17 Januari 2022, 11:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) merupakan antara kementerian yang menyokong hasrat kerajaan mencapai sasaran negara neutral karbon atau negara sifar pelepasan karbon pada tahun 2050.

Melalui kenyataan media MOSTI, kementerian tersebut telah melancarkan Program Inisiatif Teknologi Penyimpanan Tenaga NanoMalaysia (NESTI). NESTI ialah sebuah platform perintis pada peringkat kebangsaan dalam usaha membangunkan dan mengkomersialkan sistem penyimpanan tenaga untuk mobiliti elektrik, kegunaan dalam sektor domestik dan industri serta penyelesaian mudah alih.

Menteri MOSTI, Yang Berhormat Dato’ Sri Dr. Adham Baba berkata, MOSTI telah melaksanakan pelbagai usaha dalam membantu kerajaan mencapai sasaran negara neutral karbon. Antaranya adalah menerusi teknologi storan tenaga kenderaan elektrik (EV) yang memberikan impak sampingan yang positif.

Tambah beliau, pada tahun ini juga, MOSTI menerusi program Enabling Mobility Electrification for Green Technology (EMERGE) yang diterajui oleh NanoMalaysia Berhad akan memberikan tumpuan kepada pembangunan dan pengkomersialan ekosistem teknologi EV tempatan bersama-sama syarikat pemula dan industri kecil sederhana. Selain itu, tumpuan juga diberikan kepada pembangunan kenderaan elektrik dua roda yang dibangunkan oleh para pengusaha EV tempatan.

Komitmen MOSTI telah dibuktikan melalui pelancaran skuter elektrik buatan tempatan yang diberikan nama Eclimo  ES-11. Skuter elektrik ini dikuasakan oleh bateri berstruktur nano dengan menggunakan sistem pemantauan bateri berstruktur nano yang memberikan pelbagai manfaat kepada alam sekitar.

Eclimo ES-11.

Sebelum ini, Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan perkhidmatan bas elektrik penuh akan dimulakan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan bandar-bandar besar sebagai satu daripada usaha melestarikan alam sekitar.

(Sumber: Facebook Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.