15 April 2022, 11:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Penggunaan ubat antiviral Paxlovid merupakan satu lagi inisiatif kerajaan bagi melawan jangkitan COVID-19 dan keutamaan pemberian ubat ini diberikan kepada pesakit warga emas, pesakit dengan pelbagai komorbiditi serta masalah sistem imun.

Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Yang Berhormat Khairy Jamaluddin, pesakit yang diberikan skor tiga dan ke atas juga akan diberikan keutamaan untuk menerima rawatan dengan menggunakan ubat antiviral. Selain golongan berisiko tinggi dan pesakit COVID-19 pada tahap dua dan tahap tiga, rawatan ini juga boleh diberikan kepada individu yang berumur 18 tahun ke atas, termasuklah kepada mereka yang tidak memerlukan terapi oksigen.

Ubat antiviral Paxlovid perlu dimulakan dalam tempoh lima hari bergejala bagi mencapai keberkesanan yang optimum dan pesakit juga perlu memastikan pengambilannya mengikut dos yang disarankan.

Tambah beliau, ubat itu hanya ditawarkan di fasiliti kesihatan kerajaan, iaitu di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) dan hospital kerajaan. Pesakit COVID-19 yang hadir ke CAC dan hospital kerajaan akan disaring dan dinilai oleh pegawai perubatan berdasarkan jumlah skor bagi kriteria yang telah ditetapkan sebelum dimulakan dengan rawatan ubat Paxlovid.

Rawatan COVID-19 melalui pemberian ubat Paxlovid pada peringkat awal penyakit dapat mencegah jangkitan tersebut daripada menjadi lebih mudarat. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa penggunaan ubat ini boleh mengurangkan hampir 90 peratus risiko kemasukan ke hospital atau kematian.

Beliau juga berkata, penggunaan ubat ini bukan bertujuan untuk menggantikan vaksinasi COVID-19 serta pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam mengawal penularan jangkitan COVID-19. Hal ini dikatakan demikian kerana vaksinasi COVID-19 tetap kekal sebagai senjata terbaik bagi memerangi wabak ini.

Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) telah meluluskan pendaftaran secara bersyarat Paxlovid sebagai ubat antiviral bagi rawatan COVID-19 pada 3 Mac yang lalu. Ubat ini mengandungi dua bahan aktif, iaitu PF-07321332/Nirmatrelvir dan Ritonavir dalam dua tablet yang berbeza.

Mengulas lebih lanjut tentang hal ini, beliau menjelaskan penghantaran fasa pertama ubat ini pada 9 April 2022 yang lalu dapat menampung rawatan bagi 48 000 orang pesakit dan kini dalam proses agihan ke fasiliti kesihatan kerajaan.

Setakat ini, penghantarannya telah dilakukan ke 14 buah hospital di setiap negeri, kecuali Sabah dan Sarawak yang dihantar ke stor logistik farmasi negeri masing-masing.

(Sumber: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia)
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.