16 Februari 2022, 08:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bekalan air yang mampan adalah satu daripada isu utama dalam pengurusan sumber air. Walau bagaimanapun, cabaran utama pengurusan sumber air ialah memastikan kesinambungan bekalan air dengan kuantiti dan kualiti air yang mencukupi serta boleh diterima oleh pengguna. Permintaan air dalam kalangan penduduk di Malaysia agak tinggi akibat berlakunya peningkatan penduduk setiap tahun. Hal ini bersangkut-paut dengan data anggaran penduduk yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menerusi laporan Perangkaan Demografi bagi suku pertama tahun 2021 yang menyatakan bahawa jumlah penduduk Malaysia dianggarkan seramai 32.75 juta orang dengan peningkatan sebanyak 0.4 peratus daripada 32.62 juta orang dalam tempoh sama pada tahun 2020.

Kesedaran yang tinggi tentang bekalan air pada masa hadapan dalam kalangan rakyat Malaysia memainkan peranan penting dalam mengurangkan penggunaan air. Hal ini menimbulkan cabaran yang agak besar kerana masyarakat berasa selesa dan percaya bahawa negara ini mempunyai sumber air yang banyak.

Malaysia masih amat bergantung kepada tadahan air, sekali gus menjadikan bekalan air negara amat bergantung kepada keadaan dan perubahan cuaca. Malaysia mengalami cuaca lembap sepanjang tahun dengan hujan tahunan sebanyak 80 peratus dalam setahun, iaitu antara 2000 milimeter hingga 2500 milimeter. Perubahan iklim yang berlaku mampu menjejaskan sumber air dan akan mempercepat krisis bekalan air di negara ini.

Menurut Persatuan Air Malaysia, rakyat Malaysia menggunakan purata sebanyak 201 liter air bagi setiap orang dalam sehari yang bersamaan dengan 134 botol (dengan kapasiti 1.5 liter setiap satu botol). Kadar ini lebih tinggi daripada kadar yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, iaitu sebanyak 165 liter sehari. Sebagai perbandingan, rakyat Singapura menggunakan purata sebanyak 141 liter bagi setiap orang dalam sehari, manakala Thailand pula sebanyak 193 liter bagi setiap orang dalam sehari. Data ini menunjukkan permintaan air harian di Malaysia adalah lebih tinggi daripada negara jiran.

Permintaan air bersih yang tinggi pada masa depan telah memaksa pihak kerajaan mencari alternatif dan amalan pengurusan terbaik dalam menguruskan sumber air. Satu daripada alternatif yang boleh dipraktikkan ialah dengan menggunakan air pulih guna yang dirawat.

Menurut portal United States Environmental Protection Agency, penggunaan semula air atau kitar semula air boleh didefinisikan sebagai mengambil air dari pelbagai sumber, kemudiannya air tersebut dirawat terlebih dahulu dan digunakan semula untuk tujuan yang bermanfaat seperti pertanian serta pengairan dan mampu memberikan alternatif kepada bekalan air yang digunakan untuk kehidupan seharian.

Penggunaan air pulih guna ialah pilihan yang berkesan bagi menjimatkan sumber air, mengurangkan impak kepada alam sekitar serta mengurangkan kos dan tenaga yang terlibat dalam pengurusan sumber air. Sebagai contohnya, penggunaan air kitar semula bagi tujuan selain minuman telah dilaksanakan di beberapa bandar di Jepun sejak tahun 1980, terutamanya bagi tujuan mengepam tandas dan pengairan.

Proses penghasilan air pulih guna di loji air pulih guna.

Kesedaran mengenai penggunaan air pulih guna di Malaysia semakin diberi perhatian, terutamanya daripada pihak berwajib. Terdapat beberapa inisiatif yang dilancarkan bagi mendorong penggunaan air pulih guna untuk tujuan selain minuman. Sebagai contohnya, projek Bluewater yang dilancarkan di Johor Bahru pada tahun 2017 dijangka menjadi perintis kepada kitar semula air terpakai di negara ini, sekali gus mampu melindungi hutan daripada pencerobohan serta pembinaan empangan. Air yang dikitar semula itu digunakan untuk keperluan perindustrian yang memerlukan sumber bekalan air yang banyak.

Selain itu, pada tahun 2021 telah diadakan kerjasama antara Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) dengan Air Selangor untuk membekalkan air pulih guna kepada pengguna industri di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Pihak IWK bersama-sama Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) juga membangunkan inisiatif pemulihan air sebagai sumber alternatif negara menerusi Pelan Induk Teknologi Hijau 2017-2030 untuk menggunakan kembali sebanyak 33 peratus daripada jumlah air buangan terawat untuk tujuan yang dapat memberikan manfaat kepada rakyat Malaysia.

Berdasarkan pelan dan perancangan yang dirangka, Malaysia mampu menjadikan penggunaan air pulih guna bagi tujuan selain minuman sebagai alternatif pada masa akan datang. Kejayaan penggunaan air pulih guna bergantung pada penerimaan masyarakat. Maklum balas dari masyarakat mengenai penerimaan penggunaan air pulih guna mampu membantu dalam perancangan pada masa akan datang. Namun, sejauh manakah penerimaan komuniti di Malaysia terhadap penggunaan air pulih guna?

Kajian berkaitan persepsi dan penerimaan komuniti di Malaysia terhadap penggunaan air pulih guna bagi tujuan selain minuman dalam kalangan komuniti telah dilaksanakan. Secara umumnya, kajian tersebut mendapati bahawa komuniti di Malaysia memberikan maklum balas yang positif terhadap penerimaan dan penggunaan air pulih guna bagi tujuan selain minuman. Antara pilihan penggunaan air pulih guna yang mendapat pilihan tertinggi termasuklah menyiram tanaman, pembersihan halaman rumah dan mengepam tandas.

Sementara itu, penggunaan air pulih guna bagi tujuan selain minuman dicadangkan sebagai penyelesaian jangka masa panjang bagi masalah berkaitan air dalam komuniti. Masalah gangguan bekalan air sudah menjadi masalah yang berterusan dalam kalangan masyarakat di negara ini. Peratusan penduduk yang terkesan dan terbeban akibat gangguan bekalan air juga adalah tinggi. Gangguan bekalan air boleh mempengaruhi tahap penerimaan masyarakat terhadap penggunaan air pulih guna. Hal ini disebabkan oleh penduduk yang mengalami masalah gangguan bekalan air lebih bersedia untuk menggunakan air pulih guna sebagai sumber air alternatif.

Penggunaan air pulih guna sebagai penyelesaian jangka masa panjang mungkin mengambil masa untuk diadaptasi dalam kehidupan seharian, terutamanya untuk mandi dan mencuci pakaian. Menurut kajian, sentuhan kulit dengan air pulih guna menjadi satu daripada faktor penting dalam maklum balas masyarakat terhadap pilihan penggunaan air tersebut.

Berdasarkan kajian tersebut, lebih 51 peratus responden beragama Islam menerima sekiranya penggunaan air pulih guna dilaksanakan. Kajian di Durban menunjukkan bahawa tiada bukti keengganan umat Islam untuk menggunakan air pulih guna berdasarkan kepercayaan agama. Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia juga memutuskan bahawa jika rawatan air itu mengembalikan rasa, warna dan bau air kepada keadaan asal, maka air tersebut suci dan tidak salah untuk menggunakannya bagi tujuan pengairan dan kegunaan lain.

Kefahaman dan kesedaran mengenai penggunaan air pulih guna bagi tujuan selain minuman dapat dipertingkatkan menggunakan teknologi terkini seiring dengan perkembangan negara yang semakin maju. Pengaruh media sosial seperti Instagram, Facebook dan TikTok mampu meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan air pulih guna terutamanya kepada golongan muda yang berumur antara 20 tahun hingga 39 tahun. Medium penerbitan seperti artikel dalam surat khabar serta majalah dan pengedaran risalah juga boleh dijadikan sebagai kaedah alternatif bagi menyedarkan kefahaman mengenai penggunaan air pulih guna.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.