28 Mac 2022, 16:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Bandar raya Kuala Lumpur, Putrajaya dan Shah Alam serta beberapa bandar lain akan mengalami fenomena tengah hari tanpa bayang pada 28 Mac 2022. Fenomena ini merupakan susulan daripada peristiwa ekuinoks yang berlaku pada 21 Mac 2022 apabila matahari berada tepat di garisan khatulistiwa. Semasa peristiwa tersebut, seluruh dunia mengalami waktu malam dan siang yang sama panjang, iaitu sebanyak 12 jam malam dan 12 jam siang.

Fenomena ekuinoks yang berlaku menandakan perubahan musim, iaitu bermulanya musim bunga di hemisfera utara serta musim luruh di hemisfera selatan. Fenomena ini dipanggil sebagai fenomena tengah hari tanpa bayang kerana pada waktu tengah hari, matahari akan berada tepat di atas kepala setiap orang di sepanjang garisan khatulistiwa. Keadaan ini menyebabkan bayang kepala dan badan akan jatuh ke tapak kaki seolah-olah tiada bayang yang jatuh ke bumi.

Walau bagaimanapun, kedudukan Malaysia yang berada sedikit ke utara daripada garisan khatulistiwa menyebabkan negara ini tidak mengalami fenomena tengah hari tanpa bayang pada 21 Mac 2022 yang lalu. Namun begitu, Malaysia telah mula mengalami fenomena ini pada 23 Mac 2022 di beberapa bandar seperti Serian, Sri Aman dan Betong di Sarawak serta Kukup di Johor.

Fenomena ini juga akan berlaku di bandar lain pada tarikh yang berbeza hingga bandar terakhir, iaitu bandar Kudat dan Jambongan di Sabah pada 7 April 2022. Matahari akan semakin teranjak ke latitud utara, iaitu ke negara seperti Thailand, Vietnam dan Kemboja selepas tarikh tersebut.

Menurut Menteri Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Yang Berhormat Dato’ Sri Dr. Adham Baba, seluruh Keluarga Malaysia perlu menghayati fenomena tengah hari tanpa bayang ini. Orang ramai digalakkan untuk keluar dari rumah lebih awal daripada masa yang telah dilampirkan di dalam jadual untuk memerhatikan perubahan bayang-bayang sendiri ataupun bayang-bayang objek lain di sekitar kawasan masing-masing.

Untuk maklumat lanjut berkaitan dengan fenomena ini, Keluarga Malaysia boleh merujuk jadual fenomena tengah hari tanpa bayang seperti dalam gambar di bawah.

Jadual Tengah Hari Tanpa Bayang. Sumber: Facebook MOSTI
Jadual Tengah Hari Tanpa Bayang. Sumber: Facebook MOSTI
Jadual Tengah Hari Tanpa Bayang. Sumber: Facebook MOSTI
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.