23 April 2022, 12:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – “Rakyat khususnya di Perlis seharusnya sentiasa bersyukur kerana masih dapat hidup dalam persekitaran yang baik dan terkawal. Udara dan sumber air di Perlis juga kurang tercemar. Negeri Perlis juga jarang-jarang mengalami cuaca yang ekstrim sehingga mengakibatkan banjir besar, tanah runtuh dan sebagainya. Selain itu, bekalan air bersih juga bukan isu di negeri ini. Oleh itu, masyarakat diseru untuk bersama-sama melipatgandakan usaha untuk terus menjaga alam sekitar,” titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Apabila persekitaran kondusif, maka kesihatan juga akan terjamin. Demikian titah DYTM Raja Muda Perlis selepas berkenan berangkat menyempurnakan penyerahan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM21 000 kepada 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Al Istiqamah, Telok Jambu, Kangar baru-baru ini. Masing-masing menerima RM700 setiap seorang yang diagihkan melalui amilnya, Yunus Kasa.

Penyerahan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada 30 orang asnaf terpilih.   

Bersempena dengan Hari Bumi yang diperingati pada 22 April setiap tahun dengan tema “Invest in Our Planet” pada kali ini bagi menunjukkan sokongan terhadap perlindungan alam sekitar. Peningkatan kes penyakit bawaan vektor seperti denggi dan malaria, bekalan makanan dan air minuman yang tidak selamat serta kejadian yang berlaku ekoran cuaca ekstrim seperti banjir besar di sesetengah tempat lain telah memberikan pengajaran kepada masyarakat bahawa hal ini boleh memberikan tekanan kepada ketidakseimbangan dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan. Perkara ini juga akan memberikan impak yang sangat tinggi, terutamanya kepada golongan yang lemah dan rentan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr. Sirajuddin Hashim turut menyatakan bahawa pencemaran terhadap persekitaran juga boleh menyebabkan rantaian makanan tercemar. Selain itu, peningkatan penghasilan makanan dan minuman berproses yang tidak sihat juga mampu menyebabkan peningkatan masalah obesiti, penyakit kanser dan jantung serta penyakit tidak berjangkit lain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.