27 April 2022, 10:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada suatu ketika dahulu, banjir amat sinonim dengan musim tengkujuh. Namun begitu, mutakhir ini bencana alam ini acap kali dilaporkan dan seolah-olah sudah tidak bermusim lagi. Banjir berlaku dengan kepantasan sederhana tetapi mempunyai saiz bencana yang besar. Bencana alam ini mampu merosakkan harta benda, kehilangan nyawa dan terputus hubungan disebabkan oleh jalan raya yang ditenggelami air.

Terdapat dalam kalangan orang ramai yang berani mengambil risiko meredah banjir dengan memandu kenderaan dengan anggapan bahawa kedalaman air banjir yang cetek dan arus air tidak terlalu deras. Hakikatnya, memandu atau meredah jalan raya yang ditenggelami air banjir dan tidak diketahui kedalamannya ialah keputusan yang paling buruk.

Memang sukar untuk menganggar kedalaman air banjir, terutamanya di jalan raya dan pada waktu malam. Kadangkala, jambatan atau jalan yang ditenggelami banjir mungkin telah rosak atau hanyut sepenuhnya. Dalam sesetengah keadaan, banjir yang berlaku adalah setempat sehinggakan keadaan boleh berubah daripada memandu di jalan yang kering kepada memandu di jalan yang ditenggelami air sejauh beberapa kilometer. Apabila kenderaan bergerak dengan laju di atas satu lapisan air, kenderaan tersebut boleh menyatah air. Hal ini boleh berlaku dengan lebih mudah jika tayar kenderaan itu telah haus. Dalam keadaan ini, pemandu tidak terlatih boleh menyebabkan kenderaan hilang kawalan dengan mudah.

Menurut United States Geological Survey, air dengan kedalaman sebanyak 0.3 meter kebiasaannya mengenakan sekitar 230 kilogram metrik daya sisi ke atas kenderaan. Kajian menunjukkan bahawa air dengan kedalaman kira-kira 0.4 meter yang mencapai kelajuan 3.2 kilometer per jam mampu menghanyutkan kereta dari jalan raya. Apabila kenderaan telah terapung, air banjir akan bertindak seolah-olah seperti roda stereng. Sekiranya air banjir itu bergerak, air tersebut akan menghanyutkan kenderaan, menterbalikkan ke sisi atau menterbalikkan kenderaan sepenuhnya.

Air banjir yang semakin meningkat boleh memasuki kenderaan dalam masa beberapa minit, malah mungkin dalam beberapa saat sahaja. Air banjir yang mengalir sedalam 0.15 meter sahaja boleh menghanyutkan kenderaan. Jika seseorang itu terjatuh dan tersungkum, individu tersebut mungkin lemas sebelum disedari. Air banjir yang bergerak mengenakan tekanan ke atas objek seperti kereta atau manusia. Tekanan yang dikenakan adalah lebih kuat apabila kedalaman air bertambah atau kenderaan berada di kawasan yang lebih luas terdedah kepada air bergerak. Selain itu, permukaan jalan akan menjadi lebih licin dan geseran akan berkurangan. Kehadiran air dengan pasir atau lumpur berkemungkinan menggantikan daya geseran yang mengekalkan kereta itu di tempatnya.

Menurut Federal Emergency Management Agency, air dengan kedalaman sebanyak 0.15 meter akan mencecah bahagian bawah kebanyakan kereta penumpang dan menyebabkan kehilangan kawalan serta mungkin menegunkan kenderaan. Air sedalam 0.3 meter pula akan mengapungkan kebanyakan kenderaan, manakala air yang menderu sedalam 0.6 meter akan menghanyutkan kebanyakan kenderaan, termasuk kenderaan utiliti lasak (SUV) dan pikap.

Walaupun berat SUV mungkin dirasakan dapat memberikan perlindungan lebih besar jika melintasi jalan yang tenggelam, saiznya dan tayarnya yang lebih besar boleh menyebabkannya timbul dan lebih mudah dihanyutkan. Hal ini adalah berbahaya untuk memandu SUV meredah banjir sebagaimana memandu kenderaan biasa. Air sedalam 0.15 meter sudah mencukupi untuk menyebabkan tayar kenderaan kehilangan cengkaman dan meluncur. Memang benar, orang ramai mungkin tidak berisiko mati lemas, tetapi boleh hilang kawalan ke atas kenderaan dengan mudah dan mengalami kemalangan teruk.

Sekiranya sesuatu kenderaan itu terapung, hal ini bermaksud kereta tersebut tidak boleh dikemudi atau dibrek. Air banjir yang menderu boleh menghanyutkan kenderaan ke hilir. Apabila ditolak ke hilir, terdapat kemungkinan besar kenderaan akan dihanyutkan ke kawasan air yang lebih dalam atau rosak teruk akibat terkena serpihan dan objek di dalam air. Air banjir sedalam 0.6 meter adalah berbahaya dan mampu untuk mengapungkan kereta sedan segmen C seberat 1300 kilogram. Apatah lagi jika kenderaan itu ialah kereta yang lebih kecil dan ringan.

Antara bahaya lain yang menanti apabila memandu melalui jalan yang ditenggelami air banjir ialah terdapat kemungkinan enjin kenderaan akan mengalami hidrolok dan komponen elektronik tidak berfungsi. Hidrolok ini berlaku apabila air lantai memasuki kebuk pembakaran dan menghalang enjin daripada berfungsi.

Pendedahan yang berpanjangan kepada air banjir boleh menyebabkan kerosakan besar kepada sistem pendawaian dan elektrik kenderaan. Dalam kebanyakan sistem kereta moden, walaupun fungsi asas seperti menghidupkan enjin dikawal oleh sistem perkomputeran, sebarang kerosakan kepada sistem tersebut boleh membawa implikasi yang teruk. Hal ini termasuklah kereta tidak dapat dihidupkan.

Kos membaiki kerosakan kenderaan yang dimasuki air boleh mencecah ribuan ringgit, terutamanya untuk kenderaan yang sudah menggunakan “suntikan bahan api elektronik” yang banyak menggunakan sensor dan lebih sensitif. Tambahan pula, masa yang lebih diperlukan untuk proses pembaikian kenderaan yang rosak.

Jika air banjir masuk ke dalam kawasan enjin, risiko lain ialah pencemaran kepada cecair penting seperti minyak enjin kereta, minyak transmisi dan cecair pembezaan. Cecair ini membantu memastikan pelbagai komponen mekanikal kereta dilincirkan dengan betul dan bersih daripada sebarang serpihan serta menghilangkan haba yang berlebihan. Namun demikian, jika cecair ini bercampur dengan air, fungsi bagi setiap satunya akan terjejas. Memandu dengan cecair tercemar air banjir boleh menyebabkan geseran, haba dan lelasan yang berlebihan. Hal ini akan menyebabkan kehausan pramatang kepada bahagian dalam kereta dan seterusnya berisiko terhadap kegagalan komponen.

Secara umumnya, logam akan berkarat apabila terkena air. Kereta pada asasnya adalah seperti sebuah kotak logam yang direka bentuk secara kompleks. Mana-mana bahagian logam kenderaan yang tidak dilindungi dengan betul akan mula berkarat selepas terdedah kepada air banjir. Air juga merupakan konduktor elektrik. Jika terdapat sebarang wayar yang tenggelam dalam banjir yang menyebabkan kenderaan tenggelam, terdapat risiko yang tinggi untuk berlakunya renjatan elektrik.

Air banjir adalah sangat kotor kerana bukan sahaja terdiri daripada air hujan tetapi telah bercampur dengan air kumbahan, bahan kimia dan bahan pencemar, dan pelbagai detritus. Apabila memandu di atas jalan raya yang ditenggelami air banjir, kenderaan mungkin telah terkena air tercemar. Kemasukan air banjir seterusnya boleh menyebabkan pembiakan kulat dan bakteria terutamanya di bahagian kenderaan yang gelap, susah dicapai dan pengudaraan yang kurang baik. HaI ini akan menyebabkan kereta berbau busuk, hapak dan kualiti udara yang tidak sihat.

Orang ramai juga harus mengelak daripada memandu di dalam air yang talian elektrik atau kuasa telah terjatuh ke dalamnya. Hal ini disebabkan oleh arus elektrik mengalir di dalam air dengan mudah. Jika memandu di dalam air sedalam rim roda atau lebih tinggi, orang ramai dinasihatkan untuk menguji brek di jalan yang kering dengan kelajuan yang rendah. Jika kenderaan tersebut basah dan tidak menghentikan kenderaan sebagaimana yang sepatutnya, brek boleh dikeringkan dengan menekan lembut injak brek dengan kaki kiri sambil mengekalkan kelajuan dengan kaki kanan.

Sekiranya orang ramai berdepan dengan jalan yang dibanjiri, amatlah digalakkan untuk memilih laluan alternatif. Sekiranya tiada laluan alternatif dan perlu memandu melalui air banjir, cuba sebaik mungkin untuk menganggar kedalaman air dan memandu dengan perlahan di bahagian tengah jalan dan tetap melalui air. Jika kenderaan berhenti di air banjir yang dalam, enjin perlu dihidupkan semula untuk menyelamatkan diri. Jika kenderaan tidak dapat dihidupkan semula dan terperangkap dalam air yang semakin tinggi, tinggalkan kenderaan dengan serta merta dan naik ke tempat lebih tinggi. Di samping itu, cuba untuk membuka pintu atau turunkan tingkap untuk keluar daripada kenderaan. Sekiranya tidak dapat keluar dengan selamat, hubungi 999 atau tarik perhatian orang yang lalu-lalang atau seseorang yang berada di tempat lebih tinggi untuk meminta bantuan. Selain itu, cari poket udara terperangkap, yang biasanya terletak di tingkap belakang atau bumbung kenderaan. Jika tingkap kenderaan tidak dapat dibuka, pecahkan tingkap tersebut dengan alat menyelamat.

Menyedari kepentingan ini, kerajaan Amerika Syarikat dan Australia telah mengambil langkah proaktif dengan melancarkan kempen keselamatan semasa banjir dengan mempopularkan frasa Turn Around, Don’t Drown dan If It Is Flooded, Forget It. Kempen keselamatan seperti ini pasti dapat mempengaruhi tingkah laku ketika dilaksanakan bersama-sama dengan perundangan dan penguatkuasaan undang-undang. Pada masa ini, adalah menjadi satu harapan sekiranya kempen yang seumpama ini dapat dilaksanakan, terutamanya oleh pihak berwajib di negara ini kerana diketahui bahawa Malaysia menerima purata taburan hujan tahunan yang tinggi, iaitu sekitar 2500 milimeter hingga 3500 milimeter.

Orang ramai diingatkan supaya tidak terlalu naif tentang bahaya memandu dalam banjir. Setiap kali berhadapan dengan jalan yang dinaiki air, oramg ramai perlu sentiasa untuk mengelak daripada melalui kawasan tersebut. Pilihan yang lebih baik adalah mengambil laluan lain atau meletakkan kenderaan di tempat yang selamat sehingga banjir surut. Sebelum meninggalkan rumah, orang ramai disarankan supaya menyemak ramalan cuaca terlebih dahulu untuk kemungkinan sebarang hujan lebat atau banjir.

 

Profesor Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff ialah pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.