Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pembunuhan, rompakan, serangan dan keganasan melibatkan senjata api bukanlah sesuatu yang asing kepada dunia. Khususnya di negara barat, banyak kecederaan dan kematian berkaitan senjata api telah dilaporkan dalam kalangan rakyat tahun demi tahun. Hal ini mungkin disebabkan oleh kadar pemilikan senjata api yang tinggi di negara tersebut. Tambahan pula, undang-undang senjata api yang tidak ketat berbanding negara kita telah menyebabkan pembelian senjata api menjadi lebih mudah berbanding dengan negara lain.

Kebanyakan orang awam membeli senjata api atas alasan melindungi diri serta keluarga daripada anasir jahat. Namun begitu, senjata api tersebut bukan menjamin keselamatan, sebaliknya mengundang bahaya kepada pemilik dan juga orang lain, terutamanya ahli keluarga sendiri. Senjata maut tersebut boleh meragut nyawa sesiapa sahaja, termasuklah pemiliknya sendiri. Gun Deaths by Country 2021 melaporkan bahawa Brazil ialah negara tertinggi yang menunjukkan angka kematian yang disebabkan oleh senjata api, iaitu sebanyak 49 436 orang pada tahun 2019. Hal ini melibatkan semua kes kematian yang berkaitan dengan senjata api seperti pembunuhan, bunuh diri menggunakan senjata api dan tembakan tanpa sengaja.

Negara kedua tertinggi ialah Amerika Syarikat yang melibatkan sebanyak 37 038 kematian akibat senjata api. Keganasan senjata api di Amerika Latin adalah disebabkan oleh kewujudan kumpulan pengganas dan kegiatan pengedaran dadah yang berleluasa. Antara faktor yang mencetuskan peningkatan ini ialah ketandusan ekonomi, ketidakstabilan tempat kediaman, kehancuran sistem kekeluargaan, ketidakhadiran ke sekolah dan pengambilan alkohol yang tidak terkawal.

Walau bagaimanapun, keadaan ini jauh berbeza di Malaysia. Ramai mengetahui bahawa undang-undang senjata api di Malaysia, iaitu Akta Senjata 1960 (Akta 206) merupakan undang-undang yang sangat ketat. Maka, pemilikan senjata api bukanlah semudah yang disangka. Proses mendapatkan lesen untuk memiliki senjata api secara sah adalah rumit melainkan seseorang itu merupakan penguat kuasa undang-undang seperti anggota Polis Diraja Malaysia, Pegawai Kastam dan penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. Justeru itu, pemilikan senjata api di Malaysia adalah jauh lebih rendah dan penggunaan senjata api dalam perlakuan jenayah tidak sebegitu lazim seperti di Amerika Latin.

Orang awam dewasa di Malaysia boleh memohon untuk mendapatkan lesen pemilikan senjata api dan perlulah mengisi borang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) yang berdekatan dengan tempat tinggal pemohon. Permohonan ini diluluskan oleh Ketua Polis Negeri sekiranya pemohon mempunyai sebab yang kukuh untuk memiliki, membawa senjata api tersebut dan tidak membahayakan keselamatan orang awam yang lain. Antara tiga sebab utama pemohon memohon lesen pemilikan senjata api adalah untuk pencegahan haiwan perosak tanaman yang boleh mengganggu proses tanaman pertanian, menjaga keselamatan diri sendiri dan harta benda serta untuk bersukan. Sekiranya pemohon dibenarkan untuk mempunyai lesen pemilikan senjata api, pemohon perlu memastikan senjata api tersebut disimpan di tempat yang selamat. Hal ini untuk mengelakkan supaya senjata api tersebut tidak dijumpai oleh ahli keluarga atau rakan-rakan dan tidak disalahgunakan untuk perkara yang boleh melanggar undang-undang di Malaysia.

Sungguhpun undang-undang senjata api di Malaysia sangat ketat, masih terdapat kes tembakan yang dilaporkan. Terdapat lebih daripada 10 kes tembakan telah dilaporkan pada tahun 2016. Memandangkan kematian berkaitan senjata api tidak begitu meluas di Malaysia, sebarang berita mengenai kes tembakan yang berlaku mampu mencetuskan panik dan ketakutan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Peningkatan kes tembakan di Malaysia menunjukkan bahawa keganasan senjata api di Malaysia berada pada tahap yang terkawal tetapi perlu diberikan perhatian. Sejumlah 204 kes kematian berkaitan senjata api telah dilaporkan di Lembah Klang sejak tahun 2006 hingga tahun 2016. Dalam tempoh tersebut, hanya empat kematian direkodkan pada tahun 2007, namun bilangan tersebut meningkat kepada 43 orang pada tahun 2009. Menurut kajian, kebanyakan mangsa yang terbunuh dalam kes tembakan ialah lelaki. Sifat semula jadi lelaki yang agresif mungkin mendorong mereka untuk terlibat dalam pertelingkahan seterusnya membawa kepada kematian. Yang menariknya, golongan dalam peringkat umur antara 30 tahun hingga 34 tahun yang lebih ramai terbunuh berbanding dengan peringkat umur yang lain. Golongan ini lebih banyak berada di luar rumah atas faktor bekerja dan sebagainya yang mungkin mendedahkan mereka kepada keganasan yang berlaku di luar sana.

Peluru.

Berdasarkan kajian yang dilakukan di Lembah Klang, warganegara Malaysia lebih ramai terbunuh akibat senjata api berbanding dengan bukan warganegara. Dalam pada itu, kaum India direkodkan sebagai paling ramai menjadi sasaran. Selain itu, kes kematian berkaitan senjata api di Malaysia hampir kesemuanya melibatkan pembunuhan dan berlaku pada lewat malam, iaitu antara pukul 12.00 tengah malam hingga 5.59 pagi. Lambakan kes bunuh melibatkan senjata api ini disebabkan oleh pemilikan senjata api secara haram yang berkemungkinan besar diperolehi melalui pasaran gelap. Pada kebiasaannya, penjenayah lebih gemar melakukan jenayah pada waktu malam kerana kegelapan malam memberi kelebihan kepada mereka untuk menghilangkan diri tanpa disedari selepas melakukan sesuatu jenayah. Di samping itu, kebanyakan penembak memilih untuk menjadikan bahagian kepala mangsa sebagai sasaran kerana kecederaan pada bahagian tersebut mampu membunuh mangsa mereka dengan pantas.

Kelongsong peluru.

Walaupun orang ramai di Malaysia tidak sering tercedera atau terbunuh akibat senjata api, keganasan senjata api di Malaysia tidak seharusnya dipandang ringan. Tambahan pula, peningkatan kes tembakan di seluruh negara tidak sepatutnya diabaikan. Sebaliknya, isu keganasan senjata api dan kematian melibatkan senjata api ini perlu diberi perhatian yang lebih dan diselesaikan dengan lebih berkesan. Mudah-mudahan, kerajaan dan pihak berkuasa dapat mengatur strategi dan merangka penyelesaian yang lebih baik untuk mengatasi masalah ini. Sebagai contohnya, pihak berkuasa seperti polis boleh memperketatkan pengawasan di sempadan negara bagi mengelakkan penyeludupan dan pembelian senjata api dari negara jiran menjadi lebih berleluasa.

Sebagai kesimpulannya, senjata api mampu menjadi kawan dan juga lawan bergantung kepada keadaan. Sekiranya seseorang itu mempunyai pengetahuan yang baik dalam mengendalikan senjata api dan mengambil langkah keselamatan yang sepatutnya, senjata tersebut mungkin dapat menyelamatkan nyawa. Namun, seandainya senjata api digunakan secara salah, senjata tersebut boleh bertukar menjadi lawan dan mampu meragut nyawa dengan sekelip mata.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.