21 Januari 2022, 17:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Berdasarkan kenyataan media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 20 Januari 2022, jumlah kes COVID-19 yang melibatkan individu berumur kurang daripada 18 tahun adalah sebanyak 579 624 kes bagi tempoh 25 Januari 2020 hingga 19 Januari 2022. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 269 773 kes melibatkan kanak-kanak berumur lima tahun hingga 11 tahun.

Walaupun pada kebiasaannya kanak-kanak hanya mengalami gejala ringan, terdapat juga sebilangan kanak-kanak yang mengalami gejala teruk dan memerlukan rawatan di hospital, termasuklah di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Baru-baru ini, berlaku peningkatan jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak, terutamanya setelah pembukaan sekolah pada awal tahun 2022. Varian Omicron didapati mudah merebak dan berpotensi tinggi untuk menjangkiti kanak-kanak serta orang dewasa. Negara yang terkesan dengan varian Omicron juga menunjukkan terdapat pertambahan jumlah kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital akibat jangkitan virus ini.

Selain risiko mendapat penyakit COVID-19 yang berpanjangan, kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19 juga berisiko tinggi untuk mendapat kesan serius yang dikenali sebagai multisystem inflammatory syndrome in children (MIS-C).

Kesan MIS-C ini boleh berlaku kepada seorang daripada 3200 orang kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19. Demam yang berlarutan, mengalami tekanan darah rendah, sawan, dan keradangan pelbagai organ, termasuklah jantung (miokarditis), paru-paru, buah pinggang, otak, kulit, mata, dan saluran usus merupakan antara gejala MIS-C.

Populasi kanak-kanak turut mengalami kesan tidak langsung kepada kehidupan sosial, terutamanya dari segi persekolahan dan pendidikan. Hal ini memberikan kesan yang buruk kepada psikologi dan perkembangan sosial kanak-kanak secara keseluruhannya.

Oleh yang demikian, KKM melalui Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Malaysia telah menganalisis data keselamatan dan keberkesanan serta bersetuju untuk memberikan kelulusan bersyarat kepada vaksin Comirnaty  10 mcg  Concentrate  for  Dispersion  (Pfizer-­BioNTech) pada 6 Januari 2022 untuk kegunaan kanak-kanak berusia lima tahun hingga 11 tahun.

Hasil dapatan kajian klinikal, vaksin ini menunjukkan keberkesanan sebanyak 90.7 peratus dan berupaya untuk meningkatkan tindak balas imun yang tinggi terhadap penyakit COVID-19. Walau bagaimanapun, vaksin ini juga boleh memberikan kesan sampingan kepada kanak-kanak seperti sakit pada tempat suntikan, kemerahan dan bengkak. Tindak balas sistemik pula termasuklah keletihan, pening kepala, sakit otot, menggigil, dan demam. Namun begitu, kebanyakan kesan sampingan vaksin ini adalah ringan dan sederhana serta tidak berpanjangan.

Sementara itu, program vaksinasi COVID-19 untuk kanak-kanak berusia lima tahun hingga 11 tahun menggunakan vaksin Comirnaty formulasi khas untuk kanak-kanak juga telah dilaksanakan di beberapa buah negara, termasuklah Amerika Syarikat, Kanada, Israel, Australia, dan Singapura.

Pada masa ini, vaksinasi COVID-19 ini adalah disyorkan bagi kanak-kanak berumur lima tahun hingga 11 tahun. Waiau bagaimanapun, keutamaan untuk pemberian vaksin pada permulaan program ini adalah kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan kerana mereka lebih berisiko untuk mendapat penyakit COVID-19 yang teruk, termasuklah kemasukan ke hospital dan ICU serta kematian. Masalah kesihatan tersebut adalah seperti penyakit respiratori kronik, penyakit kardiovaskular, imunotindasan, kencing manis, penyakit ginjal kronik, dan penyakit saraf.

Formulasi vaksin COVID-19 Comirnaty yang akan digunakan dalam program vaksinasi ini merupakan formulasi khas untuk kanak-kanak dan dibekalkan di dalam bebuli 10-dos (penutup jingga) dan perlu dicampurkan dengan 1.3 mililiter larutan garam biasa. Setiap dos yang diberikan adalah 0.2 mililiter dan mengandungi 10 mcg vaksin mRNA. Dos ini adalah satu pertiga daripada dos yang digunakan dalam dos orang dewasa. Sebanyak dua suntikan dos vaksin diperlukan dengan sela masa lapan minggu selepas dos pertama dalam program vaksinasi ini.

Berdasarkan data terkini yang diperoleh, sela masa lapan minggu antara dua dos yang diberikan akan memberikan kesan tindak balas imuniti dan kadar keberkesanan yang lebih tinggi serta berpotensi untuk memberikan perlindungan yang lebih lama. Selain itu, data ini juga menunjukkan sela masa tersebut mampu mengurangkan risiko miokarditis.

KKM akan melaksanakan pemberian vaksin COVID-19 untuk kanak­ kanak berusia lima tahun hingga 11 tahun bermula Februari 2022 sebaik sahaja vaksin Pfizer (kanak-kanak) tiba di Malaysia mulai 31 Januari 2022. Pelancaran program pemberian vaksinasi kanak-kanak ini pula akan diadakan pada 3 Februari 2022 di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur.

Sistem tempahan janji temu melalui aplikasi MySejahtera akan mula dibuka pada penghujung bulan Januari 2022. Sebagai permulaan, ibu bapa boleh mula mendaftarkan anak sebagai tanggungan dalam aplikasi MySejahtera masing-masing. Tempahan janji temu ini akan dibuka secara berperingkat bermula pada 31 Januari 2022 dan dibuka kepada ibu bapa yang tinggal di Lembah Klang terlebih dahulu. Perincian berkenaan dengan akses kepada sistem tempahan janji temu ini akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

KKM mensasarkan 70 peratus kanak-kanak berusia lima tahun hingga 11 tahun dalam sistem pendidikan dapat diberikan dos pertama vaksin Pfizer (kanak-kanak) dalam tempoh dua bulan dari tarikh program dilancarkan pada awal bulan Februari 2022 nanti. Seterusnya, 80 peratus kanak-kanak akan menerima dos lengkap dalam tempoh enam bulan pelaksanaan program vaksinasi ini.

Secara keseluruhannya, sebanyak 144 kematian telah direkodkan akibat daripada jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak berumur 18 tahun dan ke bawah. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 31 kes kematian melibatkan kanak-kanak berumur lima tahun hingga 11 tahun telah direkodkan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.