11 April 2022, 08:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pernahkah anda berasakan diri tidak berguna, tertekan, kurang keyakinan diri sendiri atau diulit rasa bersalah tanpa sebab yang jelas? Adakah anda menyedari bahawa selain menyisihkan diri daripada keluarga serta rakan, anda tidak lagi mahu mengikuti aktiviti yang dahulunya amat digemari?

Menurut Pegawai Psikologi Kanan, Pusat Kaunseling, Universiti Utara Malaysia, Faezah Nayan, perubahan pada corak makan dan tidur, pertambahan berat badan atau tidak berasa lapar sepanjang masa, berasa penat dan lesu, sukar menumpukan perhatian, sukar berfikir, mengingat atau membuat keputusan juga merupakan gejala yang menunjukkan seseorang itu mula mengalami gangguan psikologi.

Selain itu, tanda gangguan psikologi yang berbahaya dan memerlukan rawatan segera termasuklah kerap mengalami sakit kepala, masalah penghadaman atau kesakitan kronik yang tidak dapat diatasi dengan pengambilan ubat, menunjukkan perlakuan yang melulu, mengambil dadah atau minuman beralkohol, atau  menunjukkan perlakuan yang boleh membahayakan diri atau orang sekeliling.

Lebih menakutkan, terdapat juga individu yang mempunyai gangguan psikologi yang serius mempunyai niat untuk membunuh diri. Antara tanda-tanda yang boleh dilihat adalah seperti bercakap atau menulis mahu mencederakan atau membunuh diri, mencari jalan untuk membunuh diri dengan melihat akses kepada pil dan bahan bakar serta memberikan hadiah yang sangat disayangi kepada orang lain.

Untuk mengatasi masalah ini, setiap individu yang mengalami gangguan psikologi perlu menyesuaikan diri dengan norma baharu melalui dua fasa penyesuaian kendiri, iaitu penyesuaian kendiri dalaman dan luaran. Penyesuaian kendiri dalaman merujuk individu membuat penyesuaian pada dirinya untuk memenuhi kehendak dan perubahan luaran bagi mencapai kesejahteraan diri. Penyesuaian ini melibatkan komponen sikap yang meliputi elemen tingkah laku diri, kognitif dan emosi.

Kognitif yang positif diterangkan sebagai kemampuan minda untuk meletakkan persepsi dan pemikiran yang baik dan positif pada setiap dasar, perintah dan polisi yang ditetapkan, misalnya arahan pihak kerajaan berhubung wabak COVID-19 yang beraspirasikan kesejahteraan sejagat. Sekiranya minda seseorang itu subur dengan elemen positif terhadap norma baharu, maka individu itu dapat melihat dan menetapkan sesuatu matlamat dengan jelas. Hal ini seterusnya dapat membuatkan seseorang individu itu melalui penyesuaian kendiri dengan baik walau apa jua halangan yang  mendatang. Sebagai contohnya, dengan memahami konsep perubahan sebagai lumrah kehidupan, perkara tersebut mampu menjadikan individu itu menerima perubahan dengan berlapang dada.

Seterusnya, perihal penyesuaian diperlukan apabila individu berhadapan dengan peristiwa, impak atau perubahan yang besar dalam hidup seperti kehilangan dan kematian orang tersayang serta berhadapan penyakit kronik atau pandemik COVID-19. Penyesuaian boleh membawa kepada kesan buruk psikologi seperti tekanan, kebimbangan, murung, cemas, gagal mengawal kemarahan, kecelaruan minda dan masalah tingkah laku sekiranya tidak diurus dengan baik.

Penyesuaian melalui kawalan tingkah laku diri dan emosi memainkan peranan penting dalam mengawal tindakan dan emosi menerusi strategi daya tindak yang betul selain menimbulkan rasa gembira dan tenang. Misalnya, apabila penjarakan fizikal dilaksanakan, individu masih boleh berinteraksi melalui media sosial dan amalan kerap mencuci tangan dilakukan apabila seseorang itu berurusan dengan pihak lain mampu mencipta persekitaran yang lebih selamat.

Pada waktu yang sama, orang ramai juga dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat daripada sumber sahih seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara. Hal ini untuk mengelakkan penerimaan maklumat palsu yang berlegar di media sosial yang boleh menimbulkan kebimbangan yang serius.

Bagi mengekalkan kesejahteraan psikologi, penjagaan diri yang baik seperti menjaga makan, tidur secukupnya, melakukan senaman serta meneruskan rutin harian seperti biasa amatlah digalakkan. Sekiranya seseorang itu dalam tempoh kuarantin, sokongan emosi dan mental amatlah penting. Mereka boleh berinteraksi dengan keluarga dan rakan-rakan secara dalam talian. Mereka juga boleh meluahkan kebimbangan yang dirasai serta dapatkan kaunseling secara dalam talian jika perlu.

Individu yang mempunyai gangguan psikologi perlu diberikan perhatian kerana mereka lebih sensitif terhadap tekanan, terutamanya yang mempunyai penyakit seperti gangguan keresahan, kecelaruan obsesif kompulsif dan kemurungan. Individu yang mempunyai kebimbangan yang ketara juga disarankan untuk mengurangkan pendedahan terhadap media seperti televisyen dan surat khabar. Satu daripada cara termudah untuk bertenang adalah dengan mengamalkan teknik relaksasi melalui amalan senaman dengan nafas panjang, relaksasi otot dan meditasi. Selain itu, dengan melakukan ibadat juga dapat memberikan ketenangan jiwa dan tubuh badan.

Individu yang mempunyai gangguan psikologi disarankan dapatkan penilaian psikiatri sekiranya mengalami perasaan cemas, gemuruh serta sedih yang berpanjangan hingga menjejaskan fungsi harian. Kesihatan mental adalah sama penting dengan kesihatan fizikal dan pencegahan pada peringkat awal dapat membantu seseorang itu menjalani kehidupan dengan lebih baik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.