19 Januari 2022, 10:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seberang Jaya – Pakar farmaseutikal halal negara, Profesor Emeritus Zhari Ismail menghembuskan nafasnya yang terakhir pada pukul 7.37 pagi semalam di Hospital Seberang Jaya. Jenazah telah dikebumikan di Masjid Jamek Tuan Haji Abdul Latif, Permatang Pasir, Pulau Pinang.

Profesor Emeritus Zhari Ismail yang dilahirkan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 28 Jun 1949 merupakan tokoh yang disegani dalam bidang farmaseutikal halal. Beliau memperoleh ijazah sarjana dalam bidang farmasi di Institut Teknologi Bandung, Indonesia dan menyambung pengajiannya pada peringkat ijazah doktor falsafah di Universiti of Strathclyde, United Kingdom. Beliau telah dianugerahi gelaran Profesor Emeritus semasa konvokesyen USM ke-58 pada 2 Disember tahun lalu.

Pada tahun 1982, beliau mula berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia (USM) hingga beliau bersara wajib pada tahun 2009. Walau bagaimanapun, perkhidmatan beliau disambung hingga Disember 2019.

Profesor Emeritus Zhari Ismail sangat sinonim dengan industri farmaseutikal halal di Malaysia. Kajian penyelidikan beliau yang memfokuskan herba tempatan telah membawa kepada pembangunan monograf herba pertama di Malaysia. Menurut Encik Mohd Amri Abdullah, Pegawai Hal Ehwal Islam, Kementerian Kesihatan Malaysia:

Beliau seorang yang sangat komited dan sanggup berkorban bagi merealisasikan hasrat untuk mendapatkan pensijilan halal dalam industri farmaseutikal. Beliau menjadi pakar rujuk dalam industri farmaseutikal halal. Keilmuannya mengubah landskap farmaseutikal negara.

Sumbangan Profesor Emeritus Zhari Ismail yang sangat besar dalam bidang penyelidikan ini telah memberikan manfaat kepada pelbagai institusi seperti Jabatan Standard Malaysia, SIRIM Berhad dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dalam konteks DBP misalnya, beliau menganggotai Jawatankuasa Istilah Farmasi (1989), Jawatankuasa Istilah Farmasi: Kimia Farmasi (2003), Jawatankuasa Istilah Tatanama Drug dan Bahan Bukan Proprietari (2004), Jawatankuasa Istilah Farmasi Jilid 2 (2005), dan Jawatankuasa Istilah Herba: Pembangunan Produk (2009). Selain itu, beliau juga aktif dalam penerbitan pelbagai bahan yang menjadi rujukan dalam industri farmaseutikal dan halal dalam negara serta peringkat antarabangsa.

Dr. Amirah Mohd Gazzali sebagai kenalan rapat Profesor Emeritus Zhari Ismail pula menyatakan bahawa beliau merupakan perintis yang menubuhkan Halal Studied in Services, Research and Training (HASRAT) beberapa tahun yang lalu. Walaupun sudah bersara, beliau aktif melakukan penyelidikan melalui kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), terutamanya dalam isu halal farmaseutikal. Tambah beliau lagi:

Banyak sekali jasa Profesor Emeritus Zhari Ismail. Beliau seorang yang tenang, lemah lembut tetapi tegas. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, sangat jelas tahap keilmuannya. Beliau banyak melakukan penyelidikan dalam produk alami untuk mengangkat fungsi tumbuhan tempatan dan membuktikannya secara saintifik.

Selain dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Farmaseutikal Halal, The Standards and Metrology Institute for Islamic Countries dan Pertubuhan Kerjasama Islam pada tahun 2020 hingga tahun 2025, beliau juga diberi kepercayaan oleh Majlis Raja-Raja Melayu sebagai Ahli Jawatankuasa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.