5 Januari 2022, 17:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dunia pelancongan Perlis terus mencipta sejarah baru-baru ini menerusi kejayaan memperkenalkan penerokaan ke gua secara maya di Gua Kelam, Kaki Bukit, Perlis. Lebih membanggakan apabila penerokaan ke Gua Kelam secara maya ini merupakan program penerokaan yang pertama di Malaysia dan yang kedua di Asia Tenggara. Program penerokaan ini adalah antara tarikan baharu kepada semua pelancong yang melawat ke Gua Kelam.

Penerokaan ke Gua Kelam secara maya adalah hasil kerjasama daripada Jabatan Perhutanan Negeri Perlis dengan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau, Perlis. Program penerokaan ini jelas membuktikan bahawa industri pelancongan Perlis telah menghasilkan sesuatu yang menakjubkan dan mengharumkan nama Perlis di mata dunia.

Kepakaran tenaga muda tempatan telah berjaya menghasilkan siri penerokaan ke Gua Kelam secara maya dengan sangat cemerlang. Pengenalan produk pelancongan secara maya di Gua Kelam memberi peluang kepada orang ramai dan pelancong yang berasa takut untuk memasuki gua secara fizikal bagi merasai pengalaman seperti berada di dalam gua.

Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Perlis telah melihat potensi pelbagai lokasi pelancongan menarik seperti di kawasan hutan, bukit-bukau dan sungai untuk dilawati dengan menggunakan teknologi maya. Hal ini demikian kerana pelancongan seperti ini dapat memberi banyak kelebihan kepada orang ramai.

Penerokaan ke Gua Kelam secara maya memberi peluang kepada masyarakat, pelancong, golongan warga emas, dan orang kurang upaya merasai pengalaman penerokaan ke gua secara maya. Selain itu, penerokaan ini menjadi alternatif kepada pelancong jika laluan biasa ditutup atas faktor keselamatan. Pelancong yang ingin melawat ke Gua Kelam masih boleh melakukan penerokaan ke Gua Kelam secara maya di samping menjimatkan masa.

Oleh itu, pihak Jabatan Perhutanan Negeri Perlis telah merancang untukĀ  membangunkan aplikasi maya di Google Play Store agar mudah diakses oleh orang ramai dan pelancong tanpa perlu melawat ke Gua Kelam secara fizikal. Kini, penerokaan ke Gua Kelam secara maya dibuka kepada orang ramai dengan bayaran masuk sebanyak RM10.00 ke Galeri Gua Kelam, Kaki Bukit, Perlis.

(Sumber foto: YouTube One News)
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!