7 April 2022, 15:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Sambutan Hari Kesihatan Sedunia pada tahun ini bertemakan “Planet Kita, Kesihatan Kita”. Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sambutan pada tahun ini adalah untuk meningkatkan kesedaran terhadap langkah dan tindakan penting yang perlu diambil untuk memastikan penduduk dan planet sentiasa sihat.

Kualiti udara, air bersih dan pemakanan merupakan tiga aspek yang diberikan keutamaan pada tahun ini kerana kaitannya di seluruh dunia. Pada masa ini, adalah amat penting untuk terus memberikan tumpuan kepada kesejahteraan masyarakat, terutamanya selepas dua tahun masyarakat di seluruh dunia menempuh tahun yang sukar dalam memerangi COVID-19.

Menurut wakil WHO di Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura, Dr. Rabindra Abeyasinghe, pandemik tersebut menyerlahkan betapa berkait rapatnya kesejahteraan manusia dengan planet. Oleh itu, sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2022 memberikan tumpuan kepada planet dan kesihatan serta langkah yang diperlukan untuk mengekalkan kesejahteraan kedua-duanya.

Secara keseluruhannya, kualiti udara di Malaysia juga telah bertambah baik. Walau bagaimanapun, Malaysia masih lagi menghadapi masalah pencemaran udara akibat fenomena jerebu. Bahkan, Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan telah dibangunkan sebagai usaha untuk mengatasi masalah jerebu yang sentiasa berulang di negara ini. KKM juga sentiasa menyemak garis panduan kesihatan awam untuk mengurangkan kesan kesihatan yang berlaku akibat jerebu.

Selain jerebu, merokok juga antara faktor yang menyumbang kepada udara yang tidak bersih di Malaysia. Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah yang serius untuk memastikan hak bukan perokok untuk menikmati gaya hidup sihat dan udara bersih bermula dengan larangan merokok di semua kedai makan di seluruh negara yang telah berkuat kuasa pada 1 Januari 2019. Yang terkini, kerajaan juga sedang mengkaji pelaksanaan undang-undang baharu bagi melarang aktiviti merokok, pemilikan sebarang produk tembakau, termasuklah rokok elektronik kepada generasi yang dilahirkan selepas tahun 2005.

Dalam usaha untuk membekalkan air bersih kepada masyarakat pula, KKM telah melaksanakan program sanitasi alam sekitar luar bandar sejak sekian lamanya melalui unit Bekalan Air dan Sanitasi Alam sekitar (BAKAS). Program ini telah menyumbang kepada liputan hampir penuh bekalan air bersih dan selamat di seluruh negara, terutamanya kepada masyarakat luar bandar.

Selain itu, KKM juga telah membantu memastikan kualiti air minuman yang dibekalkan adalah selamat dan berkualiti melalui Program Pengawasan Kualiti Air Minuman dalam usaha mengurangkan penyakit bawaan air atau penyakit berkaitan dengan kualiti bekalan air awam yang rendah. KKM turut bercadang untuk memperkenalkan Akta Kualiti Air Minum bagi memperkukuh perlindungan kepada kesihatan masyarakat.

Kerajaan Malaysia juga terus komited untuk memastikan kesejahteraan masyarakatnya dengan meningkatkan status pemakanan, mengurangkan penyakit tidak berjangkit berkaitan dengan diet dan memperkukuh keselamatan makanan dan pemakanan melalui Dasar Pemakanan Kebangsaan 2.0.

Di samping itu, Malaysia dengan kerjasama industri makanan juga menyokong usaha global untuk melindungi kesihatan rakyat dan planet kita dengan menangani pengeluaran makanan dan minuman yang tidak sihat sambil membantu mengurangkan kadar pelepasan gas rumah hijau. Antaranya adalah dengan mengenakan cukai eksais terhadap minuman manisan bergula yang diharapkan mampu mengurangkan permintaan dan penggunaan minuman yang tidak sihat ini.

Menurut Menteri KKM, Yang Berhormat Khairy Jamaluddin, kita sebenarnya berhutang kepada planet ini dan menjadi tanggungjawab semua pihak bagi memastikannya selamat dan sihat untuk generasi masa hadapan. Masyarakat juga perlu berusaha untuk kekal cergas dan sihat untuk diri sendiri, keluarga serta masyarakat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.