14 Februari 2022, 16:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Istilah bekerja dari rumah (BDR) menjadi amat popular di seluruh dunia sejak bermulanya pandemik COVID-19 yang melanda pada tahun 2020. BDR bermaksud pekerja boleh berada di rumah untuk menjalankan tugas dan tidak perlu hadir ke tempat bekerja. Dasar BDR telah diamalkan oleh kebanyakan organisasi, sama ada kerajaan atau swasta bagi mencegah penularan wabak COVID-19. Kini, kebanyakan pekerja sudah mula beradaptasi dengan norma baharu tersebut dan bersedia melaksanakan tugasan dari rumah dengan mempelajari teknologi baharu.

Bagi sesetengah pekerjaan yang tidak memerlukan kehadiran pekerja di tempat bekerja, terdapat beberapa impak positif yang terhasil daripada pengamalan BDR. Pekerja telah mula memiliki peralatan atau gajet bagi keperluan BDR seperti komputer, komputer riba, tablet, kamera web, mikrofon dan pembesar suara bagi keperluan sidang video atau mesyuarat secara dalam talian. Pelbagai jaringan Internet daripada syarikat pembekal perkhidmatan seperti Telekom Malaysia, Celcom, Maxis dan DiGi sudah mula dilanggan bagi mendapatkan liputan yang terbaik. Pekerja juga mula mempelajari teknologi baharu dan terkini supaya menjadi lebih mahir untuk memudahkan tugasan.

Namun demikian, dalam kerancakan penggunaan pelbagai teknologi maklumat dan komunikasi untuk pelaksanaan BDR, terdapat pelbagai faktor yang mendorong kepada kejayaan dan kegagalan BDR. Antaranya termasuklah faktor teknologi dan kemahiran pekerja yang boleh mempengaruhi kemudahan dan pelaksanaan BDR. Misalnya, kestabilan jaringan Internet, kepekaan pekerja terhadap ciri-ciri keselamatan penggunaan internet dan penggunaan sistem pengoperasian yang terkini perlu dititikberatkan bagi membolehkan seseorang pekerja itu lebih efektif dan produktif.

Kestabilan Jaringan Internet

Jaringan Internet merujuk rangkaian capaian Internet atau sambungan internet dalam sesuatu kawasan. Melalui sambungan ini, peranti dapat berhubungan dengan peranti lain dalam rangkaian setempat mahupun rangkaian global. Rangkaian sambungan ini membenarkan komunikasi antara dua peranti dan juga antara peranti kepada pelayan yang membolehkan perkhidmatan mel elektronik, sidang video, pemindahan fail, pelayaran Internet dan media sosial.

Terdapat banyak manfaat yang boleh diperoleh daripada jaringan Internet yang sangat maju dan laju. Antaranya ialah kemudahan ini mempermudah dalam penyampaian maklumat secara global serta memudahkan penstriman data seperti sidang video, Facebook langsung serta penyimpanan data dan pemindahan fail pada komputer lain. Malaysia merupakan negara yang mempunyai kadar penembusan yang paling tinggi, iaitu sebanyak 88.7 peratus. Menurut kajian oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia pada tahun 2020, secara puratanya kelajuan Internet di Malaysia ialah sebanyak 24.44 megabait sesaat (MBps), sama ada melalui jalur lebar talian tetap atau jalur lebar mudah alih yang disokong oleh teknologi 4G. Kelajuan tersebut sudah memadai untuk membolehkan kerja dilakukan di rumah apabila kehadiran pekerja ke pejabat dihadkan kepada bilangan tertentu.

Dua akses utama untuk mendapatkan capaian Internet di negara ini adalah dengan perkhidmatan jalur lebar talian tetap dan Internet mudah alih 4G. Kedua-dua perkhidmatan ini telah mencapai hampir 80 peratus kawasan liputan. Perkhidmatan jalur lebar yang dibekalkan adalah melalui penggunaan gentian optik yang disediakan oleh pembekal perkhidmatan Internet. Dengan adanya liputan Internet yang berkelajuan tinggi, objektif BDR untuk menghasilkan output kerja yang efisien dengan produktiviti yang tinggi akan tercapai.

Peka Notifikasi

Keberkesanan BDR adalah bergantung kepada sejauh mana kepekaan seseorang terhadap aplikasi yang menjadi perantara antara majikan atau organisasi dengan pekerja dan juga antara penyelia dan individu yang diselia.

Antara syarat penting kejayaan BDR ialah kepekaan pekerja terhadap sesuatu notifikasi berkaitan dengan tugasan. Aplikasi seperti komunikasi kumpulan (Microsoft Teams), sidang video dan pengurusan projek (Project Management Tools) dilihat mampu memenuhi keperluan tersebut. Keupayaan transmisi data dari satu peranti kepada satu peranti lain ataupun kepada pelayan mampu menjelmakan notifikasi secara langsung apabila terdapat isyarat tertentu. Kecepatan dan kecekapan mendapat maklum balas notifikasi adalah penting untuk menyampaikan sesuatu arahan bagi pelaksanaan suatu tugasan. Selain kecekapan peranti menyampaikan sesuatu notifikasi, pengguna sendiri juga perlulah sentiasa peka dan mengambil perhatian akan sebarang notifikasi. Sesuatu misi atau tugasan tidak akan berjaya dilaksanakan sekiranya hanya berlaku komunikasi sehala tanpa sebarang maklum balas terhadap notifikasi sesuatu arahan.

Ciri-ciri Keselamatan

Antara cabaran utama BDR ialah keselamatan data yang mungkin berlaku menerusi ancaman siber seperti kecurian, kompromi atau serangan oleh individu yang tidak bertanggung jawab atau penjenayah siber. Pekerja yang menjalankan tugas secara BDR mestilah celik komputer dan mempunyai kemahiran berkaitan teknologi maklumat. Kealpaan orang ramai terhadap keselamatan data digital mampu membuka ruang baharu ancaman virus komputer seperti perisian tebusan kepada data dan maklumat digital. Pada kebiasaannya, terdapat individu atau unit yang bertanggungjawab menjaga keselamatan siber di tempat kerja. Namun demikian, apabila bekerja dari rumah, tanggungjawab keselamatan siber terletak sepenuhnya pada pengguna komputer peribadi itu sendiri. Langkah keselamatan yang boleh diambil untuk individu yang BDR adalah seperti yang berikut:

  1. Gunakan Perisian Antivirus – Penggunaan perisian antivirus pada komputer atau peranti yang akan digunakan semasa BDR adalah satu kemestian. Hal ini adalah untuk memastikan keselamatan data atau dokumen daripada dirosakkan oleh virus yang mungkin menyerang perisian tertentu dalam komputer.
  2. Sistem Pengendalian Komputer yang Terkini – Sistem pengendalian komputer yang digunakan semasa BDR perlu dikemas kini secara berkala untuk mengelakkan penggodam komputer dan penjenayah siber mengeksploitasi sistem komputer. Komputer yang dgunakan juga sebaik-baiknya ditetapkan pada pilihan kemas kini secara automatik supaya versi sentiasa yang terkini. Misalnya, apabila berlaku kadar ketembusan pada sesuatu perisian, pengeluar perisian akan mengubah suai fungsi tertentu pada sistem komputer dengan menambahkan atau memasukkan komponen baharu ke dalam sistem. Kaedah ini dikenali sebagai tampung (patch). Sekiranya penampungan tidak dilakukan, hal ini akan membuka ruang kepada penggodam untuk menceroboh sesuatu peranti.
  3. Lindungi Rangkaian Rumah – Semasa melakukan tugasan yang diberikan dengan menggunakan rangkaian wi-fi persendirian di rumah, tetapan kata laluan hendaklah dirahsiakan dengan kod capaian yang rumit. Tetapan kata laluan yang mudah seperti 123456 dan abc123 perlulah dielakkan. Kata laluan yang ringkas dan mudah akan dapat dijangka dan diteka dengan mudah oleh penggodam.
  4. Pastikan Privasi dengan VPN – Rangkaian persendirian maya (VPN) merupakan teknologi yang menyediakan sambungan yang selamat ke atas rangkaian internet. Teknologi ini dibangunkan sebagai satu daripada cara untuk memberikan kemudahan kepada para pengguna atau pekerja sesebuah organisasi mengakses aplikasi korporat dengan sumber lain melalui cara yang selamat. Bagi individu yang memilih untuk BDR, penggunaan VPN akan dapat melindungi sambungan dan menyulitkan data daripada diakses oleh orang yang tidak diingini, terutamanya sekiranya berkongsi kemudahan wi-fi.

Sebagai kesimpulannya, masyarakat kini telah beradaptasi dengan perkembangan teknologi BDR. Pelbagai maklumat berkenaan teknologi BDR boleh diperoleh sama ada melalui rakan setugas ataupun melayari Internet. Walau bagaimanapun, disiplin diri amat penting bagi memastikan kaedah BDR dapat diaplikasikan sepenuhnya tanpa adanya masa terluang yang boleh menjejaskan produktiviti kerja.

Dengan adanya inisiatif kerajaan memperkenalkan liputan 5G dan pembangunan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), tahap kesalinghubungan dan kualiti perkhidmatan komunikasi dapat ditingkatkan di Malaysia. Melalui JENDELA, kualiti perkhidmatan jalur lebar akan dipertingkatkan melalui inisiatif tertentu ke arah teknologi 5G. Perubahan cara kerja baharu dengan liputan internet yang lebih luas dan kelajuan optimum sekali gus menjadi anjakan paradigma dalam menjalankan tugas dari rumah tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan dan prestasi kerja pekerja.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.