6 Januari 2022, 10:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kenderaan udara tanpa pemandu atau pesawat udara tanpa juruterbang dikenali sebagai dron. Dron mampu menjadi alat yang boleh mengubah cara hidup manusia. Oleh sebab dron merupakan alat terbang tanpa memerlukan pemanduan dalam pesawat, hal ini telah menjadikannya berpotensi untuk membantu manusia menyelesaikan urusan yang sukar dilakukan dan lebih meluas seperti mendapatkan maklumat dari udara, merentasi halangan berbahaya dan sebagainya.

Teknologi dron mendapat perhatian masyarakat pada awal abad ke-21. Pada tahun 2013, Ketua Pegawai Eksekutif Amazon, Jeff Bezos telah melancarkan pelan mengkomersialkan dron kepada masyarakat untuk digunakan dalam aktiviti seharian. Hasilnya, dron dicipta dalam bentuk dan fungsi yang sesuai bagi kegunaan masyarakat.

Dron merupakan objek terbang yang menggunakan prinsip Bernoulli bagi menghasilkan daya untuk mengangkat badan dron. Bagi memastikan dron berfungsi dengan baik, dron harus memiliki lima komponen asas seperti punca kuasa, pemutar, kipas, badan pesawat, dan alat kawalan jauh.

Sementara itu, kamera yang dipasang pada dron untuk dikomersialkan adalah berdasarkan kualiti dan memberikan kesan kepada harga dron. Dron yang memiliki teknologi kamera lengkap dengan koordinat dan kualiti tinggi dapat memberikan manfaat kepada pengguna. Sebagai contohnya, kamera yang memiliki piksel tinggi dapat membantu pengguna untuk mengenal pasti maklumat dengan jelas dalam imej yang diambil dengan menggunakan dron.

Dron memiliki empat jenis reka bentuk dengan kelebihan dan kekurangan bagi setiap reka bentuk, iaitu dron pemutar tunggal, dron berbilang pemutar, dron sayap tetap, dan dron hibrid sayap tetap.

Kini, penggunaan dron semakin meluas. Antara kegunaan dron adalah mengenal pasti ciri-ciri topografi, menilai bahaya sesebuah kawasan, pengesahan imej satelit, pengesahan model berkomputer, pengawalan kemusnahan akibat tanaman dan haiwan, dipraktikkan dalam penyelidikan dan digunakan dalam pelbagai sektor seperti ketenteraan dan pertahanan negara, operasi penyelamat, bantuan bencana dan kemanusiaan, konservasi alam sekitar, pengawalan penyakit, pertanian, perancangan pembinaan, dan komunikasi.

Pada tahun 2020, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia telah memberikan kelulusan khas kepada agensi kerajaan untuk menerbangkan dron dalam beberapa keadaan, termasuklah dalam pengoperasian keselamatan negara.

Seterusnya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan Unit Dron, yakni mereka menggunakan dron sebagai satu daripada alat pengesan kebakaran dan kenderaan udara tanpa pemandu untuk membawa bahan bagi memadamkan kebakaran di lokasi yang sukar diakses oleh kenderaan darat pasukan bomba.

Kesimpulannya, konsep integrasi pelbagai teknologi dalam struktur pesawat tanpa pemandu telah memudahkan urusan yang pada dahulunya sukar. Selain itu, kelebihan dron dapat mengembangkan limitasi manusia untuk melihat sesuatu dengan lebih meluas. Namun begitu, ilmu dan perkembangan teknologi ini harus dikawal supaya kelebihan teknologi dalam membantu manusia adalah pada landasan yang betul.

Dapatkan artikel penuh berkaitan dengan teknologi dron ini dalam Dewan Kosmik Januari 2022 di pautan ini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi