25 Februari 2022, 16:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Setiu – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM150 juta bagi Projek Pemuliharaan Sungai Setiu bagi menangani masalah pemendapan, kesukaran pelayaran dan banjir di muara sungai tersebut.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Yang Berhormat Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, peruntukan tersebut merangkumi pembinaan struktur pemecah ombak, struktur tembok arah alir, lapis lindung, penyuburan pantai dan pengorekan alur navigasi.

Melalui bawah Rancangan Malaysia Ke-11, sejumlah RM343 juta telah diluluskan untuk negeri Terengganu bagi melaksanakan tiga projek baharu di bawah Program Pemuliharaan Muara Sungai.

“Projek Pemuliharaan Sungai Setiu adalah satu daripada projek tersebut”.

Tuan Ibrahim Tuan Man turut menjelaskan,

Kita mendengar keluhan para nelayan yang mengalami kesukaran mengemudi bot kerana muara sungai cetek akibat mendapan pasir. Mereka terpaksa menanggung kerugian harta benda, malah kehilangan nyawa akibat kemalangan. Hal ini juga memberikan kesan buruk kepada kualiti air dan mengancam kemandirian kehidupan akuatik dan aktiviti akuakultur. Kejadian banjir juga boleh berlaku disebabkan air sungai tidak mengalir lancar ke laut. Kesan berantai ini akan mempengaruhi tahap kesejahteraan sosioekonomi rakyat, negeri dan negara.

Tambah beliau, Kementerian Alam Sekitar dan Air melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia sentiasa bersedia, merancang dan melaksanakan projek yang relevan bagi menangani masalah yang berkaitan dengan pemendapan pasir dan kelodak di muara sungai.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Setiu di Dewan Medan Ikan Bakar Kampung Mangkuk, Terengganu hari ini.

“Projek yang bermula pada bulan Januari 2022 dan dijangka siap dalam pada bulan Januari 2025 akan memudahkan nelayan, pengusaha bot, pelancong dan penduduk setempat untuk menjalankan aktiviti sosioekonomi mereka,” katanya lagi.

Projek Pemuliharaan Muara Sungai Setiu ini mengekalkan kedalaman laluan navigasi sebanyak tiga meter, mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda lebih kurang 900 bot nelayan di muara Sungai Setiu, meningkatkan tahap keupayaan aliran air sungai supaya keadaan di muara sentiasa kekal terbuka dan meluaskan potensi hasilan ekonomi yang lebih besar kepada aktiviti perusahaan ternakan ikan sangkar, lokan, kepah dan kerang di lagun Setiu.

“Segala peruntukan dan pelaksanaan projek ini merupakan simbolik keprihatinan Kerajaan Persekutuan untuk mensejahterakan kualiti hidup rakyat Terengganu,” katanya lagi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja Datuk Farok Hussin Tengku Abdul Jalil; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Yang Berhormat Ir Saiful Azmi Suhaili; dan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Dato’ Ir. Dr. Md. Nasir Md. Noh.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.