursing and Respects Rights to Secure Global Health” memfokuskan keperluan untuk melindungi, menyokong dan membuat pelaburan dalam profesion kejururawatan bagi memantapkan sistem kesihatan di seluruh dunia.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Sirajuddin Hashim memaklumkan bahawa kini profesion kejururawatan telah berkembang seiring dengan masa. Pada era globalisasi ini, transformasi kesihatan menjadi cabaran dengan peningkatan umur yang panjang dalam kalangan pesakit.

Tambahnya lagi, para jururawat perlu berilmu dan sentiasa berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan seiring dengan revolusi teknologi perubatan dan pembaharuan penjagaan kesihatan mengikut perubahan masa.

Para jururawat tidak terkecuali dalam usaha menangani, membendung dan mengawal penularan penyakit COVID-19 selama dua tahun kebelakangan ini. Hal ini kerana mereka merupakan tulang belakang institusi kesihatan dalam penyampaian perkhidmatan dan penjagaan pesakit secara berterusan. Peranan dan pengorbanan mereka sangat besar kepada masyarakat. Mereka telah menjalankan tanggungjawab dengan penuh komited dan dedikasi dalam memastikan perkhidmatan kesihatan berkualiti dapat disampaikan dengan lancar.

Pada tanggal 12 Mei setiap tahun sejak tahun 1974, seluruh dunia akan menyambut Hari Jururawat Sedunia. Sambutan ini adalah bersempena dengan ulang tahun kelahiran Florence Nightingale, pengasas kejururawatan moden.

Sambutan ini diadakan untuk memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada para jururawat yang merupakan sumber yang tidak ternilai serta sentiasa memastikan perkhidmatan yang berkualiti dapat disampaikan kepada masyarakat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.