25 April 2022, 12:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Malaysia menghadapi ancaman peningkatan jangkitan malaria zoonotik yang ditularkan oleh haiwan seperti beruk dan kera kepada manusia melalui gigitan nyamuk Anopheles sp.

Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Yang Berhormat Khairy Jamaluddin dalam kenyataan medianya pada hari ini, kes malaria zoonotik di Malaysia telah meningkat kepada 3575 kes pada tahun 2021, berbanding dengan 376 kes pada tahun 2008.

Peningkatan kes malaria zoonotik adalah disebabkan oleh pembukaan tanah yang pesat untuk aktiviti perladangan yang menyebabkan peningkatan pendedahan manusia kepada haiwan perumah semula jadi kepada parasit Plasmodium knowlesi.

Tambahnya lagi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mempertingkat keupayaan diagnosa malaria zoonotik melalui kaedah reaksi rantai polimerase (PCR) dan rawatan malaria sedia ada juga berkesan untuk malaria zoonotik.

Menurut Khairy Jamaluddin lagi, Malaysia telah mencapai sifar malaria manusia jangkitan tempatan selama empat tahun berturut-turut, bermula pada tahun 2018 hingga 2022.

Kejayaan membendung malaria manusia jangkitan tempatan adalah hasil keberkesanan inovasi, strategi pengurusan kes dan kawalan vektor yang dilaksanakan oleh KKM. Antara inovasi tersebut ialah semburan residual racun serangga, penggunaan kelambu berubat dan penggunaan ubat Artemisinin Combination Therapy bagi rawatan malaria.

Walau bagaimanapun, Malaysia masih terdedah kepada risiko kemasukan semula jangkitan malaria manusia.

“Pada tahun 2021, terdapat sebanyak 111 kes import manusia. KKM telah menyusun strategi baharu seperti saringan malaria di pintu masuk terpilih, memetakan kawasan yang mempunyai risiko tinggi kemasukan semula malaria dan mengenal pasti sektor berisiko seperti perladangan dan perhutanan untuk aktiviti survelan malaria.”

Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan jika seseorang itu bergejala demam, mempunyai sejarah masuk ke kawasan berisiko malaria atau baru pulang dari negara endemik malaria, mereka perlu mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan.

“Pekerja dalam sektor perladangan dan perhutanan perlu melakukan ujian saringan malaria secara berkala. Amalkan langkah pencegahan jangkitan seperti pemakaian seluar panjang dan baju berlengan panjang serta menggunakan ubat penghalau nyamuk untuk melindungi diri dari gigitan nyamuk,” jelasnya lagi.

Hari Malaria Sedunia merupakan satu daripada sambutan Hari Kesihatan Awam Sedunia yang disambut pada 25 April setiap tahun. Tema sambutan pada tahun ini ialah Harness Innovation to Reduce The Malaria Disease Burden and Save Lives.

Pada tahun ini, pelbagai program telah diatur termasuklah program bual bicara radio dan televisyen, pertandingan video TikTok malaria dan pameran kesihatan berkaitan malaria. Majlis Pelancaran Hari Malaria Sedunia Peringkat Kebangsaan akan menjadi pengisian utama jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat pada 16 Julai hingga 17 Julai 2022 di daerah Kinta, Perak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.