4 April 2022, 11:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Air merupakan sumber keperluan asas bukan sahaja bagi manusia tetapi untuk semua benda hidup di muka bumi. Dianggarkan sebanyak 74 peratus permukaan bumi ini diliputi dengan air. Bahkan, setiap kehidupan berasal daripada air. Oleh sebab itu, manusia ataupun kehidupan lain tidak dapat hidup di planet lain berikutan ketiadaan sumber air.

Berdasarkan kajian, manusia boleh hidup lebih daripada seminggu tanpa makanan tetapi hanya dapat hidup beberapa hari tanpa air. Situasi ini menggambarkan bahawa betapa pentingnya air dalam kehidupan hingga Hari Air Sedunia disambut pada 22 Mac setiap tahun. Tarikh ini telah ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1992 di Rio de Janeiro, Brazil. Sambutan Hari Air Sedunia sebagai bentuk peringatan kepada masyarakat untuk sentiasa melakukan usaha melestarikan sumber air. Tema sambutan pada tahun ini memfokuskan air bawah tanah yang walaupun tidak kelihatan di permukaan tetapi manfaatnya sangat signifikan kepada kehidupan.

Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan sumber air kerana menerima kira-kira 2000 milimeter taburan hujan setahun. Sumber air yang utama di Malaysia berpunca daripada sungai, tasik dan air bawah tanah. Hampir 95 peratus sumber bekalan air di negara ini adalah daripada air permukaan dengan pembinaan empangan bagi takungan air serta sumber hidroelektrik, berbanding dengan sumber air bawah tanah yang hanya menyumbang sebanyak lima peratus daripada jumlah keperluan keseluruhan.

Hal ini dibuktikan dengan kajian yang dilakukan oleh Chan Ngei Weng yang bertajuk Water Resources Management in Malaysia: NGO Perspectives yang menyatakan bahawa Malaysia mempunyai kira-kira 189 lembangan sungai yang menyumbang kepada anggaran tahunan 900 billion meter padu sumber air di Malaysia. Situasi ini disebabkan oleh Malaysia memiliki kawasan bukit dan tanah tinggi yang menjadi kawasan tadahan air semula jadi, dan seterusnya membentuk aliran sungai ke kawasan yang lebih rendah.

Secara logiknya, air itu tiada nilainya dalam ekonomi selain dikaitkan sebagai  sumber milik awam dan melibatkan aktiviti kebajikan. Ruhana Padzil dalam kajiannya, Analisis Isu Air Singapura-Johor: Permintaan dan Bekalan menyatakan bahawa Adam Smith turut menerangkan kepentingan air dapat disamakan dengan kepentingan udara kepada manusia. Sebelum ini, sumber air dianggap sebagai suatu yang tidak pernah diberikan nilai ekonomi. Kini, semua pihak bersetuju bahawa sumber air sebenarnya mempunyai nilai komersial yang begitu tinggi dalam ekonomi. Sebagai contohnya, Malaysia menjual bekalan air kepada Singapura melalui negeri Johor disebabkan oleh negara tersebut mengalami kekurangan sumber bekalan air berikutan kepesatan industri pelabuhan dan perindustrian di negara tersebut.

Selain itu, air sebagai sumber asli yang paling tidak ternilai dan mempunyai kepentingan yang pelbagai terhadap kehidupan seperti kegunaan domestik, digunakan oleh sektor awam, perindustrian, perdagangan, dan pertanian. Di Malaysia, kegunaan air bagi tujuan domestik dianggarkan melibatkan 40 peratus hingga 60 peratus daripada keseluruhan bekalan air negara. Antara kegunaan domestik adalah seperti memasak, mandi, mencuci baju, dan sebagainya. Krisis air di Selangor yang semakin kerap berlaku akhir-akhir ini ialah bukti yang jelas pentingnya air dalam kehidupan, dan seterusnya membuka mata masyarakat tentang kepentingannya. Menurut Persatuan Air Malaysia, sebanyak 259 000 daripada 419 000 kejadian terputus bekalan air telah berlaku di Selangor. Secara puratanya, penduduk di Selangor, terutamanya di Lembah Klang berhadapan dengan masalah bekalan air dua kali ganda dalam tempoh sebulan.

Secara umumnya, bekalan air bersih berkurangan akibat permintaan yang meningkat selari dengan pertambahan penduduk, perbandaran dan sektor ekonomi, khususnya perindustrian. Krisis air yang berlaku di Malaysia melibatkan pelbagai faktor seperti kurangnya taburan hujan, pembaziran sumber air oleh masyarakat, pencemaran sungai, dan kebocoran paip. Isu krisis air ini seharusnya membuka mata semua pihak kerana menurut PBB, dunia sedang menghadapi masalah untuk mendapatkan sumber air. Dijangkakan menjelang tahun 2025, dua daripada tiga orang tidak akan menikmati bekalan air bersih. Oleh itu, PBB telah mengisytiharkan tempoh dari tahun 2005 hingga tahun 2015 sebagai Dekad Tindakan Antarabangsa yang bertemakan “Water For Life”.

Berdasarkan pandangan penulis, sikap masyarakat yang sambil lewa dan acuh tidak acuh berkaitan dengan penggunaan air secara berhemah merupakan faktor utama penyumbang kepada berlakunya krisis air di Malaysia. Berdasarkan statistik daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), setiap rakyat Malaysia menggunakan sebanyak 201 liter air setiap hari, lebih tinggi daripada yang telah ditetapkan oleh PBB, iaitu sebanyak 165 liter air. Rakyat Malaysia menggunakan air secara berlebihan dalam kehidupan harian mungkin disebabkan oleh kadar tarif air yang murah di negara ini, selain dasar air percuma untuk 20 meter padu terawal seperti pandangan yang diutarakan oleh aktivis alam sekitar, Gurmit Singh.

Di samping itu, Meng Yew Choong dalam penulisannya yang bertajuk Malaysia Faces Looming Water Crisis yang disiarkan dalam akhbar Star menyatakan bahawa pembaziran air berlaku dalam kalangan masyarakat disebabkan oleh kebanyakan individu tidak mengetahui jumlah air yang digunakan kerana bayaran bil air hanya merupakan komponen kecil daripada perbelanjaan isi rumah bulanan. Oleh itu, mereka mengambil mudah dengan membiarkan air mengalir ketika memberus gigi, mandi terlalu lama dan tidak menutup pili air selepas digunakan.

Pelbagai langkah boleh diambil untuk menangani krisis air, termasuklah dalam aspek pengurusan air negara, kempen kesedaran dan sebagainya. Pengurusan air di negara ini hanya memberikan tumpuan dalam pengurusan sumber air semata-mata tanpa memberikan keutamaan kepada pengawalan dan penggunaan sumber air tersebut dalam jangka masa panjang. Di samping itu, pengurusan air di negara ini yang berdasarkan kepada pengurusan penawaran air tidak lagi dapat menjamin pengurusan air yang mampan seperti zaman dahulu disebabkan oleh kepesatan ekonomi selain pertambahan bilangan penduduk Malaysia saban tahun. Bahkan, kebanyakan lembangan sungai di Malaysia telah mencapai had bekalan maksimum masing-masing. Sebaliknya, sistem tersebut perlu digantikan dengan sistem pengurusan permintaan air demi memastikan kelestariannya.

Sementara itu, kempen kesedaran berkaitan dengan amalan penggunaan air secara berhemah juga perlu dilaksanakan secara berkala dan lebih agresif demi memastikan kelestarian bekalan air. Selain kerajaan, badan bukan kerajaan juga perlu mengorak langkah berganding bahu menjalankan kempen kesedaran seperti yang telah dilaksanakan oleh Water Watch Penang (WWP). WWP telah memperkenalkan pengurusan permintaan air kepada penduduk di Pulau Pinang dengan mendidik mereka yang bergelar ibu bapa sebagai pengurus air bukan sahaja di rumah, malah di tempat kerja juga. Di samping itu, pertubuhan itu turut mengadakan pelbagai aktiviti dan program bersama-sama pelajar sekolah dan guru untuk mendidik mereka melindungi dan menghargai sumber air selain memahami kepentingannya dalam kehidupan.

Orang ramai bukan sahaja memerlukan kempen kesedaran berkaitan dengan penggunaan air, malah perlu cekap dalam penjimatan air. Dalam hal ini, pengguna atau masyarakat perlu dididik berkaitan dengan amalan kitar semula air seperti kempen kitar semula barangan, misalnya surat khabar, botol plastik, kertas, dan sebagainya. Sebagai contohnya, kita boleh menggunakan air basuhan sayur-sayuran untuk menyiram pokok bunga dan tadahan air hujan untuk mencuci kereta. Hal ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada bekalan air terawat, terutamanya pada musim panas.

Menurut Jurutera Eksekutif Persatuan Pengguna Air dan Tenaga, Syarina Mohd Yusof, penuaian air hujan tidak dapat dijalankan apabila berlakunya musim panas. Oleh itu, penjimatan air melalui penggunaan semula air, terutamanya pada musim panas oleh masyarakat adalah langkah yang proaktif untuk mengelakkan berlakunya krisis air.

Kerajaan Malaysia juga boleh mengambil contoh usaha yang dilakukan oleh kerajaan Singapura mengurangkan penggunaan air dan memastikan rakyatnya sedar akan nilai dan kepentingan air bersih dalam kehidupan. Antara usaha tersebut termasuklah mengadakan latihan, pendidikan dan publisiti tentang memulihara air, menggalakkan pengitaran semula air yang tidak boleh diminum seperti air yang digunakan untuk sektor industri dan air laut.

Seterusnya, menurut Ruhana Padzil dalam kajiannya menyatakan bahawa usaha ini diwujudkan melalui kempen menjimatkan air dan memberikan intensif fiskal seperti pemotongan cukai sebagai insentif menyekat pembaziran. Cukai penjimatan air ini berasaskan jumlah air yang digunakan dan denda terhadap setiap pembaziran dan penyalahgunaan air. Bahkan, kerajaan Singapura telah melantik water auditor bagi memeriksa jumlah air yang digunakan dalam sektor industri ataupun domestik selain menaikkan harga air bagi pengguna domestik yang menggunakan air lebih daripada 40 meter sebulan.

Sebagai kesimpulannya, air merupakan sumber yang tidak ternilai kepada manusia dalam memastikan kelangsungan sesebuah tamadun. Hal ini kerana tanpa sumber air, ekonomi sesebuah negara itu tidak dapat membangun, malah manusia juga akan mati. Masyarakat seharusnya menyedari akan kepentingan penggunaan air secara berhemah agar kelestarian air terjamin, dan seterusnya dapat mengelakkan berlakunya krisis air di Malaysia.

Pelbagai kaedah dan saluran boleh diaplikasikan bagi berkongsi dan menyalurkan maklumat sekali gus dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu air pada zaman yang serba canggih ini. Melalui ilmu dan maklumat tersebut, negara ini boleh melindungi sumber air dan mengurangkan masalah krisis air yang sering berlaku di sekitar Lembah Klang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.