26 April 2022, 17:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pahang telah menandatangani Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Utama Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Pahang dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Tambahan pada hari ini di Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Sesi menandatangani perjanjian tersebut disaksikan oleh disaksikan oleh Menteri Besar Pahang, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Timbalan Menteri KASA, Yang Berhormat Dato’ Mansor Haji Othman.

Sesi tandatangan Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Utama Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Pahang.

Perjanjian Tambahan ini melibatkan empat pihak, iaitu Ketua Setiausaha KASA yang mewakili Kerajaan Persekutuan, Yang Berbahagia Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; Setiausaha Kerajaan Pahang mewakili Kerajaan Negeri Pahang, Yang Berhormat Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Ketua Pegawai Eksekutif mewakili Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Encik Abdul Hadi Ali; dan Ketua Pegawai Eksekutif mewakili Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Encik Saiful Zaini Mohd Bahari.

 

Melalui kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, antara intipati utama Perjanjian Tambahan ini ialah pemberian moratorium kepada PAIP bermula daripada kenaikan tarif air dan penetapan tempoh pinjaman selama 45 tahun diberikan kepada PAAB, termasuklah tempoh selama lima tahun penangguhan pinjaman yang berkuat kuasa mulai tarikh kenaikan tarif air di Pahang dilaksanakan.

Dalam kenyataan yang sama, penyempurnaan penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri Pahang ini dilaporkan tidak memberikan implikasi kewangan secara langsung kepada Kerajaan Persekutuan dan persetujuan pelaksanaan hapus kira pinjaman bekalan air luar bandar kepada Pahang yang berjumlah RM1 bilion masih tertakluk.

Di samping itu, PAIP juga berpotensi mendapatkan akses kepada kemudahan pinjaman PAAB untuk pembangunan aset air di Pahang berdasarkan pendekatan build and lease dengan kadar kompetitif berbanding dengan pembiayaan komersial.

Hal ini membolehkan PAIP memulakan penambahbaikan kecekapan dan peningkatan kualiti perkhidmatan air kepada pengguna dengan pembinaan loji rawatan air baharu, naik taraf loji rawatan air sedia ada serta penggantian paip dan sistem agihan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.