27 April 2022, 13:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Menteri Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Yang Berhormat Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyeru seluruh Keluarga Malaysia memperbaharui tekad dan bersama-sama memainkan peranan dalam konservasi Tapir Malaya bersempena dengan Hari Tapir Sedunia 2022, hari ini.

Hari Tapir Sedunia disambut pada 27 April setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan dalam memelihara spesies tapir dan habitatnya. Tapir Malaya termasuk dalam satu daripada spesies ikonik di Malaysia yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan merupakan spesies yang terancam dalam Senarai Merah Spesies Terancam, Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) dan Senarai Merah Mamalia untuk Semenanjung Malaysia 2017.

Malaysia bertuah kerana mempunyai spesies Tapir Malaya yang merupakan spesies tapir terbesar di dunia. Tapir Malaya berbeza dengan spesies tapir lain di dunia kerana tapir ini adalah satu-satunya spesies tapir yang mempunyai dua warna yang jelas, iaitu hitam dan putih apabila meningkat dewasa.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia di bawah KeTSA akan sentiasa mempertingkat usaha konservasi in situ Tapir Malaya.

Menurut beliau, antara usaha kerajaan dalam melindungi spesies terancam ini, termasuklah dengan mengukuhkan perlindungan habitat dan koridor ekologi, melaksanakan inventori serta menguruskan konflik melalui operasi menyelamat dan memindah, memasang jalur rentas kuning, solar amber light, dan papan tanda hidupan liar melintas di lokasi yang dikenal pasti.

Selain itu, bagi konservasi ex situ pula, program pembiakan Tapir Malaya di Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun, Selangor telah menghasilkan sebanyak 18 kelahiran di dalam kurungan, manakala sebanyak 14 ekor Tapir Malaya yang diselamatkan akibat konflik dengan manusia telah dilepaskan semula ke habitat semula jadi sejak tahun 2008.

Kerajaan akan terus mempergiat langkah konservasi spesies terancam ini dengan menubuhkan Pusat Konservasi Tapir di Kenaboi, Negeri Sembilan yang dijangka akan siap dibina pada tahun 2025.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.