10 Mei 2022, 16:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Monsun Barat Daya dijangka bermula pada Sabtu ini dan berterusan sehingga pertengahan bulan September.

Menerusi kenyataan media oleh Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah pada pagi ini, beliau menyatakan bahawa semasa tempoh ini, angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil.

Hal ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan dan kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak berbanding dengan musim lain di samping menghasilkan taburan hujan yang rendah.

Tambah beliau, hujan lebat beserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah pada awal pagi dan dijangka berlarutan sehingga beberapa jam.

Dalam tempoh ini juga, fenomena jerebu boleh berlaku sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal, terutamanya pada bulan Ogos hingga bulan Oktober.

Orang ramai dinasihatkan agar menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh ini.

Maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial dan talian penting Jabatan Meteorologi Malaysia di 1-300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.