2 April 2022, 16:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Minggu Sains Negara (MSN) pada tahun ini dijenamakan sebagai Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia (MSNKM) 2022 selaras dengan gagasan konsep Keluarga Malaysia yang digariskan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob. MSNKM 2022 akan berlangsung secara maya sepenuhnya bermula dari bulan April 2022 hingga bulan Oktober 2022.

MSKM 2022 telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri MOSTI, Yang Berhormat Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim semalam yang disiarkan secara dalam talian melalui laman web www.minggusainsnegara.com, laman Facebook MOSTI dan Minggu Sains Negara. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan MSN yang kini dikenali sebagai MSKM merupakan inisiatif kerajaan melalui MOSTI dalam usaha menyemai aktiviti pembudayaan dan pengaplikasian STI dalam kalangan rakyat Malaysia.

MSKM 2022 dirangka secara holistik secara dalam talian meliputi seluruh negara dan melibatkan semua pihak. MSN merupakan antara program tahunan pihak MOSTI tetapi pada tahun ini penganjurannya lebih istimewa kerana program Malaysia Techlympics 2022 turut dilaksanakan seiringan sebagai usaha bersepadu kerajaan ke arah pembudayaan STI di negara kita.

MSKM 2022 telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri MOSTI, Yang Berhormat Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim.

Tambahnya lagi, acara kemuncak MSKM 2022 akan berlangsung pada 10 November 2022 bersempena dengan sambutan Hari Sains Sedunia.

Pada tahun ini, MSNKM menyasarkan sebanyak 1.5 juta penyertaan dalam kalangan pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan masyarakat umum dengan tema “Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi”. Tema ini sejajar dengan hasrat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menjadikan sains sebagai suatu perkara yang lazim dalam kalangan rakyat dan teknologi sebagai pemangkin ekonomi di samping mengintegrasikan teknologi dalam kehidupan seharian demi pembangunan negara yang mapan.

Pelbagai pengisian dengan lebih daripada 110 program yang boleh disertai dalam MSKM 2022. Antaranya ialah seminar, ceramah, kuiz, pameran maya, bengkel secara dalam talian, pelantikan ikon Sains, Teknologi dan Inovasi (STI), pertandingan membuat video dan lain-lain lagi.

MSNKM 2022 mempunyai konsep yang berbeza-beza berteraskan kepada bidang fokus utama yang berubah pada setiap bulan. Terdapat tujuh bidang yang telah disenarai pendek sebagai bidang fokus utama dalam MSNKM 2022, iaitu Kesihatan Planet, Kimia dan Bioteknologi, Kegunaan Aman Nuklear, Inovasi Sosial, Kejuruteraan, Nanoteknologi dan Angkasa. Kepelbagaian bidang fokus ini dipilih berdasarkan kesesuaian setelah mengambil kira sambutan pelbagai hari berkepentingan berkaitan STI.

Tujuh bidang fokus MSNKM 2022.

MSN merupakan satu daripada inisiatif MOSTI dalam usaha untuk memupuk minat masyarakat terhadap ilmu sains. Tiga objektif utama penganjuran MSN pada setiap tahun adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan STI dalam kehidupan seharian, menarik minat dan meningkatkan bilangan pelajar yang memilih jurusan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik dan menghargai serta mengiktiraf sumbangan dan kejayaan individu dan pihak tertentu dalam bidang sains.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.