Oleh Aspalilah Alias
10 Februari 2022, 17:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Anggaran umur amat diperlukan dalam kes forensik yang digunakan dalam prosiding jenayah, sukan, pendatang tanpa izin, dan penemuan mayat yang tidak diketahui identitinya. Pendekatan asas dalam mengenal pasti individu adalah dengan menganggarkan umur, jantina dan keturunan seseorang. Sebagai contohnya, anggaran umur bagi individu yang masih hidup adalah penting dalam berhadapan dengan isu seperti pendatang haram apabila ketiadaan dokumen pengenalan diri yang sah dan untuk penilaian status individu tersebut dalam kes jenayah. Dalam bidang forensik, penilaian perkembangan pergigian merupakan kaedah utama dan digunakan secara meluas. Kajian terdahulu telah menunjukkan korelasi yang signifikan antara peringkat perkembangan pergigian dan kronologi umur.

Bidang odontologi forensik adalah bidang ilmu yang jarang dikongsikan dalam kalangan masyarakat. Secara ringkasnya, odontologi forensik ditakrifkan sebagai aplikasi pengetahuan pergigian kepada undang-undang. Doktor gigi forensik atau pakar odontologi forensik terlibat dalam pemeriksaan dan penilaian kecederaan pada rahang, gigi dan tisu lembut mulut mayat manusia; pengenalan individu dalam penyiasatan jenayah atau bencana besar-besaran; pengenal pastian, pemeriksaan dan penilaian kesan gigitan serta anggaran umur daripada gigi. Mereka juga memainkan peranan penting dalam situasi seperti kaedah pengenalan biasa individu seperti cap jari dan pengecaman visual tidak dapat dilakukan, namun hanya boleh dilakukan dengan kehadiran profesional pergigian.

Di samping itu, pakar odontologi forensik juga boleh membantu pihak berkuasa untuk mengiktiraf kecuaian, penyelewengan, penipuan atau penyalahgunaan dan pengenalan individu yang tidak diketahui dalam beberapa kes dengan memberikan maklumat yang diperlukan.

Terdapat pelbagai kaedah yang digunakan dalam odontologi forensik untuk menentukan anggaran umur seperti kaedah morformetrik, radiologi dan biokimia. Dalam kaedah morformetrik, anggaran umur boleh ditentukan oleh perubahan morfologi yang diperhatikan pada permukaan tulang pubis, perubahan degeneratif pada permukaan aurikular di tulang pinggul dan tulang rusuk, tahap penutupan pada sutur kranial, saiz osteon serta jenis dan pemeriksaan pergigian. Dalam pendekatan biokimia, pemeriksaan asid amino dalam dentin dan paras isotop karbon-14 boleh memberikan petunjuk umur individu.

Gigi manusia kekal selama bertahun-tahun selepas kematian dan sesuai untuk menentukan anggaran umur. Gigi juga merupakan anggota badan yang paling kurang terjejas oleh persekitaran sekeliling. Pada peringkat kanak-kanak, anggaran umur menggunakan gigi agak mudah dan dibuat berdasarkan peringkat perkembangan gigi. Namun demikian, menentukan anggaran umur bagi orang dewasa menjadi cabaran dalam perubatan forensik.

Gigi diutamakan dalam kaedah anggaran umur kerana bahagian ini kurang dipengaruhi oleh faktor pemakanan, hormon dan persekitaran berbanding dengan tulang. Gigi terdiri daripada tiga lapisan utama, iaitu enamel, dentin dan pulpa. Struktur enamel sangat kuat seperti tulang, manakala dentin dan pulpa tisu yang lembut terdapat di bawah lapisan enamel. Kaedah penentuan anggaran umur pergigian bergantung pada corak perkembangan dan letusan gigi. Gigi terbukti berguna untuk menganggarkan umur kronologi dalam gigi susu dan kekal. Perkembangan dan letusan gigi ialah penunjuk yang boleh dipercayai untuk menganggarkan umur hingga umur 16 tahun. Daripada umur 16 tahun hingga 24 tahun, hanya perkembangan molar ketiga boleh dinilai, namun terdapat kebolehubahan yang ketara, ketepatannya kontroversi dan molar ketiga tidak selalu ada.

Kaedah radiologi pula mempunyai kelebihan tertentu berbanding dengan kaedah morformetrik dan biokimia untuk menentukan anggaran umur individu. Kaedah ini mudah, cepat, ekonomi, dan tidak invasif untuk mengenal pasti mayat. Imej tomografi panoramik pergigian ialah satu daripada kaedah radiologi pergigian yang digunakan oleh doktor gigi. Kaedah ini meliputi banyak struktur mulut dan gigi dan membolehkan pengumpulan imej dua dimensi (2D) yang objektif dan boleh dihasilkan semula untuk analisis variasi manusia.

Dari perspektif undang-undang, individu yang berumur 18 tahun menjadi titik tolak untuk had umur bagi sesuatu kes jenayah dalam kebanyakan negara. Gigi molar ketiga boleh digunakan untuk menilai umur kronologi seseorang berdasarkan penemuan radiografik. Pada peringkat akhir remaja dan awal dewasa bagi individu, gigi molar ketiga adalah satu-satunya gigi yang masih mengalami perubahan perkembangan. Walau bagaimanapun, letusan dan perkembangan gigi molar ketiga akan mencapai kematangan pada umur 18 tahun hingga 25 tahun.

Cabaran dalam penentuan anggaran umur meningkat apabila umur individu melebihi 25 tahun. Pemendapan dentin sekunder kemudiannya berlaku dan digunakan sebagai penunjuk dalam ramalan umur pada orang dewasa. Pemendapan dentin sekunder akan menyebabkan pengurangan rongga isi padu pulpa dalam proses penuaan.

Gigi kekal berkembang sepenuhnya pada umur 15 tahun dan 16 tahun. Oleh itu, perkembangan gigi molar ketiga boleh digunakan dengan berkesan untuk membezakan umur juvana dan dewasa. Perkembangan gigi molar ketiga berterusan sehingga umur 20 tahun hingga 23 tahun, manakala pembentukan enamel lengkap adalah pada umur 13 tahun hingga 15 tahun. Umur kronologi dan perkembangan gigi molar ketiga secara statistik telah dibuktikan oleh kajian terdahulu. Namun begitu, perbezaan jantina dan kaum menyebabkan perkaitan variasi boleh terjadi.

Variasi penuaan boleh diukur dengan pengimejan radiografik 2D dan tiga dimensi (3D). Teknik pengimejan 2D seperti radiografi panoramik mempunyai kelemahan kerana terdedah kepada ralat pembesaran dan herotan. Pengukuran 2D juga tidak dapat mencerminkan perubahan morfologi tiga dimensi yang sebenar kerana pemendapan dentin sekunder berlaku pada semua permukaan rongga pulpa. Oleh sebab pemendapan dentin sekunder berlaku pada mana-mana permukaan rongga pulpa, pengukuran 3D boleh meneroka dengan lebih tepat kepada perubahan morfologi pemendapan dentin sekunder dalam gigi molar ketiga.

Kaedah radiografi digunakan dalam penentuan umur melalui perkembangan gigi.

Walau bagaimanapun, maklumat terhad imej 2D dan struktur anatomi tiga 3D boleh diatasi dengan menggunakan sistem pengimbasan tomografi berkomputer alur kon (CBCT). CBCT membolehkan visualisasi tiga dimensi gigi tanpa superimposisi, herotan atau pembesaran. Gigi ialah struktur 3D dan perkembangannya boleh dinilai dengan lebih tepat menggunakan modaliti pengimejan 3D. Teknologi CBCT yang dipertingkatkan telah menjadikannya sebagai satu daripada modaliti pengimejan yang paling boleh dipercayai dalam sains forensik. Kelebihan menggunakan CBCT berbanding imbas CT perubatan termasuklah kos yang lebih rendah, resolusi voksel yang lebih tinggi, masa imbasan pantas, pendedahan sinaran yang lebih rendah dan medan pandangan kecil (FOV). Selain itu, data CBCT boleh dipindahkan ke dalam perisian penambah imej pihak ketiga seperti Mimics (Materialise NV, Belgium) dan 3-Matics (Materialise NV, Belgium) untuk analisis volumetrik 3D. Baru-baru ini, pengimejan resonans magnetik juga telah digunakan untuk menilai perkembangan gigi molar ketiga dan sistem pementasan pematangan khusus molar ketiga juga telah dibangunkan.

 

Penulis ialah pensyarah pergigian dan pakar anatomi di Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.