Oleh Maybelline Goh
13 Mei 2022, 15:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cendawan bukanlah suatu yang asing dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Fakta mengenai cendawan pada dasarnya tidak dapat dibidas atas keunikannya. Hal ini dikatakan demikian kerana cendawan merupakan organisma yang tidak tergolong dalam alam haiwan atau alam tumbuhan. Cendawan ialah sejenis kulat yang tumbuh di atas tanah atau batang kayu atau media penanamannya (jerami, habuk kayu, kapas, dan sebagainya) sebagai sumber nutriennya. Antara jenis cendawan ialah enoki (Flammulina velutipes), cendawan tiram (Pleurotus ostreatus), cendawan butang (Agaricus bisporus), dan sebagainya.

Cendawan enoki mengandungi protein yang berfungsi sebagai imunomodulator dan bertindak sebagai agen antiradang.

Cendawan berada dalam kumpulannya sendiri yang dikenali sebagai alam kulat yang tidak mampu menghasilkan makanan sendiri disebabkan oleh kekurangan klorofil. Namun begitu, cirinya lebih mirip dengan haiwan berbanding dengan tumbuhan. Kajian saintifik masih giat dijalankan untuk memahami dengan lebih terperinci potensi cendawan dan aplikasinya dalam kehidupan seharian.

Terdapat lebih daripada 4000 spesies kulat di Malaysia dan 160 spesies kulat telah direkodkan di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia. Kelembapan yang tinggi dan cahaya matahari yang kurang menembusi bahagian bawah hutan lembap amat sesuai untuk cendawan membiak dan hidup. Walaupun sesetengah cendawan boleh dimakan, terdapat juga cendawan yang beracun dan boleh membawa maut jika dimakan oleh haiwan atau manusia.

Sebagai contohnya, spesies Amanita bisporigera merupakan sejenis cendawan yang beracun. Cendawan ini mempunyai payung putih halus yang dapat mencapai ketinggian  10 sentimeter hingga 14 sentimeter. Satu daripada peranan ekologi signifikan yang dimainkan oleh cendawan adalah sebagai pengurai.

Sudah semestinya ramai antara kita yang pernah makan kulat atau lebih dikenali sebagai cendawan. Di Malaysia, populariti cendawan semakin terserlah kerana permintaannya yang tinggi dalam dunia kulinari. Cendawan boleh dimasak dalam pelbagai jenis masakan mengikut cita rasa masing-masing selain dijadikan sebagai makanan sampingan. Cendawan boleh dijadikan sebagai ulam dalam hidangan seharian atau boleh digoreng untuk kelainan citarasa.

Selain menjadi sumber makanan, cendawan juga dipercayai boleh membantu meningkatkan aktiviti sel di dalam badan yang berfungsi untuk ketahanan tubuh terhadap pencerobohan asing seperti virus atau bakteria. Cendawan juga digunakan untuk menghasilkan vaksin. Sebanyak 15 peratus vaksin yang dihasilkan di dunia menggunakan yis yang melalui proses kejuruteraan genetik.

Tambahan pula, cendawan ialah sumber utama selenium nutrien antioksidan. Antioksidan seperti selenium dapat melindungi sel badan daripada kerosakan yang mungkin boleh membawa kepada penyakit kronik dan membantu menguatkan sistem imunisasi. Cendawan juga terbukti kaya dengan polisakarida. Secara khususnya, cendawan mengandungi polisakarida yang dikenali sebagai beta-glukan.

Satu kajian menunjukkan bahawa beta-glukan tidak terurai dengan baik di dalam badan. Karbohidrat yang tidak boleh dihadam ini bertindak sebagai prebiotik dalam saluran penghadaman. Pada masa yang sama, cendawan juga merupakan makanan antiradang dan pemakanan cendawan mengandungi sebatian beta-glukan yang tinggi. Antioksidan kuat dikenali sebagai ergothioneine yang membantu mengurangkan keradangan seluruh badan. Penggunaan cendawan dalam perubatan tradisional di negara Asia bermula sejak beribu-ribu tahun dahulu dan ada yang masih diamalkan.

Cendawan merupakan sejenis hidupan yang tumbuh atau boleh diusahakan daripada kumpulan fungus. Maka, tidak hairanlah apabila pembiakan cendawan secara komersial telah diusahakan oleh banyak pengusaha di Malaysia. Penganalisis meramalkan pasaran cendawan perubatan global akan berkembang daripada USD 50.4 bilion pada tahun 2019 kepada USD 84.8 bilion menjelang tahun 2026.

Selain aspek kesihatan manusia, cendawan juga boleh membantu memulihkan kesihatan planet melalui aplikasinya sebagai bahan binaan yang mampan, pengganti daging rendah karbon, menguraikan sisa plastik, dan sebagainya.

Cendawan juga adalah pengganti daging yang paling popular dalam kalangan individu yang mengamalkan diet vegetarian walaupun tidak mempunyai khasiat protein seperti daging. Walau bagaimanapun, cendawan merupakan sumber yang kaya dengan vitamin dan mineral seperti selenium, zink, vitamin B1, vitamin B2, vitamin B5, vitamin B6, dan vitamin B12. Lebih-lebih lagi, cendawan juga penuh dengan bahan antioksidan dan tidak mengandungi lemak serta karbohidrat. Cendawan turut digunakan sebagai penambah perisa dalam masakan.

Cendawan shiitake segar yang sering digunakan dalam pelbagai masakan di Malaysia.

Produk yang diperbuat daripada cendawan boleh digunakan sebagai pengganti bekas makanan pakai buang, kulit dan bahan binaan. Bukan seperti plastik, pembungkusan hasil daripada cendawan terdiri daripada 100 peratus bahan yang boleh terbiodegradasi dan boleh diperbaharui serta dikitar semula secara langsung dan semula jadi. Hal ini adalah untuk memastikan pengurangan sisa plastik yang kian menjadi masalah dan isu yang belum menemui jalan penyelesaian. Sebagai contohnya, syarikat gergasi hiasan rumah seperti IKEA telah meneruskan komitmennya terhadap inovasi mampan dengan menggunakan pembungkusan berasaskan cendawan yang menghapuskan keperluan untuk penggunaan bahan seperti plastik.

Pada masa yang sama juga, cendawan banyak membantu arkitek dan jurutera dalam menyelesaikan krisis terbesar di dunia, iaitu terhadap perubahan iklim. Cendawan biasanya tahan lama, boleh terbiodegradasi dan terbukti mempunyai potensi untuk dijadikan sebagai alternatif yang baik berbanding dengan penggunaan bahan binaan konvensional. Bahan binaan yang diperbuat daripada cendawan masih pada peringkat awal penyelidikan dan pembangunan. Walau bagaimanapun, cendawan menunjukkan potensi sebagai bahan penebat dan pengganti blok konkrit.

Sebagai kesimpulannya, potensi cendawan amat meluas dan kajian perlu dilakukan untuk memperluas penggunaan cendawan. Cendawan telah digunakan untuk menghasilkan ubat-ubatan lain yang penting secara global. Cendawan juga kekal sebagai sumber yang belum diterokai sepenuhnya dengan potensi perindustrian yang besar. Pelbagai kajian potensi cendawan perlu dipergiat agar boleh diguna pakai dalam sektor perindustrian yang sesuai dan boleh menyumbang kepada ekonomi negara.

Jadual 1 Jenis cendawan yang ditanam secara komersial di Malaysia.

Bil. Nama Biasa Nama Saintifik
1. Tiram kelabu Pleurotus pulmonarius
2. Cendawan tiram kuning Pleurotus citrinopileatus
3. Cendawan tiram merah Pleurotus flabellatus
4. Jeli hitam Auricularia spp.
5. Cendawan ganoderma Ganoderma sp.
6. Tiram putih Pleurotus florida
7. Cendawan abalone Pleurotus cystidiosus
8. Shiitake Lentinula edodes
9. Enoki Flammulina velutipes
10. Butang putih Agaricus bisporus
11. Butang perang Agaricus bisporus
12. Cendawan jerami Volvariella volvaceae
13. Tiram raja Pleurotus eryngii
14 Cendawan bunga kobis Hericium erinaceum
15. Cendawan seri pagi Clitocybe sp.
16. Cendawan berangan Agrocybe sp.
17. Cendawan kukur Schizophyllum commune

(Sumber: http://portal.myagro.moa.gov.my/ms/doa/iplt/Pages/Mushroom.aspx)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.