Oleh Norsuhana A.H.
28 Disember 2021, 14:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Zooterapi merupakan perubatan alternatif yang menggunakan bahan berasaskan haiwan sama ada keseluruhan haiwan atau bahagian tertentu haiwan. Lazimnya, perubatan alternatif ini diamalkan oleh suatu etnik, suku kaum atau masyarakat yang tinggal di negara miskin tetapi kaya dengan sumber fauna. Zooterapi telah menjadi budaya yang diamalkan dan diwarisi sejak turun-temurun. Perkara ini berlaku ekoran daripada faktor seperti sukar memperoleh perubatan moden dan kos yang lebih murah berbanding dengan perubatan moden.

Pakar perubatan Islam sejak awal abad ke-9 seperti al-Tabari dan al-Kindi menghuraikan kegunaan beberapa haiwan dalam perubatan. Sebagai contohnya, di Iraq dan Iran, haiwan seperti beruang, unta, lembu, ketam, anjing, kuda, biawak, tikus, burung merpati, arnab, badak, kambing, kala jengking, ular, sotong, penyu, dan serigala serta produk haiwan seperti madu, lilin, susu, dan telur telah dilaporkan digunakan sebagai bahan perubatan.

Jadual 1: Haiwan dan bahagian haiwan yang digunakan untuk rawatan.

Haiwan Bahagian Rawatan
Harimau Tulang Hemiplegia, reumatisme
Ekor Penyakit kulit
Urin Reumatisme
Gigi Rabies, asma
Beruang Hempedu Selesema, sakit tekak, buasir, konjunktivitis, kanser
Badak Cula Demam, nyahtoksin
Kulit Penyakit kulit
Alat sulit Afrodisiak
Tulang Penyakit tulang
Monyet Bezoar Penawar racun
Kepala Sakit kepala
Keldai Kulit Anemia, menopaus

Di Kepulauan Melayu, penggunaan bahan berasaskan haiwan untuk tujuan perubatan tercatat dalam kitab Pati Rahsia, Mujarrabat Melayu dan Dunia Hikmah. Seterusnya, di kawasan geografi negara rantau Mediterranean Timur melibatkan negara Israel, Syria, Lebanon, dan Jordan, sejumlah 42 ekstrak haiwan yang digunakan sebagai bahan perubatan pada abad ke-10 hingga abad ke-19. Di India pula, dilaporkan sejumlah 109 spesies haiwan, iaitu melibatkan 270 penggunaan dalam perawatan pelbagai penyakit.

Sementara itu, kelawar adalah antara haiwan yang digunakan dalam zooterapi. Walaupun pengambilan kelawar sebagai sumber makanan dan perubatan, haiwan ini boleh menyebabkan berlakunya penyakit zoonosis kerana keupayaannya menyimpan atau menjadi perumah kepada pelbagai virus seperti virus korona, filovirus, paramiksovirus, dan lyssavirus. Walau bagaimanapun, dilaporkan sejumlah 169 spesies haiwan ini diburu di serata dunia untuk dijadikan sumber perubatan dan makanan. Indonesia, Filipina dan Thailand merupakan negara yang mencatatkan jumlah pemburuan spesies kelawar yang tinggi.

Di Kalimantan Tengah, kelawar dipercayai berupaya untuk menyembuhkan penyakit seperti penyakit berkaitan dengan dada serta digunakan sebagai rawatan selepas bersalin. Terdapat kajian di Thailand yang melaporkan dua spesies kelawar yang diburu untuk dijadikan sumber makanan, iaitu lesser dog-faced fruit bat dan shortridge’s rousette bat. Darah kelawar dijadikan bahan makanan tambahan yang dipercayai boleh menyembuhkan penyakit seperti sakit belakang, kaki dan pinggang. Di Bangladesh pula, tulang kelawar digunakan untuk rawatan sakit sendi dan asma.

Jadual 2: Jumlah spesies kelawar yang dijadikan sumber makanan dan perubatan di negara Asia.

Benua

Jumlah Spesies

Makanan

Perubatan

Asia Selatan

9

9

Asia Tenggara

56

5

(Sumber: Mildenstein et al., (2015))

Dalam perubatan masyarakat Cina yang telah diamalkan sejak 2000 tahun dahulu hingga kini, hempedu beruang sering digunakan dalam bidang perubatan. Hingga tahun 1980, dilaporkan bermulanya aktiviti penternakan beruang yang bertujuan untuk mendapatkan hempedunya. Hempedu ini dijual dalam bentuk pil, serbuk dan ada yang dicampurkan dengan minuman keras. Komposisi kimia hempedu beruang yang mengandungi asid ursodeoksikolik digunakan dalam rawatan batu karang dan penyakit hati.

Terkini dilaporkan campuran serbuk hempedu beruang dengan tanduk kambing dan herba tumbuhan digunakan untuk merawat pesakit COVID-19. Walaupun penternakan hempedu sah di China, tetapi pengeksportan produk atau rawatan yang dibuat daripadanya adalah diharamkan oleh Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam.

Seterusnya, harimau turut dijadikan sumber perubatan. Tulang harimau telah lama digunakan dalam amalan perubatan Cina untuk menyembuhkan beberapa penyakit, termasuklah hemiplegia dan reumatisme. Air kencing harimau digunakan untuk merawat penyakit reumatisme. Selain itu, tulang harimau dijadikan minuman keras. Jangka hayat haiwan ini berakhir dengan dijadikan bahan untuk perubatan tradisional⁠.

Kesan penggunaan haiwan liar untuk tujuan zooterapi menyebabkan berlakunya aktiviti pemburuan secara haram. Aktiviti pemburuan haiwan ini dianggarkan melibatkan sejumlah $20 bilion dolar, terutamanya berlaku di Asia Tenggara dan China. Pemburuan haram merupakan satu daripada faktor yang menyebabkan populasi hidupan liar semakin berkurangan. Di Semenanjung Malaysia, bilangan beruang madu Malaya serta harimau Malaya telah menurun akibat pemburuan haram⁠.

Sikap manusia yang beranggapan bahawa bahan yang dihasilkan oleh fauna lebih mujarab telah menyebabkan permintaan terhadap haiwan liar dalam menghasilkan ubat-ubatan turut meningkat. Masalah pemburuan haram, perdagangan haram dan penyeludupan hidupan liar tidak dapat diselesaikan sekiranya masyarakat masih menyokong pembelian ubat-ubatan berasaskan hidupan liar. Sebenarnya, terdapat pelbagai alternatif selain ubat berasaskan haiwan liar yang boleh digunakan untuk merawat sesuatu penyakit seperti rawatan berasaskan tumbuh-tumbuhan atau herba⁠.

Beruang matahari di Zoo Taiping.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.