24 Mac 2022, 14:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya Dalam usaha kerajaan untuk meluaskan capaian maklumat, meningkatkan kefahaman terhadap cuaca dan impak geofizik serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan rakyat dan negara, sebuah majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) telah diadakan pada hari ini. MoU tersebut merupakan titik permulaan kerjasama antara kerajaan Malaysia yang diwakili oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Smart Digital International Sdn. Bhd. (Sirius TV).

Bertempat di Ibu Pejabat METMalaysia, MoU tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Pengarah METMalaysia, Encik Muhammad Helmi Abdullah serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sirius TV, Tuan Haji Khairuddin Abd Rahman yang disaksikan oleh Menteri Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Yang Berhormat Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar) KASA, Puan Noor Afifah Abdul Razak, para pegawai KASA, METMalaysia, dan wakil daripada kumpulan Sirius TV.

Sirius TV merupakan sebuah syarikat televisyen satelit berbayar yang memiliki lebih daripada 30 saluran dan satu daripadanya ialah saluran berita khas yang dinamakan sebagai Sirius Media. Selain menyiarkan laporan berita, Sirius Media juga akan memberikan perkhidmatan laporan ramalan cuaca setiap hari kepada rakyat Malaysia.

(Sumber: Facebook METMalaysia)

Kerjasama antara kedua-dua pihak diharapkan mampu meningkatkan keluasan mekanisme hebahan melalui media elektronik kepada rakyat. Di samping itu, kedua-pihak juga dicadangkan agar menghasilkan pelbagai bahan kesedaran berkaitan dengan cuaca, gempa bumi dan tsunami menerusi cara yang lebih kreatif dan interaktif dalam usaha untuk menarik minat masyarakat Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.