11 Mac 2022, 13:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Yang Berhormat Dato’ Sri Dr. Adham Baba telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY Summit) 2021 semalam.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau mengumumkan sebanyak 434 produk, teknologi dan perkhidmatan MCY telah berjaya dikomersialkan sepanjang tahun 2016 hingga tahun 2021 ke pasaran tempatan dan antarabangsa dengan nilai jualan melebihi RM476 juta.

MOSTI menyasarkan untuk mengkomersialkan sebanyak 500 produk, teknologi dan perkhidmatan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan di bawah MCY 3.0 2020 – 2025 yang bertemakan MCY ke Peringkat Global

Sidang kemuncak tahunan ini dianjurkan untuk mengiktiraf pencapaian penyelidik dan usahawan teknologi tempatan yang telah berjaya mengkomersialkan produk hasil R&D di pasaran tempatan dan antarabangsa pada tahun semasa.

Dalam majlis tersebut juga, sebanyak sembilan orang penyelidik dan usahawan tempatan turut diraikan menerusi Anugerah MCY kerana telah mengkomersialkan produk R&D mereka di pasaran tempatan dan antarabangsa sepanjang tahun 2021.

Dalam majlis yang sama, Menteri MOSTI turut melancarkan buku mewah mengenai program Pemangkin Usahawan Sosial Hebat (PUSH).

PUSH ialah program rintis kejayaan yang bertujuan meningkatkan kualiti kehidupan golongan B40 melalui pemerkasaan perusahaan sosial.

“Program inisiatif pembangunan mikro keusahawanan ini berjaya memberikan kesan kepada ekonomi negara selepas berjaya memperoleh pendapatan sebanyak RM8.07 juta, termasuk penjimatan kos kerajaan,” katanya lagi.

MCY Summit 2021 berlangsung pada 10 dan 11 Mac 2022 secara hibrid bermula daripada pukul 9.00 pagi hingga pukul 5.00 petang melalui laman Facebook MOSTI dan laman web https://mycsummit.mosti.gov.my. Sepanjang dua hari tersebut, pelbagai program akan diadakan merangkumi Majlis Anugerah MCY, Sesi Pertukaran Memorandum Persefahaman atau Perjanjian, Pelancaran Produk, Pameran Maya, Sesi Webinar dan lain-lain.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan.

(Sumber: Facebook MOSTI)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.