9 Mei 2022, 09:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Orang ramai dapat menyaksikan fenomena angkasa yang dikenali sebagai hujan tahi bintang Eta Aquarids bermula daripada 19 April hingga 28 Mei 2022.

Berdasarkan hantaran di laman Facebook Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), kemuncak fenomena ini berlaku pada awal pagi 7 Mei 2022 dengan purata sebanyak 50 tahi bintang per jam dengan kelajuan 66 kilometer sejam. Kenampakan hujan tahi bintang adalah baik kerana tiada gangguan bulan semasa kemuncak fenomena tersebut terjadi.

Menurut MYSA, hujan tahi bintang Eta Aquarids merujuk titik kemunculan hujan tahi bintang di langit, iaitu di kawasan buruj Aquarius, tetapi kemunculannya masih boleh berlaku daripada pelbagai arah. Fenomena yang dinamakan bersempena dengan bintang paling terang dalam buruj Aquarius, iaitu Eta Aquarii ini berlaku pada setiap tahun apabila bumi beredar mengelilingi matahari merentasi laluan orbit komet 1P/Halley atau dikenali sebagai Komet Halley.

Hujan tahi bintang Eta Aquarids terjadi disebabkan oleh debu komet Halley selain hujan tahi bintang Orionids yang berlaku pada bulan Oktober setiap tahun. Komet Halley dianggarkan mengambil masa selama 75 tahun hingga 76 tahun untuk melengkapkan orbitnya.

Jelas MYSA lagi, semasa komet ini mengorbit dan menghampiri matahari, debu komet yang terbebas disebabkan oleh proses pemejalwapan akan berserakan dan membentuk laluan yang dipenuhi dengan sisa komet tersebut. Sisa tinggalan inilah yang akhirnya akan memasuki atmosfera bumi dan terbakar lalu membentuk jalur bersinar yang panjang.

Fenomena hujan tahi bintang Eta Aquarids bersama-sama planet Zuhal, Marikh, Musytari dan Zuhrah yang telah dicerap dari Observatori Negara Langkawi pada 6 Mei 2022 antara pukul 5.00 pagi hingga 6.00 pagi.

(Sumber: Facebook Agensi Angkasa Malaysia)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.