7 Januari 2022, 14:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Berdasarkan kenyataan media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 6 Januari 2022, sebanyak 44 kes positif COVID-19 telah disahkan varian Omicron melalui jujukan genom penuh yang dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Perubatan dan tujuh kes positif COVID-19 jangkitan tempatan di Sarawak telah disahkan varian Omicron oleh Universiti Malaysia Sarawak. 44 kes tersebut terdiri daripada kes jangkitan import, iaitu dari Arab Saudi (29 kes), Emiriah Arab Bersatu (5 kes), Kazakhstan (5 kes), United Kingdom (3 kes), Amerika Syarikat (1 kes) dan Tanzania (1 kes).

Kebanyakan kes tersebut merupakan daripada jemaah umrah yang pulang ke Malaysia. KKM menasihatkan agar individu yang diarahkan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah untuk terus mematuhi arahan tersebut. Individu yang dijangkiti COVID-19 perlu kekal berada di dalam bilik yang berasingan dan tidak menemui sesiapa pun bagi mengelakkan penularan virus ini. KKM juga menyarankan individu yang layak menerima vaksin COVID-19 untuk mendapatkan dos penggalak bagi mencapai tahap perlindungan yang optimum dan mengelakkan jangkitan COVID-19 yang teruk serta komplikasinya.

KKM memaklumkan bahawa ujian jujukan genom penuh terhadap sampel yang menunjukkan varian Omicron masih dijalankan oleh pihak KKM dan setiap perkembangannya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) juga telah memberikan kelulusan bersyarat bagi penggunaan vaksin Convidecia (CanSino) sebagai dos penggalak kepada individu yang berumur 18 tahun dan ke atas dengan jarak masa tiga bulan hingga enam bulan selepas menerima dos pertama daripada vaksin yang sama. Pemegang pendaftaran bagi vaksin ini ialah Solution Biologics Sdn. Bhd. dan dikilangkan oleh CanSino Biologics Inc., China.

Sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilaksanakan, sebanyak 57 119 777 dos vaksin COVID-19 telah diberikan kepada penerima vaksin, termasuklah 5 719 456 dos penggalak. Demam, kesakitan pada tempat suntikan, sakit kepala, dan keletihan merupakan antara kesan yang paling kerap dilaporkan oleh penerima vaksin.

Setiap pemberian dos penggalak akan dilakukan melalui janji temu yang diberikan melalui aplikasl MySejahtera atau khidmat pesanan ringkas (SMS). Walau bagaimanapun, individu yang ingin mendapatkan dos penggalak juga boleh menghubungi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang disenaraikan dalam laman sesawang ProtectHealth untuk mendaftar dalam senarai menunggu klinik berkenaan.

Bagi meningkatkan kapasiti pemberian vaksinasi dos penggalak di Lembah Klang, empat PPV integrasi dengan kapasiti yang lebih besar telah dikenal pasti dan akan mula beroperasi pada 15 Januari 2022. PPV integrasi tersebut ialah PPV World Trade Centre, Kuala Lumpur, PPV Axiata Arena, Bukit Jalil, PPV IDCC, Shah Alam, dan PPV Soka Gakkai, Klang.

Selain itu, PBKD telah bersetuju memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat bagi produk vaksin Comirnaty 10 mcg Concentrate for Dispersion for Injection yang diluluskan untuk imunisasi COVID-19 kepada kanak-kanak berumur lima tahun hingga 11 tahun. Kekuatan vaksin ini lebih rendah berbanding dengan vaksin Comirnaty yang diberikan kepada individu yang berusia 12 tahun dan ke atas.

Seterusnya, Comirnaty 30 mcg Solution for Injection merupakan vaksin Comirnaty dengan formulasi baharu yang tidak memerlukan pencairan dan mempunyai tempoh jangka hayat yang lebih panjang, iaitu 10 minggu berbanding dengan formulasi sedia ada apabila disimpan pada suhu 2°C hingga 8°C setelah dinyahbeku. lndikasi Comirnaty ini adalah untuk imunisasi COVID-19 kepada individu yang berumur 12 tahun dan ke atas.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.