11 Mei 2022, 22:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dari tahun ke tahun, semakin banyak ciptaan yang hebat, canggih dan futuristik terhasil dari segenap pelosok dunia. Ciptaan seperti kereta dengan pemanduan automatik yang cukup canggih sudah cukup menunjukkan semakin hebat teknologi dunia pada masa sekarang. Namun demikian, jika dilihat pada sisi lain, ciptaan tersebut mungkin akan memberikan kesan kepada golongan berpendapatan tinggi atau mereka yang berada di negara maju. Golongan berpendapatan rendah atau mereka yang berada di negara membangun tidak menerima manfaat yang besar hasil ciptaan berteknologi tinggi ini. Bahkan, ciptaan ini tidak dapat membantu golongan tersebut secara langsung untuk meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

Peti sejuk pot-in-pot.

Ciptaan yang ringkas dan mudah yang dicipta untuk kegunaan rakyat secara umum atau untuk kegunaan masyakat berpendapatan rendah secara khusus terkadang-kadang lebih berkesan dalam membantu meningkatkan kehidupan dan kualiti hidup rakyat di dunia ini. Sebagai contohnya, pada sekitar tahun 1990, Mohamed Bah Abba dari Nigeria telah mencipta satu ciptaan yang mampu menolong masyarakat di tempatnya yang dinamakan sebagai pot-in-pot refrigerator atau peti sejuk bekas di dalam bekas.

 

Ciptaan ini menggunakan konsep penyejukan menyejat dengan satu bekas yang kecil diletakkan di dalam bekas yang besar dan ruang di antara bekas tersebut diisi dengan pasir. Bahan makanan yang ingin disimpan diletakkan di ruang bekas kecil. Meskipun peti sejuk ini tidak setanding dengan peti sejuk komersial, namun dengan kewujudan ciptaan ini, banyak perkara telah berubah di Nigeria. Petani tidak perlu lagi menjual hasil tanaman dengan cepat kerana dapat disimpan dengan kadar yang lebih lama. Bahkan, penyimpanan vaksin dan ubat turut dapat dijalankan dengan baik memandangkan kebanyakan tempat pedalaman di benua Afrika tidak mempunyai bekalan tenaga elektrik.

Konsep pot-in-pot.

Idea pot-in-pot ini kemudian dikembangkan lagi kepada bentuk yang lebih menarik dan moden oleh syarikat Evaptainers. Syarikat ini membuat inovasi sehingga bentuk peti sejuk ini lebih menarik dan mudah alih.

Unit ciptaan Evaptainers.

Bagi penduduk yang tidak mempunyai sambungan elektrik ke rumah, penggunaan lampu elektrik ialah perkara yang mustahil dan keperluan terhadap cahaya di tempat yang gelap atau pada waktu malam amatlah mendesak. Syarikat E-Dina dari Colombia telah mencipta lampu yang berteraskan air masin dan dinamakan sebagai Waterlight. Pada waktu kecemasan, air kencing boleh digunakan untuk menggantikan air masin.

Lampu Waterlight dan kegunaannya.

Konsep lampu ini berasaskan konsep elektrokimia, iaitu perubahan sifat kimia yang menghasilkan arus elektrik. Air masin atau air kencing akan bertindak sebagai katod dalam sistem elektrokimia yang melengkapkan litar untuk menghasilkan arus elektrik yang kemudiannya dapat menyalakan lampu. Dengan hanya 500 mililiter air masin, sistem ini dapat menghasilkan cahaya lampu selama 45 hari.

Waterlight digunakan semasa proses pembelajaran untuk pelajar semasa di rumah ataupun para ibu yang ingin meneruskan aktiviti harian mereka pada waktu malam. Selain itu, Waterlight juga sesuai untuk aktiviti perkhemahan, memancing mahupun sebagai sumber bateri untuk peranti elektronik

Pada tahun 2002,  seorang mekanik dari Brazil bernama Alfredo Moser telah mencipta sebuah lampu yang unik disebabkan sering berlakunya ketiadaan elektrik di kawasan rumah beliau. Lampu yang terkenal dengan nama lampu Moser ini mempunyai kecerahan yang memuaskan, iaitu sekitar 40 watt hingga 60 watt. Lampu ini dihasilkan dengan hanya menggunakan botol lut sinar, air dan peluntur. Air diletakkan di dalam botol lut sinar, manakala peluntur diletakkan sedikit bagi mengelakkan pertumbuhan alga yang akan mengurangkan kadar kecerahan lampu ini.

Botol ini kemudiannya diletakkan di tengah bumbung untuk menerima cahaya matahari. Sebagai hasilnya, botol ini akan kelihatan bercahaya dan cukup untuk menerangi ruang yang gelap. Konsep lampu Moser ini sangatlah mudah iaitu berasakan hukum pembiasan cahaya. Gambar di bawah menunjukkan Alfredo Moser bersama dengan lampu yang dipasangnya.

Alfredo Moser bersama lampu ciptaannya.

Idea lampu Moser ini mencetuskan gerakan Liter of Light. Gerakan ini tersebar dengan meluas di pelosok dunia, termasuklah di Malaysia dengan memberikan perkhidmatan pemasangan lampu Moser di tempat yang terpencil. Organisasi ini memperbaik reka bentuk asal lampu Moser ini dengan meletakkan sistem solar berserta lampu kecil di dalam botol supaya memberikan cahaya pada waktu malam.

Lampu Moser daripada program Liter of Light yang dipasang di beberapa tempat di sekitar negara Filipina.

Sumber air yang bersih merupakan suatu keperluan pada zaman sekarang. Air yang kotor boleh menjadi punca kepada pelbagai jenis penyakit. Penapis air bukanlah suatu perkara yang murah, lebih-lebih lagi kepada orang yang berpendapatan rendah. Syarikat Vestergaard yang berpangkalan di Switzerland telah mencipta sebuah mesin penapis mudah alih yang dikenali sebagai LifeStraw. Mesin dengan berat sebanyak 46 gram ini mampu untuk menapis sehingga 4000 liter air, iaitu dalam jangkaan hingga tiga tahun penggunaan. Penapis ini juga mampu menapis bakteria, parasit dan mikroplastik hingga tahap 99 peratus. LifeStraw ini menggunakan konsep penapisan mikro tanpa sebarang bahan kimia. Ciptaan ini telah menolong hampir enam juta kanak-kanak untuk mendapatkan sumber air yang bersih.

LifeStraw yang digunakan oleh pelajar sekolah.

Memasak ialah aktiviti yang boleh dikatakan dilakukan pada setiap hari. Bayangkan jika haba yang terhasil daripada api dapur memasak dapat “ditarik” dan disimpan ke dalam bateri. Itulah konsep yang diketengahkan oleh syarikat Point Source Power melalui ciptaan mereka, VOTO. Alat ini hanya mempunyai empat komponen penting untuk berfungsi, iaitu penutup, kad bahan api, pemegang VOTO dan kotak sel bahan api.

VOTO sedang beroperasi.

Sekiranya bateri telah dicas secara penuh, cahaya lampu pada VOTO ini dianggarkan mampu bertahan selama 30 jam. Syarikat ini menghasilkan beberapa varian lain untuk kegunaan yang berbeza-beza, namun masih menggunakan tenaga haba pada api dapur. Setakat kini, ciptaan ini setakat ini dipasarkan di Kenya sahaja.

 

Komponen VOTO.

Seringkali makanan yang telah dimasak perlu dipanaskan untuk mengekalkan rasa dan untuk mengelakkan makanan menjadi basi. Namun begitu, untuk memanaskan kembali lauk atau makanan yang telah dimasak secara umumnya memerlukan sumber elektrik atau bahan bakar tambahan. Sarah Collins, seorang aktivis telah mencipta sebuah beg yang sangat berguna yang dapat mengekang haba keluar daripada beg tersebut sehingga makanan di dalam beg tersebut kekal panas dalam jangka masa yang lebih lama. Yang lebih menarik, beg ini tidak memerlukan sebarang tenaga elektrik. Beg yang dinamakan sebagai Wonderbag ini dapat mengekalkan suhu masakan selama lapan jam. Konsep beg ini sangatlah mudah kerana hanya berdasarkan konsep penebatan haba.

Wonderbag berserta dengan masakan.

Ciptaan ini sangatlah bermanfaat sehingga dikatakan dapat mengurangkan penggunaan bahan bakar sebanyak 70 peratus. Selain itu Wonderbag juga menjadikan alam sekitar lebih baik kerana mengurangkan pencemaran dan penggunaan air sekali gus mengurangkan kadar penebangan pokok untuk tujuan kayu bakar. Maka, tidak hairanlah jika ciptaan ini mendapat beberapa anugerah di peringkat antarabangsa kerana keberkesanannya pada tahap maksimum.

Kelahiran bayi pramatang memerlukan penjagaan yang rapi dan teliti, bahkan mereka akan diletakkan di dalam inkubator yang akan mengawal suhu dan mengelakkan jangkitan kuman kepada bayi. Untuk sesebuah keluarga yang berpendapatan rendah, hal ini boleh menjadi perkara yang membebankan dari segi kos.

Kisah seorang perempuan di India yang melahirkan bayi pramatang dan anaknya itu kemudiannya meninggal dunia kerana tidak mampu mendapatkan rawatan di hospital telah menjadi titik tolak kepada Jane Chen, pengasas syarikat Embrace untuk mencipta inkubator yang murah dan sesuai yang dinamakan The Embrace Warmer. Konsep pemindahan haba optimum yang digunakan dalam ciptaan ini adalah konsep yang sama seperti Wonderbag. Ciptaan ini menggunakan sejenis lilin istimewa yang diletakkan pada permukaan dalam inkubator tersebut sehingga menghasilkan keadaan yang sangat selesa untuk bayi.

Ibu, bayi dan The Embrace Warmer.

Inkubator ini bukan sahaja mudah alih tetapi boleh digunakan berulang kali, mudah digunakan dan paling penting tidak memerlukan sebarang tenaga elektrik mahupun bateri. Ciptaan ini dikatakan telah berjaya mengurangkan risiko kematian bayi sebanyak 350 ribu bayi.

Keperluan memakai alas kaki mungkin dipandang remeh di negara kita. Mungkin kita kurang sedar bahawa masih ramai yang tidak mampu membeli alas kaki sehinggakan mereka berkaki ayam dari hari ke hari. Potensi untuk terkena penyakit akibat jangkitan kuman atau bakteria daripada tanah sangatlah tinggi. Hampir 24 peratus daripada populasi dunia terjangkiti penyakit daripada tanah kerana berkaki ayam.

Kenton Lee, pengasas syarikat Because International telah menghasilkan kasut The Shoe That Grows. Kasut ini tahan lasak, tahan lama dan mampu untuk dilaraskan saiznya. Kenton Lee terpanggil untuk menghasilkan kasut ini apabila beliau melihat seorang kanak-kanak di Kenya memakai kasut yang sangat kecil jika dibandingkan dengan kakinya yang besar. Kasut ini mampu untuk dilaras pada lima tahap saiz yang berbeza dan dijangka dapat bertahan hingga lima tahun. Jadi, secara umumnya kanak-kanak akan menggunakan kasut yang sama untuk lima tahun dan sekali gus dapat menjimatkan kos pembelian kasut atau selipar yang baharu.

Kenton Lee bersama ciptaan kasut The Shoe That Grows.

Sebenarnya, masih terdapat beberapa lagi ciptaan yang sangat bermanfaat dan berguna seperti yang berikut:

  1. NowLight atau dahulunya dipanggil GravityLight yang menggunakan konsep penukaran tenaga mekanikal kepada tenaga elektrik untuk kegunaan semasa ketiadaan elektrik. Konsep ini persis seperti dinamo pada basikal pada suatu ketika dahulu.
  2. SafariSeat merupakan kerusi roda yang murah dan serba all-terrain.
  3. Hippo Roller merupakan kaedah pengumpulan air yang lebih mudah dan kurang memenatkan.
  4. Berkeley Darfur Stove ialah dapur masak yang lebih efisien, selamat dan murah.

Meskipun semua ciptaan ini tidaklah terkenal atau sering keluar di media sosial, namun setiap rekaan ini cukup terkenal di hati kebanyakan rakyat berpendapatan rendah. Hal ini disebabkan oleh ciptaan ini memberikan kesan dan manfaat yang besar kepada kehidupan mereka. Namun begitu, ciptaan yang canggih dan berteknologi tinggi masih diperlukan untuk membawa manusia ke arah yang lebih baik dan selesa.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!