13 Mei 2022, 16:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Tarikh akhir pemberian vaksin dos pertama COVID-19 untuk kanak-kanak yang berusia lima tahun hingga bawah 12 tahun melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) dilanjutkan hingga 31 Mei ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dalam kenyataan medianya berkata, Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (CITF-C) pada 10 Mei telah menetapkan pelanjutan tarikh akhir ini selepas mengambil kira sambutan Hari Raya Aidilfitri dan cuti kelepasan am pada tarikh akhir pemberian vaksin serta penutupan pusat pemberian vaksin (PPV).

Tarikh akhir pendaftaran dan tempahan janji temu vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera, iaitu pada 8 Mei 2022 dikekalkan.

Menurutnya, ibu bapa yang mendaftar dan membuat janji temu sebelum atau pada 8 Mei 2022 dan memilih tarikh vaksinasi sebelum atau pada 31 Mei 2022, mereka boleh meneruskan janji temu yang dipilih.

“Bagi ibu bapa yang mendaftar dan membuat janji temu sebelum atau pada 8 Mei 2022 tetapi memilih tarikh vaksinasi selepas 31 Mei 2022, janji temu dalam aplikasi MySejahtera akan terbatal secara automatik,” katanya lagi.

Beliau menjelaskan bahawa ibu bapa boleh masih membawa anak mendapatkan vaksinasi COVID-19 secara jumpa terus di klinik kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Selepas 31 Mei 2022, kanak-kanak yang berusia lima tahun hingga bawah 12 tahun tidak lagi ditawarkan vaksin COVID-19 secara percuma di bawah PICKids. Mereka perlu mendapatkan vaksin COVID-19 yang ditawarkan secara berbayar di pasaran swasta.

Dalam kenyataan yang sama, beliau memaklumkan bahawa ibu bapa kepada kanak-kanak yang baru mencapai usia lima tahun pada atau selepas 31 Mei 2022, boleh membuat pendaftaran dan tempahan janji temu dos pertama vaksin COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera hingga 15 Januari 2023 di bawah program PICKids.

PICKids untuk golongan kanak-kanak berusia lima tahun hingga bawah 12 tahun telah bermula pada 3 Februari 2022 dengan tujuan melindungi kanak-kanak daripada jangkitan teruk COVID-19 di samping mengurangkan risiko jangkitan di sekolah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.