Oleh Kassim Bahali
29 Disember 2021, 09:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perkembangan teknologi angkasa lepas, ruang cakerawala tidak lagi menjadi lokasi yang mustahil sebagai destinasi pelancongan menarik yang baharu untuk diterokai manusia. Penerokaan manusia ke angkasa lepas bermula apabila program angkasa Vostok dari Kesatuan Soviet berjaya menerbangkan seorang individu ke orbit untuk kali pertama dalam sejarah.

Sejak kejayaan tersebut hingga bulan Januari 2018, sebanyak 553 orang angkasawan daripada 37 buah negara telah berjaya berlepas ke orbit. Negara yang paling banyak menghantar angkasawan ke angkasa lepas ialah Amerika Syarikat, iaitu sebanyak 339 orang, termasuklah 45 orang daripadanya terdiri daripada angkasawan wanita. Seterusnya, diikuti oleh Rusia (termasuklah Kesatuan Soviet) sebanyak 121 orang kosmonaut dan empat orang daripadanya terdiri daripada kosmonaut wanita.

Dengan kejayaan menghantar angkasawan ke angkasa, industri angkasa lepas telah membuka ruang kepada orang awam untuk ke angkasa sebagai pelancong angkasa. Program pelancongan angkasa bertujuan untuk pengembaraan dan aktiviti rekreasi di angkasa lepas.

Terdapat beberapa jenis pelancongan angkasa, iaitu pengembaraan orbital, suborbit dan bulan. Program ini telah mendorong pertumbuhan industri pembinaan kapal angkasa pelancongan. Antara syarikat yang terlibat dengan industri ini ialah Blue Origin dan Virgin Galactic. Sebuah lagi syarikat aeroangkasa yang terlibat dengan pelancongan angkasa ialah SpaceX. Syarikat yang beribu pejabat di California ini menyediakan perkhidmatan pengangkutan angkasa dan komunikasi.

Pelancongan angkasa terhenti selama tiga tahun selepas kemalangan pesawat angkasa Columbia semasa memasuki atmosfera bumi pada bulan Februari 2003. Kemalangan ini telah menyebabkan kematian semua kakitangan pesawat tersebut. Pelancongan angkasa berfungsi semula pada tahun 2006 apabila Anousheh Ansari, seorang ahli perniagaan Iran yang menetap di Amerika Syarikat menjadi pelancong angkasa ke ISS. Beliau menjadi pelancong yang keempat ke ISS dengan menaiki kapal angkasa Soyuz TMA-9.

Dapatkan artikel penuh berkaitan dengan pelancongan angkasa ini dalam Dewan Kosmik Januari 2022 di pautan ini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!