13 Mac 2022, 08:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebuah webinar bertajuk “Bringing Malaysia’s Product and Services to the Global Market by MATRADE” bersempena dengan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia telah diadakan secara langsung menerusi media sosial Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Sesi perkongsian ini berkaitan dengan peranan dan fungsi Malaysia Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), faedah yang diperoleh oleh syarikat Malaysia yang berdaftar sebagai ahli MATRADE dan kepentingan Alat Penilaian Kesediaan Eksport atau Export Readiness Assessment Tool (ERAT) bagi tujuan kemudahan eksport untuk perkembangan syarikat.

MATRADE merupakan sebuah agensi promosi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang membantu pasaran eksport di samping memberikan bantuan kepada syarikat Malaysia dalam mengembangkan perniagaan pada peringkat global. Agensi yang ditubuhkan sejak bulan Mac 1993 ini, beroperasi di 46 buah pejabat perdagangan di seluruh dunia dan lima buah pejabat wilayah di Malaysia, iaitu di wilayah utara (Pulau Pinang), wilayah timur (Kuala Terengganu), wilayah selatan (Johor Bahru), Sarawak (Kuching), dan Sabah (Kota Kinabalu).

Menurut Encik Nor Azman Adam, Pengurus Unit Khidmat Nasihat Pengeksport, MATRADE, usahawan Malaysia layak menggunakan kemudahan pejabat MATRADE di luar negara secara percuma. Pada tahun 2022, MATRADE akan melaksanakan 54 acara bagi membantu para usahawan MATRADE. Beliau juga memaklumkan bagi menjadi syarikat yang berkelayakan untuk mengeksport, usahawan harus bersedia dari segi pendokumentasian, pengetahuan pemasaran dan produk.

Tambah beliau lagi, bagi usahawan yang ingin mendaftar di bawah MATRADE, pendaftaran adalah percuma. Pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian menerusi laman web MATRADE. Sekiranya para usahawan berasa ragu-ragu tentang kesediaan mereka untuk mengeksport produk mereka ke luar negara, usahawan boleh menjalankan ujian ERAT di pautan www.matrade.gov.my/erat, iaitu sebuah sistem dalam talian untuk mengukur potensi atau prospek sesuatu produk atau perkhidmatan. Terdapat 23 perkara yang meliputi produk dan syarikat yang akan ditanyakan kepada usahawan dalam sesi pengujian ini.

Pelbagai kemudahan boleh dinikmati oleh usahawan MATRADE di bawah kemudahan eksport seperti eTRADE, Market Development Grant (MDG) dan Service Export Fund (SEF). Semua insentif ini dapat membantu kelancaran urusan eksport produk usahawan Malaysia ke luar negara. Para pegawai MATRADE juga bersedia mengumpulkan pelibatan pelbagai agensi eksport yang lain bagi membantu usahawan mendapatkan pelbagai maklumat berkenaan dengan eksport. Produk usahawan yang berdaftar dengan MATRADE juga akan dimasukkan ke dalam produk Malaysia atau direktori perkhidmatan dan dijadikan sebagai rujukan rasmi kepada bakal pelabur yang berpotensi di luar negara.

Jelas beliau lagi, para usahawan boleh melayari portal MyExport di pautan https://myexport.matrade.gov.my bagi mendapatkan maklumat seperti pendaftaran ahli MATRADE, program MATRADE di luar negara, kursus yang ditawarkan, kajian pemasaran, maklumat pemasaran, dan sebagainya. Diharapkan para usahawan Malaysia dapat menyahut cabaran untuk mengeksport produk mereka ke luar negara dengan mengambil inisiatif berdaftar dengan MATRADE untuk mendapatkan pelbagai kemudahan yang disediakan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.