25 April 2022, 15:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bandar Tenggara – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) akan melancarkan bagang penangkapan bilis terapung biokomposit pada bulan Mei ini di Kota Belud, Sabah. Projek yang bakal memberikan peluang pendapatan baharu kepada lebih 100 orang Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sabah  ini merupakan hasil daripada projek Malaysia Social Innovation yang dilaksanakan oleh Nuklear Malaysia dan Yayasan Inovasi Malaysia.

Menurut Menteri MOSTI, Yang Berhormat Dato’ Sri Dr. Adham Baba, projek ini merupakan pemula terhadap pembangunan struktur terapung lestari di kawasan tersebut untuk dimajukan kepada penternakan akuakultur marin dan sektor pelancongan akua.

Limpahan daripada pembangunan ini akan memberikan manfaat kepada kebanyakan rakyat di Sabah dan model pembangunan ekonomi yang sama boleh dibuat di Semenanjung Malaysia, terutamanya di Johor.

Beliau juga berkata, Nuklear Malaysia telah menghasilkan radio isotop Samarium 153 bersama-sama kit EDTMP untuk rawatan paliatif pesakit kanser yang digunakan untuk membantu melegakan kesakitan tulang yang dihidapi oleh pesakit tersebut.

Samarium 153 yang selamat digunakan mempunyai beberapa kelebihan seperti memberikan penambahbaikan ketara skor kesakitan kepada pesakit selain mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan analgesik narkotik.

Nuklear Malaysia yang merupakan sebuah agensi di bawah MOSTI memainkan peranan yang besar dan memberikan dimensi baharu kepada landskap perubatan negara kerana dapat menjimatkan kos, yakni ubat yang diperlukan tidak perlu lagi diimport dari luar negara.

Tambah beliau lagi, Nuklear Malaysia turut menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan beberapa produk biokomposit, iaitu bahan baharu berasaskan serat semula jadi yang diadun bersama-sama bahan plastik tersinar dan digabungkan dengan partikel nano.

Bahan komposit ini juga telah dipertingkat sifatnya seperti kekuatan dan ketegaran, ketahanan air, sifat mekanik, sifat terma serta sifat fizikal. Bahan ini juga mudah diproses dan dibentuk menjadi produk yang diperlukan.

Dalam perkembangan lain, MOSTI menerusi Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) sedang giat menjalankan projek Pembangunan Pusat Kemudahan Latihan Simulasi Pasukan Tindak Balas Nuklear (RMKe-12).

Beliau turut menjelaskan bahawa projek ini merupakan satu daripada usaha untuk menjadikan AELB sebagai sebuah pusat latihan fizikal bagi meningkatkan dan mengekalkan keupayaan pasukan terhadap tindak balas nuklear dalam menangani kejadian radiologi dan nuklear.

Sementara itu, bagi rakyat di Johor, pusat operasi AELB di Pejabat Cawangan Kulai sentiasa bersedia untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat, terutamanya dalam penyampaian perkhidmatan perlesenan dan penguatkuasaan tenaga atom yang lebih cekap dan berkesan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.