21 Mac 2022, 08:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perubahan iklim merupakan fenomena global yang berlaku secara ketara dalam tiga dekad yang lalu. Fenomena ini merujuk perubahan besar yang berlaku terhadap suhu, hujan, salji atau corak angin yang terjadi sejak dahulu lagi. Perubahan iklim berlaku disebabkan oleh dua faktor utama, iaitu faktor semula jadi dan tindakan manusia itu sendiri. Banyak kajian oleh saintis yang memberi amaran bahawa kesan perubahan iklim kini semakin buruk sekali gus mengundang bencana banjir yang lebih kerap, malah pada abad ke-21 ini kita sudah menyaksikan pelbagai bencana banjir yang berlaku di Malaysia dan negara lain.

Perubahan iklim mengakibatkan kesan pemanasan global, iaitu kenaikan suhu yang turut menyumbang kepada berlakunya taufan yang lebih kuat dan hujan lebat luar biasa. Situasi ini menyebabkan bencana banjir menjadi lebih serius dan berlaku di luar jangkaan. Suhu yang lebih panas akan menyebabkan lebih banyak air tersejat daripada daratan dan lautan, seterusnya mengubah corak hujan. Dianggarkan bahawa atmosfera mengekalkan tujuh peratus lebih banyak kelembapan untuk setiap kenaikan satu darjah.

Memandangkan lebih banyak kelembapan di atmosfera, hujan menjadi lebih lebat, dan seterusnya membawa kepada bencana banjir. Perubahan suhu juga mempengaruhi sistem cuaca monsun yang mengawal taburan hujan. Hal ini bermakna taburan hujan semakin sukar diramalkan dan mungkin akan hadir dalam jumlah yang besar sehingga menyebabkan bencana banjir di suatu kawasan. Lazimnya, hujan lebat dibawa oleh angin monsun timur laut yang merupakan faktor semula jadi utama sekali gus menyebabkan berlakunya bencana banjir.

Terdapat dua perkara utama akibat kesan perubahan iklim yang membawa kepada kejadian banjir yang lebih ekstrem sama ada banjir daratan dari segi peningkatan jumlah dan intensiti serta kekerapan hujan dan banjir pantai yang diakibatkan oleh kenaikan aras laut yang turut menyebabkan penerobosan air masin ke daratan. Pertembungan dua senario tersebut memungkinkan kejadian bencana banjir yang lebih buruk. Para saintis menjangkakan keadaan banjir yang ekstrem tersebut akan “semakin memburuk” dalam tempoh 20 tahun akan datang. Bencana banjir yang berlaku di beberapa buah negeri baru-baru ini menunjukkan bahawa Malaysia telah memasuki fasa perubahan iklim yang semakin membimbangkan dan memerlukan tindakan segera daripada semua pihak.

Jika jangkaan saintis iklim ini tepat, Malaysia berkemungkinan akan mengalami hujan yang lebih lebat dan kejadian banjir akan lebih banyak berlaku pada masa akan datang. Lembah Klang yang terletak di kawasan lembangan di barat daya Semenanjung Malaysia yang jarang-jarang dilanda bencana banjir besar turut tidak terkecuali daripada menerima tempiasnya. Sekalipun saintis iklim dan pakar tempatan telah menjangkakan lebih banyak hujan dan kejadian banjir akan berlaku di rantau ini pada masa hadapan, termasuklah di kawasan yang lazimnya tidak banjir, persoalannya ialah adakah kita sudah bersedia untuk menanganinya? Bencana banjir yang berlaku baru-baru ini, terutamanya di Selangor, Kelantan dan Lembah Klang menunjukkan Malaysia belum bersedia secara keseluruhan untuk menghadapi bencara banjir dan impak perubahan iklim yang melanda.

Wujud masalah sistemik di sini, yakni bermula daripada perubahan sistem semula jadi disebabkan oleh perbuatan manusia seperti penebangan hutan yang menyebabkan banjir lebih buruk serta memberikan kesan terhadap kitaran hidrologi. Selain itu, perubahan iklim menyebabkan cuaca lebih ekstrem hingga sistem manusia seperti pembangunan bandar tidak lestari tanpa pengurusan lembangan sungai dan saliran yang baik serta ketiadaan penyelarasan dan pengurusan bencana yang berkesan.

Jumlah taburan hujan yang turun adalah dua kali ganda berbanding dengan purata jumlah taburan hujan sebulan, yakni puratanya melebihi 300 milimeter sehari. Keadaan ini diburukkan lagi dengan kehadiran air pasang besar, kawasan rendah, air sungai penuh, dan daratan terlebih tepu. Hujan yang luar biasa itu menyebabkan tebing sungai melimpah dan sistem perparitan sedia ada tidak dapat menampungnya.

Oleh itu, sebarang langkah tebatan banjir seperti projek kolam tadahan air pada masa akan datang perlu berkemampuan untuk menampung sebanyak 300 milimeter hingga 400 milimeter air pada bila-bila masa sahaja. Bagi membantu mengurangkan kejadian banjir pada masa hadapan, pihak kerajaan tidak boleh lagi menangguhkan projek lencongan sungai dan saliran. Begitu juga dengan zon penampan sepanjang pesisir sungai sangat diperlukan untuk menghindari proses hakisan tebing dan kemusnahan penempatan penduduk. Berbelanja untuk mencegah akan mengelakkan rakyat daripada menanggung beban yang lebih besar akibat pembiayaan pemulihan. Kerajaan negeri dan persekutuan harus menambah baik tindak balas dan pengurusan bencana masing-masing.

Laporan Pengurangan Risiko Bencana dan Pusat Kesiapsiagaan Bencana Asia pada Tahun 2020 yang dikeluarkan oleh Pejabat PBB bagi mengurangkan risiko bencana di Malaysia, menyifatkan sistem pengurusan bencana negara yang secara berpusat atau dari atas ke bawah itu sebagai tidak cekap dan ketinggalan zaman. Tidak dapat dinafikan ketiadaan fleksibiliti dalam sistem pengurusan bencana dari atas ke bawah menjadikan sistem itu tidak boleh digunakan apabila berhadapan dengan cabaran abad ke-21. Hal ini menunjukkan bahawa maklumat dari bawah ke atas memainkan peranan penting dengan revolusi media sosial dan kesedaran dalam kalangan masyarakat akan memberikan impak terhadap reputasi dan nama baik kerajaan.

Masyarakat harus berpandukan model perubahan iklim tahun 2021 yang tidak boleh diduga. Hal ini kerana kita berkemungkinan berhadapan dengan banjir yang boleh berlaku di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa. Oleh yang demikian, keperluan mengutamakan penyesuaian perubahan iklim dan pengurangan risiko bencana dengan menjadikannya sebagai agenda arus perdana dalam perancangan pembangunan perlu dititikberatkan.

Ramai sarjana sudah mula menyeru dunia untuk melakukan perubahan dalam perancangan bandar bagi menangani perubahan iklim yang menjejaskan kelestarian bandar dengan memperketatkan syarat pembangunan dan memperkukuhkan perundangan, selain melarang pembangunan di kawasan dataran banjir. Namun begitu, jika ada keperluan untuk dibangunkan, syarat yang ditetapkan harus mengambil kira kesan perubahan iklim seperti jumlah taburan hujan yang lebih tinggi dan kejadian cuaca melampau.

Bencana banjir di beberapa buah negeri baru-baru ini menunjukkan jangkaan manusia yang mengatakan banjir besar akan berlaku setiap 100 tahun perlu disangkal. Hal ini kerana dengan perubahan iklim yang berlaku dan keadaan bumi yang semakin menua telah merunsingkan pakar cuaca untuk meramal bila dan di mana bencana banjir besar itu akan berlaku walaupun kini pelbagai teknologi telah dibangunkan. Kini, perkara yang paling penting adalah dengan mengurangkan impak perubahan iklim dan memantapkan kesiapsiagaan dalam menghadapinya.

Malaysia adalah antara negara yang menandatangani Rangka Kerja Sendai untuk Pengurangan Risiko Bencana 2015–2030. Hal ini menunjukkan bahawa kerajaan memberikan komitmen untuk mengurangkan risiko bencana, kelemahan dan kos kerugian bencana ke arah menjadi sebuah negara yang lebih selamat dan berdaya tahan. Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu untuk mengurangkan risiko bencana. Pendidikan berkaitan dengan langkah pengurangan perubahan iklim dan kesiapsiagaan rakyat dalam menghadapi banjir perlu diperhebat dengan mendapatkan kerjasama daripada pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, universiti awam dan swasta, syarikat swasta, dan orang awam.

Orang awam merupakan golongan majoriti dan seharusnya memainkan peranan masing-masing serta tidak mengharapkan pihak kerajaan semata-mata untuk mengubah segalanya. Hal ini bermula dengan tindak-tanduk manusia itu sendiri dalam penjagaan alam sekitar seperti tidak membuang sampah ke dalam sungai, tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka, mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian, dan lain-lain. Memperkukuh dan mengaplikasikan sepenuhnya Pelan Pengurusan Bencana dalam kalangan komuniti juga merupakan agenda yang sangat penting bagi mengurangkan kesan bencana terhadap kawasan penempatan, harta benda dan nyawa penduduk melalui penyelarasan terhadap bentuk bencana di kawasan berkenaan.

Kini, dunia tidak mempunyai masa yang banyak untuk memastikan perubahan iklim tidak berlaku secara drastik. Menurut laporan daripada Bank Pembangunan Asia, pemodelan menggunakan pelbagai senario kesan gas rumah hijau telah menunjukkan bahawa jumlah penduduk yang semakin banyak akan terdedah kepada banjir pada masa hadapan. Tambahan pula, sebanyak 70 000 orang akan terjejas akibat banjir di Malaysia pada tahun 2030 sekali gus menyebabkan kerosakan meningkat sebanyak RM7.53 bilion. Secara puratanya, sebanyak 175 502 orang diunjurkan akan terdedah kepada banjir melampau pada tahun 2035 hingga tahun 2044.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.