24 Januari 2022, 12:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Dengan pelantikan renjer hidupan liar di bawah Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti atau Biodiversity Protection and Patrolling Programme (BP3) ini diharapkan dapat mengurangkan kegiatan pemburuan dan pencerobohan haram di kawasan habitat hidupan liar,” kata Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), YB Datuk Ali Biju melalui siaran media yang disiarkan menerusi Facebook KeTSA.

Menurut beliau, sebanyak 800 Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Orang Asli (VetOA) menerima watikah pelantikan sebagai renjer hidupan liar di bawah program BP3 yang melibatkan pelantikan sebanyak 224 orang veteran Angkatan Tentera Malaysia, 439 orang asli, 112 orang awam, 15 orang veteran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 10 orang pesara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Tambah beliau lagi, kepakaran VetOA telah meningkatkan keberkesanan pengesanan kes di kawasan pencerobohan, pemburuan dan pembalakan haram, termasuklah operasi pembasmian jerat. Penglibatan VetOA juga dapat memupuk rasa kebertanggungjawaban untuk melindungi khazanah negara serta meningkatkan kesejahteraan komuniti VetOA.

BP3 merupakan sebuah program untuk membanteras jenayah yang melibatkan hidupan liar di bawah Jabatan PERHILITAN, KeTSA yang bermula secara rasmi pada 29 Jun 2020. Program ini membabitkan kawasan operasi di Banjaran Titiwangsa, Taman Negara Pahang, Taman Negara Kelantan, Taman Negara Terengganu, Taman Negara Pulau Pinang, Taman Negeri Royal Belum, Taman Negara Endau Rompin, Rizab Hidupan Liar (RHL) Krau dan RHL Sungkai.

Selain itu, program BP3  turut melibatkan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), PDRM dan agensi penguatkuasaan lain bagi membantu membanteras pencerobohan, pembalakan serta pemburuan haram hidupan liar dalam kawasan perlindungan di Semenanjung Malaysia, termasuklah Taman Negara, Taman Negeri. Hutan Simpanan Kekal dan Tapak RAMSAR.

Program BP3 adalah kesinambungan daripada Operasi Bersepadu Khazanah yang telah dilancarkan pada 3 September 2019 melibatkan kerjasama dengan Jabatan PERHILITAN, PDRM dan Perbadanan Taman Negeri Perak, Perbadanan Taman Negara Endau Rompin, Johor, JPSM dan beberapa badan bukan kerajaan lain yang menjalankan operasi bersepadu untuk memerangi dan membanteras penjenayah hidupan liar. Program ini juga merupakan strategi terbaharu dalam meningkatkan strategi rondaan penguatkuasaan bagi menangani isu pencerobohan, pemburuan dan pembalakan haram.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.