8 April 2022, 13:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arak merupakan suatu minuman yang boleh mengundang bahaya dan mendedahkan manusia kepada perbuatan seperti perlakuan jenayah, kerosakan masyarakat, perpecahan, dan keganasan rumah tangga.

Ahli Jawatankuasa Unit Dakwah dan Program Bukan Islam (PEACE), Ahmad Fadhlullah Hilmi Mohd Fazilah.

Menurut Ahli Jawatankuasa Unit Dakwah dan Program Bukan Islam (PEACE), Ahmad Fadhlullah Hilmi Mohd Fazilah, Allah mengurniakan nikmat yang pelbagai kepada manusia, terutamanya nikmat akal yang membezakan manusia dengan makhluk lain. Kestabilan hidup manusia sama ada sebagai individu atau masyarakat bergantung pada kesempurnaan dan kekuatan akalnya.

Tambah beliau, semua jenis minuman yang memabukkan akan merosakkan akal dan menyebabkan jiwa peminum arak ini menjadi lemah, dikuasai oleh hawa nafsu, timbul rasa benci-membenci, dan persengketaan dalam kalangan manusia hingga putus hubungan persaudaraan serta hilang rasa kasih sayang.

“Lebih dahsyat lagi, kesan meminum arak menghalang manusia untuk mengingati Allah dan menjauhi mereka daripada rahmat, kurniaan dan ihsan-Nya,” jelas beliau melalui program Q&A About Islam secara dalam talian yang dianjurkan oleh Pusat Islam Universiti Utara Malaysia.

Program Q&A About Islam secara dalam talian yang dianjurkan oleh Pusat Islam Universiti Utara Malaysia.

Mengulas lanjut tentang hal ini, beliau mengatakan bahawa arahan menjauhi arak adalah lebih kuat dan ditekankan dalam Islam berbanding dengan tegahan meminum arak. Hal ini termasuklah tegahan lain yang berkaitan dengannya seperti melayan seseorang itu meminum arak, membeli atau menjual arak, manakala arahan menjauhi arak pula bermaksud amaran supaya menjauhi segala perkara yang berkaitan dengan arak.

Jelasnya, Islam bukan sahaja mengharamkan meminum arak, malah mendekatinya juga dilarang sama sekali kerana meminum arak bukanlah suatu budaya yang sihat dan memang patut dijauhi. Arak merujuk semua perkara atau benda yang memabukkan walau apa-apa pun namanya, dan hukum meminumnya adalah sama dengan hukum arak, iaitu haram.

Maksud mabuk ialah pemikiran terlalu kacau dan menghalang fungsi akal kerana tidak dapat mengawalnya dengan bijak dan sepatutnya. Maksud memabukkan pula ialah sesuatu yang diminum biasanya menyebabkan seseorang itu mabuk tanpa mengira kadarnya.

Mengulas kesan alkohol terhadap tubuh manusia, beliau mengatakan bahawa minuman beralkohol mengandungi etanol, iaitu sebatian yang tergolong dalam kumpulan dadah yang boleh menindas fungsi sistem saraf pusat, boleh melambatkan tindak balas fizikal dan mental. Etanol juga merupakan dadah yang boleh mendatangkan kebergantungan atau ketagihan jika diambil setiap hari.

Menurutnya lagi, seseorang yang mabuk itu akan hilang koordinasi gerak tubuh dan gangguan terhadap pertimbangan dan kewarasan fikiran, dan akhirnya mereka boleh terjatuh, mengalami kemalangan, bergaduh, tercedera atau hilang ingatan. Kesemua ini merupakan komplikasi atau kesan kemudaratan jangka pendek berkaitan dengan pengambilan minuman beralkohol. Kesan lain akibat mabuk adalah dikenal sebagai pengar (hangover).

Antara gejala pengar alkohol termasuklah sakit kepala, loya, muntah, cirit birit, mengalami gangguan pergerakan usus, dan menggeletar selama beberapa jam. Kesemua gejala ini bergantung pada jumlah alkohol dalam darah pada ketika itu. Gejala ini akan hilang apabila semua alkohol dalam peredaran darah telah dikumuhkan daripada badan.

Sebelum mengakhiri program, beliau mengatakan bahawa kemudaratan alkohol kepada sistem saraf dan otak merupakan kesan jangka masa panjang alkohol yang paling kerap dilaporkan dalam kalangan orang dewasa. Antara kesan alkohol terhadap kesihatan mental ialah kecelaruan tingkah laku dan fikiran, keresahan dan kebingungan, kekeliruan, hilang ingatan sementara atau kekal, kemurungan, kecenderungan untuk membunuh diri. dan psikosis. Oleh sebab itu, Islam mengharamkan arak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!