2 Mac 2022, 11:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pahang – Jabatan Pendaftar, Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah mengadakan sebuah webinar sesi perkongsian ilmu berkenaan dengan kesihatan mental di tempat kerja di bawah program induk Siri Transformasi Eksekutif Perdana (STEP) secara dalam talian melalui Google Meet dan Facebook. Dengan menggunakan tanda pagar #Moh Cakna!, program ini telah menarik minat ramai pendengar yang terdiri daripada warga UMP dan pihak luar.

Puan Hajjah Paridah Mohd Ali, Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Kaunseling dan Psikologi, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMP menjelaskan mental yang sihat adalah suatu keadaan di mana individu itu menyedari akan kebolehan diri sendiri, dapat mengendalikan tekanan normal hidup dengan baik, mampu bekerja secara produktif dan mampu menyumbang sesuatu kepada masyarakat.

Menurut beliau, kesihatan mental boleh terbentuk melalui dua faktor, iaitu secara semula jadi dan faktor sekeliling seperti alam kanak-kanak yang tidak menyeronokkan, sejarah penderaan emosi dan fizikal, pernah mengalami penderaan seksual, tekanan akademik berterusan. Perkara yang menyumbang kepada faktor semula jadi ialah penyakit biologi, iaitu sebanyak 10 peratus daripadanya merupakan genetik keluarga.

Kajian pada tahun 2017 menunjukkan peratusan penduduk di Sabah menghidap penyakit mental tinggi, iaitu 42.9 peratus, diikuti penduduk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (39.8 peratus) dan Kelantan (36.0 peratus). Penjawat awam perlu lebih memberikan perhatian terhadap kesihatan mental masing-masing kerana risiko untuk mendapat penyakit ini sangat tinggi.

Sementara itu, golongan wanita mempunyai peratusan yang tinggi untuk mendapat penyakit mental, manakala golongan lelaki pula lebih cenderung untuk membunuh diri, menyalahgunakan dadah dan menjadi ganas jika mengalami tekanan yang serius. Hal ini disebabkan oleh sifat wanita yang suka berkongsi masalah berbanding dengan lelaki yang suka memendam masalah dan menganggap sekiranya masalah tersebut diluahkan kepada orang lain akan menurunkan kualiti dirinya sebagai maskulin.

Tambah beliau lagi, terdapat pelbagai mitos berkenaan dengan pesakit mental. Mitos pertama ialah semua pesakit mental tidak siuman. Hal ini adalah tidak benar sama sekali kerana tidak semua penyakit mental akan menyebabkan penghidapnya tidak siuman kecuali mereka yang menghidap psikosis yang melibatkan gangguan kewarasan. Namun begitu, gangguan ini bersifat sementara dan boleh dirawat dengan ubat-ubatan.

“Mitos yang kedua ialah penyakit mental disebabkan oleh genetik atau keturunan semata-mata. Tidak semua penyakit mental disebabkan oleh genetik atau keturunan kerana faktor ini hanya menyumbang kepada 10 peratus. Terdapat banyak faktor lain yang boleh menyumbang kepada penyakit mental seperti tekanan kerja, kewangan, dadah dan sebagainya,” ujarnya.

Terdapat juga mitos bahawa pesakit mental tidak dapat menjalani kehidupan biasa dan sentiasa bergantung pada orang lain. Hal ini salah sama sekali kerana seperti penyakit fizikal, penyakit mental juga boleh sembuh dan boleh dikawal sekiranya diberikan rawatan yang teratur dan berkesan. Pesakit yang hilang upaya akibat menghidap penyakit mental masih mampu berdikari jika menjalani rawatan pemulihan.

Beliau turut berkongsikan bahawa dua rutin penting untuk kesihatan mental meliputi rutin pengurusan diri dan ehsan kendiri atau self-compassion. Rutin pengurusan diri merujuk menjaga diri dengan cuba berdamai dengan diri sendiri. Antara langkah dalam rutin pengurusan diri ialah menjaga kesihatan fizikal, makan dengan sempurna, elakkan tabiat yang tidak sembuh, tidur dengan cukup dan bersenam secara berkala. Untuk ehsan kendiri pula, individu itu perlu menyayangi, menerima dan memanjakan diri sendiri.

Antara tindakan yang dapat membantu diri atau individu yang menghidap masalah kesihatan mental ialah menerima masalah kesihatan mental dengan terbuka, membuat pemeriksaan tahap kesihatan mental, mendapatkan rawatan daripada doktor atau pakar psikiatri, mendapatkan sokongan moral daripada ahli keluarga atau rakan, mengikuti pelan rawatan perubatan sepenuhnya, mengikuti pelan rawatan psikologi dan mengekalkan kesembuhan serta kesejahteraan mental sepanjang hayat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!