12 Mei 2022, 21:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sejak kebelakangan ini, kenderaan mikromobiliti semakin kerap digunakan di jalan raya. Kenderaan mikromobiliti merujuk penggunaan kenderaan mikro, iaitu kenderaan dengan jisim yang tidak melebihi daripada 350 kilogram dengan kelajuan reka bentuknya tidak melebihi 45 kilometer per jam dan dipandu oleh pengguna secara peribadi. Basikal, basikal elektrik, skuter elektrik, papan selaju elektrik dan basikal guna sama adalah antara kenderaan mikromobiliti yang sering digunakan.

Perkataan mikromobiliti ini telah dipopularkan oleh Horace Dediu, seorang pelabur dari Amerika Syarikat pada sekitar tahun 2016. Menurut Dediu, istilah “mikro” ini merujuk kepada kenderaan yang digunakan dengan berat kurang daripada 500 kilogram untuk perjalanan jarak dekat yang menyeronokkan, murah dan mudah.

Kenderaan mikromobiliti secara umumnya boleh dikelaskan kepada empat jenis. Jenis A terdiri daripada kenderaan mikro yang berjisim kurang daripada 35 kilogram serta kelajuan reka bentuknya tidak melebihi 25 kilometer per jam. Kenderaan mikro jenis B pula adalah berjisim di antara 35 kilogram hingga 350 kilogram dengan kelajuan reka bentuk yang sama dengan jenis A.

Sementara itu, kenderaan mikro jenis C adalah berjisim kurang daripada 35 kilogram dan kelajuan reka bentuk antara 25 kilometer per jam hingga 45 kilometer per jam. Kenderaan mikro yang berjisim di antara 35 kilogram hingga 350 kilogram dengan kelajuan yang sama dengan jenis C pula dikenali sebagai kenderaan mikro jenis D.

Penyelidikan Pasaran Bersekutu melaporkan bahawa pasaran global kenderaan mikromobiliti bernilai sekitar RM175.59 bilion pada tahun 2020 dan dijangka mencecah sekitar RM853.79 bilion menjelang tahun 2030.

Secara umumnya, penggunaan kenderaan mikromobiliti ini mampu membantu dalam mengurangkan penggunaan kenderaan peribadi dan kesesakan di samping menyumbang kepada penggunaan tempat letak kereta yang lebih cekap dan ruang awam lain yang dikongsi bersama. Kenderaan mikromobiliti ialah cara yang jauh lebih cekap untuk mengembara dalam jarak dekat. Tambahan pula, kenderaan ini bersifat kos efektif dan jauh lebih murah untuk dihasilkan berbanding dengan penghasilan kereta dan bas.

Kenderaan mikromobiliti juga senyap apabila digunakan, memberikan pelepasan kesan rumah hijau yang rendah dan menjanjikan manfaat alam sekitar yang besar. Faedahnya cukup menggalakkan untuk perancang bandar mempertimbangkan kenderaan mikromobiliti secara serius dalam memerangi perubahan iklim dan menawarkan pengangkutan mampu milik.

Kenderaan mikromobiliti sebenarnya semakin digunakan secara meluas di seluruh dunia termasuklah di Eropah, Amerika Syarikat, Asia dan Amerika Latin. Malaysia juga tidak terkecuali. Walau bagaimanapun, di sebalik kelebihan yang ditawarkan, penggunaan kenderaan mikromobiliti di jalan raya adalah membahayakan, bukan sahaja kepada pengguna kenderaan tersebut, bahkan juga kepada pengguna jalan raya yang lain. Kejadian nahas basikal lajak yang telah mengorbankan lapan individu baru-baru ini menunjukkan bahawa penggunaan kenderaan mikromobiliti yang berkongsi rangkaian jalan dengan aliran trafik kenderaan bermotor lain boleh menimbulkan risiko untuk berlakunya tragedi yang sama pada masa akan datang.

Menyedari akan bahaya yang bakal berlaku, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) telah mengambil tindakan tegas dengan melarang penggunaan kenderaan mikromobiliti tertentu di atas jalan menerusi pewartaan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti Tertentu) 2021 (“Kaedah”) yang berkuatkuasa mulai 17 Disember 2021. Jenis kenderaan mikromobiliti tertentu yang dilarang penggunaannya adalah terdiri daripada moped, peranti mobiliti persendirian termasuklah skuter berkuasa elektrik, kuasa enjin pembakaran dalam ataupun kuasa manusia dan bantuan mobiliti persendirian.

Walaupun tidak dilarang, penggunaan basikal hendaklah mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 33) serta di bawah Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959. Garis panduan penggunaan basikal yang selamat juga telah dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan boleh dimuat turun melalui laman sesawang MOT dan MIROS.

Menurut Forum Pengangkutan Antarabangsa, terdapat beberapa langkah yang telah dicadangkan untuk meningkatkan tahap keselamatan penggunaan kenderaan mikromobiliti. Antara lainnya ialah keperluan untuk menyediakan laluan khusus untuk kenderaan mikromobiliti bagi menjamin keselamatan pejalan kaki. Ironinya, bilangan orang yang berjalan akan berkurangan jika mereka berasa tidak selamat apabila berjalan di laluan yang disediakan.

Penggunaan kenderaan mikromobiliti di lorong pejalan kaki hendaklah diharamkan atau tertakluk kepada had laju yang rendah dan dikuatkuasakan. Adalah lebih baik jika diwujudkan laluan khusus untuk kenderaan jenis ini. Had laju untuk semua kenderaan bermotor hendaklah tidak melebihi 30 kilometer per jam jika mereka berkongsi laluan yang sama dengan pengguna kenderaan mikromobiliti dan pejalan kaki.

Statistik menunjukkan bahawa kira-kira 80 peratus kemalangan kenderaan bermotor mengakibatkan kematian penunggang basikal atau skuter elektrik. Pihak berkuasa seharusnya meningkatkan usaha untuk menangani tingkah laku pemandu yang berisiko, termasuklah pemanduan melebihi had laju yang dibenarkan, pemanduan terganggu dan pemanduan di bawah pengaruh alkohol. Pemandu harus memandu dengan kelajuan yang selamat. Reka bentuk kenderaan bermotor yang selamat haruslah merangkumi kedua-dua penyelesaian keselamatan aktif dan pasif. Antara ciri keselamatan aktif yang berkaitan termasuklah bantuan kelajuan pintar dan brek kecemasan automatik (AEB). AEB seharusnya mampu mengenal pasti semua jenis kenderaan mikromobiliti.

Jika dikawal dengan baik, kenderaan mikromobiliti boleh menyokong matlamat dan dasar yang lebih luas termasuklah kemampanan, kecekapan, keterangkuman dan kesihatan awam. Untuk menggalakkannya, peraturan basikal yang agak ringan harus digunakan untuk semua bentuk kenderaan mikromobiliti berkelajuan dan berjisim rendah.

Kenderaan mikromobiliti dengan kelajuan maksimum 45 kilometer per jam harus dikawal selia sebagai moped. Penggunaan basikal elektrik bantuan pedal berkelajuan tinggi harus berdasarkan potensinya untuk menyumbang kepada matlamat kesihatan awam dengan meningkatkan aktiviti fizikal. Basikal dengan bantuan pendikit tidak sepatutnya berada di atas jalan yang sama. Jika kenderaan mikromobiliti yang lebih laju dibenarkan berkongsi kemudahan bersama basikal biasa, penunggang kenderaan mikromobiliti harus menggunakan kelajuan yang lebih rendah agar keselamatan penunggang basikal kekal terjamin.

Tidak banyak maklumat yang diketahui tentang prestasi keselamatan jenis dan model kenderaan mikromobiliti yang berbeza-beza, faktor kemalangan, dan kaedah penyelesaian yang paling berkesan. Penyelidikan tentang keselamatan kenderaan mikromobiliti memerlukan data kemalangan dan data perjalanan yang tepat melalui operator, tinjauan perjalanan dan pemerhatian di jalanan yang dikumpulkan oleh pihak berkenaan. Pengumpulan data ini harus menjadi keutamaan bagi agensi keselamatan jalan raya untuk memastikan perancangan keselamatan melibatkan kenderaan mikromobiliti dapat dijalankan dengan lebih efisien lagi.

Pihak berkuasa juga seharusnya mengutamakan pencegahan kemalangan proaktif di rangkaian jalan. Banyak kenderaan mikromobiliti gunasama dilengkapi dengan penderia gerakan dan penentududukan langsung melalui sistem sistem kedudukan sejagat (GPS). Sistem ini boleh menghasilkan data tentang kerosakan jalan dan pemetaan tempat yang berkemungkinan berlakunya kemalangan. Pihak berkuasa dan operator harus bekerjasama untuk mengeksploitasi sumber maklumat ini. Pihak kerajaan juga harus memantau kerosakan pada rangkaian jalan raya dan menambah baik penyelenggaraan pencegahan yang menimbulkan risiko kepada pengguna kenderaan mikromobiliti.

Pihak berkuasa harus memastikan pemandu kenderaan seperti kereta, bas dan trak dilatih untuk mengelakkan kemalangan dengan penunggang kenderaan mikromobiliti. Latihan yang berkaitan harus diwajibkan untuk mendapatkan lesen memandu. Selain itu, latihan berbasikal harus menjadi sebahagian daripada kurikulum sekolah supaya kanak-kanak memperoleh kemahiran untuk mengemudi kenderaan mikromobiliti dengan selamat. Semua orang dewasa juga harus mempunyai akses kepada latihan keselamatan mikromobiliti. Program latihan ini hendaklah dinilai secara berkala untuk menguji keberkesanannya.

Lazimnya, kemalangan bermotor adalah disebabkan oleh pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan melebihi had kelajuan yang ditetapkan. Hal ini juga tidak terkecuali kepada pemandu kenderaan mikromobiliti walaupun kelajuannya adalah lebih rendah. Bagi memastikan pengendali kenderaan mikromobiliti guna sama mematuhi had laju yang dibenarkan, pihak operator boleh menyemak mekanisme harga untuk meminimumkan risiko. Kaedah sewaan mengikut minit boleh menjadi insentif sama ada untuk mempercepat atau mengabaikan peraturan lalu lintas. Oleh itu, syarikat seharusnya mengurangkan pengecasan berasaskan minit dan mengimbanginya dengan kaedah alternatif. Hal ini termasuklah caj perjalanan amaun tetap, caj berdasarkan jarak ataupun yuran keahlian.

Pengilang kenderaan mikromobiliti juga berusaha untuk meningkatkan kestabilan dan cengkaman kenderaan terhadap permukaan jalan. Antara penyelesaian yang dicadangkan adalah dengan penggunaan tayar pneumatik, saiz roda dan geometri rangka yang lebih besar. Namun begitu, masih banyak perkara yang masih dalam kajian untuk menambah baik keselamatan kenderaan mikromobiliti ini. Pihak penguasa patut mempertimbang penggunaan lampu penunjuk di kenderaan mikromobiliti berkuasa yang dikawal oleh suis di bar hendal. Untuk kenderaan mikromobiliti dikongsi, kabel brek harus dilindungi daripada kerosakan dan vandalisme.

Banyak perkhidmatan kenderaan mikromobiliti guna sama, terutamanya di luar negara bergantung pada van untuk mengecas semula skuter atau basikal elektrik. Pihak operator harus meminimumkan jarak kilometer kenderaan yang dipandu oleh van sokongan ini untuk mengurangkan risiko kemalangan. Menggunakan bateri yang boleh ditanggalkan atau berkapasiti lebih tinggi dan dok pemasangan yang strategik menawarkan penyelesaian untuk mengurangkan keperluan van sokongan ini. Bandar juga boleh memperuntukkan lokasi khas van sokongan untuk pengecasan bagi memastikan keselamatan pengguna kenderaan mikromobiliti.

Namun begitu, tidaklah dinafikan bahawa masih terdapat banyak penelitian yang perlu dikaji terhadap penggunaan kenderaan mikromobiliti ini. Dianggarkan sekitar 68 peratus daripada populasi global akan tinggal di bandar menjelang tahun 2050. Sememangnya, ruang di bandar akan menjadi lebih sesak dengan keperluan untuk pengangkutan jarak jauh yang tidak rumit. Kenderaan mikromobiliti boleh membantu mengurangkan tekanan pada rangkaian pengangkutan sedia ada, menawarkan cara yang berpatutan dan berdaya maju untuk bergerak. Kesedaran tentang perubahan iklim dan kelestarian alam sekitar akan menjadikan kenderaan mikromobiliti sebagai pilihan utama pada masa hadapan.

 

Profesor Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff merupakan pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.