11 Mei 2022, 11:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Sebanyak 9230 orang pesakit telah menjalani rawatan perubatan rehabilitasi berpanjangan di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seluruh negara setakat bulan April tahun ini.

Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Yang Berhormat Khairy Jamaluddin, sebanyak 2798 orang pesakit daripada jumlah tersebut melalui rawatan pesakit dalam, manakala selebihnya melalui rawatan pesakit luar.

Sebanyak 30 peratus hingga 40 peratus pesakit COVID berpanjangan dapat kembali bekerja dalam tempoh tiga bulan selepas dijangkiti COVID-19, manakala 60 peratus hingga 70 peratus pula dapat kembali bekerja dalam tempoh enam bulan selepas dijangkiti virus ini.

Lebih 4.4 juta individu telah berjaya sembuh daripada jangkitan COVID-19 sejak virus ini mula melanda negara dua tahun lepas. Namun begitu, terdapat segelintir individu mengalami komplikasi atau sindrom COVID berpanjangan.

Tambah beliau, COVID berpanjangan boleh berlaku tanpa mengira tahap jangkitan COVID-19. Antara gejala yang kerap dialami dan boleh memberikan kesan terhadap kefungsian serta aktiviti harian individu yang terkesan ialah kelesuan, kesukaran bernafas, batuk, kesakitan sendi dan otot, kesukaran tidur nyenyak, kelemahan anggota badan, mengalami masalah deria, kegelisahan, kekabutan otak, dan lesi kulit.

Mengulas dengan lebih lanjut tentang hal ini, beliau menyatakan bahawa gejala ini boleh berterusan jika tiada rawatan yang khusus dan berstruktur sehingga menjejaskan kualiti hidup individu yang mengalaminya. Bahkan, keadaan tersebut juga boleh menyebabkan implikasi seperti peningkatan morbiditi, kehilangan upaya, penurunan produktiviti, hilang punca pendapatan yang akhirnya akan menyebabkan bebanan sosioekonomi bukan sahaja kepada individu yang dijangkiti virus tersebut malah kepada keluarganya, masyarakat dan ekonomi negara.

Individu yang mengalami gejala COVID berpanjangan serius sehingga menjejaskan kefungsian yang ketara serta menjejaskan keupayaan untuk kembali bekerja boleh merujuk kes mereka di hospital dengan kepakaran perubatan rehabilitasi seperti yang telah disenaraikan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.