26 April 2022, 12:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – “Masyarakat perlu bersama-sama mengekalkan status sifar malaria manusia jangkitan tempatan di negara ini,” titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersempena dengan Hari Malaria Sedunia yang disambut pada 25 April setiap tahun.

Baginda bertitah demikian dalam siaran media Yayasan Tuanku Syed Putra bersempena kempen Perlis Hebat: Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Tindakan yang dianjurkan oleh yayasan berkenaan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Yayasan Tuanku Fauziah, hari ini.

Sambutan Hari Malaria Sedunia bertujuan memberikan kesedaran dan meningkatkan pengetahuan masyarakat berkaitan dengan penyakit malari dengan tema “Memanfaatkan Inovasi dalam Mengawal dan Mencegah Kematian Malaria”. Tema sambutan pada tahun ini juga menggalakkan inovasi serta memperluas penggunaan teknologi untuk meningkatkan keberkesanan strategi bagi mengawal malaria.

Menurut baginda, syarikat yang menggaji pekerja warganegara asing perlu memastikan pekerja tersebut, terutamanya dari negara endemik malaria telah disaring penyakit ini setiap kali mereka datang ke Malaysia.

Individu yang mempunyai sejarah menjalankan aktiviti berisiko jangkitan malaria dalam masa terdekat juga perlu mendapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berhampiran dengan segera sekiranya mengalami gejala malaria seperti demam, sejuk menggigil, berpeluh atau badan lemah.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Sirajuddin Hashim juga memaklumkan bahawa walaupun Malaysia telah mencapai sifar malaria manusia jangkitan tempatan sejak tahun 2018, namun begitu negara ini masih terdedah kepada kemasukan kes import malaria manusia yang boleh menjejaskan status Malaysia sebagai negara bebas malaria manusia jangkitan tempatan.

Tambah beliau lagi, trend peningkatan malaria zoonotik daripada spesies Plasmodium knowlesi yang berpunca daripada monyet juga amat membimbangkan. Oleh itu, pelibatan semua pihak serta komuniti adalah sangat penting agar dapat bersama-sama mencegah jangkitan malaria di negara ini, khususnya di negeri Perlis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.