17 Januari 2022, 15:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pauh Putra – “Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan memanfaatkan 10 buah Centre of Technology (CoT) yang sedia ada sebagai pusat kompetensi yang akan memainkan dua peranan utama. Pertama, membolehkan UniMAP membekalkan solusi teknologi yang memenuhi keperluan masyarakat dan industri. Kedua, meningkatkan kompetensi dalam kalangan kakitangan dan pelajar melalui latihan peningkatan kemahiran dan pemerolehan kemahiran baharu selari dengan perkembangan teknologi dan keperluan industri,” titah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat meninjau tapak pembinaan Dewan Besar UniMAP di Pauh Putra.

DYTM Raja Muda Perlis berkenan berangkat meninjau tapak pembinaan Dewan Besar UniMAP di Pauh Putra.

Semasa tinjauan ke tapak pembinaan itu juga, Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri, Ir. Mohd Shahril Mohd Said selaku pegawai penguasa projek dan Ir. Amalludin Zolkifli telah menyampaikan taklimat berkenaan dengan dewan konvokesyen yang dilaksanakan oleh kontraktor Amna Construction Sdn. Bhd. yang dapat menampung hampir 4000 orang pada satu-satu masa.

Bangunan tersebut dibangunkan di atas tanah berkeluasan 38 218 meter persegi yang melibatkan pembinaan satu blok bangunan dewan besar bersaiz 4671 meter persegi, blok sokongan (meliputi rumah sampah, pencawang elektrik, rumah pam dan tangki pencegah kebakaran serta loji pendingin), dataran rekreasi, penuaian air hujan serta kawasan tempat letak kereta yang boleh memuatkan sebanyak 204 buah kereta dan 84 buah motor.

Dalam masa yang sama, DYTM Raja Muda Perlis yang juga merangkap Canselor UniMAP memaklumkan bahawa Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) akan terus memperkasakan peranannya sebagai hub komuniti bagi warga universiti dan komuniti sekitar seiring dengan konsep “UniMAP for Society”.

Ronald McDonald House Charities Sensory Room merupakan fasiliti terkini yang dibangunkan oleh PTSFP bagi memenuhi keperluan untuk meningkatkan keupayaan deria dalam kalangan golongan autisme. Fasiliti yang telah mula beroperasi pada pertengahan tahun lalu ini menempatkan sistem rangsangan deria yang dikenali sebagai snoezelen. Sistem yang bernilai lebih daripada RM100 000 ini disumbangkan sepenuhnya oleh Ronald McDonald House Charities.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Profesor Ts. Dr. Zaliman Sauli dan Pengarah Pembangunan UniMAP, Profesor Dr. Khairul Azwan Ismail turut hadir mengiringi baginda.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.