18 April 2022, 09:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tanah Merah – Projek Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man melalui Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRAK) memperkenalkan lalat tentera hitam (BSF) atau nama saintifiknya, Hermetia illucens untuk membantu dalam menguruskan sisa secara lestari di Kelantan.

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, Yang Berhormat Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, projek pengurusan sisa lestari ini menggunakan larva spesies BSF yang akan membantu melupuskan pelbagai jenis sisa buangan organik harian.

Projek di bawah kelolaan Majlis Daerah Tanah Merah ini dijangka mampu mengurangkan lebih lima tan sampah di negeri ini. Secara tidak langsung, hal ini dapat meningkatkan jangka hayat tapak pelupusan sampah, memelihara sumber alam semulajadi dan mengurangkan pencemaran alam.

YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man semasa memberikan ucapan perasmian.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa projek ini bakal memberi manfaat kepada 27 000 penduduk bandar Tanah Merah. Di samping itu, anggaran potensi pengurangan karbon dioksida boleh mencecah hingga 1070 tan setahun yang bersamaan dengan nilai penyerapan karbon oleh 26 750 pokok teduhan yang telah matang.

“Kementerian optimis dengan pelaksanaan konsep bandar rendah karbon yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi hijau domestik. Hal ini sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan serta mampu menarik minat pelaburan asing,” ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau menjelaskan GeRAK menerima peruntukan sebanyak RM35 juta menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi yang diluluskan kerajaan kepada seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Malaysia.

“Setakat ini, sebanyak 141 PBT telah memanfaatkan peruntukan ini untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bandar rendah karbon merangkumi elemen tenaga, air, sisa, mobiliti dan kehijauan di kawasan atau fasiliti awam. Di negeri Kelantan sendiri, peruntukan dengan nilai keseluruhannya berjumlah RM2.94 juta sudah diluluskan untuk kegunaan 12 PBT,” tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Majlis Pelancaran Projek Pengurusan Sisa Lestari BSF di Pasar Borong Tanah Merah, semalam.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Yang Berhomat Tuan Haji Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.