12 Januari 2022, 16:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan simbolik penanaman 54 batang pokok di Kampung Seberang Jaya, petang semalam.

DYTM Raja Muda Perlis berkenan menyempurnakan simbolik penanaman 54 batang pokok di Kampung Seberang Jaya.

Pokok-pokok yang disumbangkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perlis diharapkan dapat membantu bertindak sebagai penampan atau pemecah angin bagi mengurangkan kesan langsung kepada kawasan perumahan jika berlaku angin kencang di kampung tersebut.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Ag. Shaffie Ag. Ahmadni yang hadir dalam majlis perasmian tersebut berkata, “Sebanyak 54 batang pokok dipilih bersempena dengan usia DYTM Tuanku Raja Muda Perlis yang baru sahaja menyambut hari ulang tahun yang ke-54 pada 30 Disember 2021 lalu.”

Menurut Ag. Shaffie, pelaksanaan penanaman pokok pada kali ini merupakan sebahagian daripada Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok. Kempen ini dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran semua pihak akan pentingnya kawasan litupan hijau dan hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup selain usaha untuk menambah baik ekosistem dan biodiversiti negara ini.

“Marilah kita bersama-sama menyokong usaha Program Penghijauan Malaysia dengan membudayakan amalan menanam pokok untuk kehidupan yang lebih sejahtera bagi generasi kini dan akan datang sesuai dengan slogannya “Pokok Kita, Kehidupan Kita,” titah baginda.

Kampung Seberang Jaya adalah satu daripada kampung yang terlibat dengan Program Transformasi Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis yang dilaksanakan bersama-sama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis dan Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis dengan kerjasama pelbagai agensi, pasukan keselamatan, institut pengajian tinggi, dan pihak swasta.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.